NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemilihan PKR: Tak Rasmi;Rafizi mendahului Azmin


Oleh: Fahmy Azril Rosli

KEPUTUSAN tidak rasmi Pemilihan PKR menyaksikan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bangkit untuk merebut jawatan Timbalan Presiden apabila meninggalkan pencabarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan jurang tipis iaitu 1,229 undi sahaja.

Setakat ini, Rafizi memperoleh 46,477 undi manakala Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi selaku penyandang jawatan Timbalan Presiden meraih 45,248 undi.

Bagi jawatan Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar menunjukkan jurang undi ketara diperoleh anak perempuan bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika dibandingkan dengan pencabarnya yang lain.


Ahli Parlimen Permatang Pauh itu meraih undi sebanyak 45,500. Beliau diekori Ahli Parlimen Ampang yang juga Menteri Perumahan dan Kajian Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang memperolehi 35,665 undi.


Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar pula memperoleh 30,885 undi dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dengan 26,270 undi sekali gus keempat-empat mereka berada dalam slot jawatan Naib Presiden.

Jawatan Naib Presiden hanya menyediakan empat slot untuk diisi.

Saingan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak kurang hebatnya apabila tiga calon berentap bagi merebut jawatan berkenaan.

Mereka adalah Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang memperoleh 8,149 undi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya mendapat 8,136 undi dan ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi tercorot dengan 1,781 undi.

'Perlumbaan' bagi merebut jawatan Ketua Wanita PKR pula menyaksikan ADUN Taman Medan, Haniza Mohd Talha jauh meninggalkan Fuziah Salleh yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari segi undi.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Haniza mempunyai peluang cerah untuk merangkul jawatan sebagai Ketua Wanita PKR apabila memperoleh undi sebanyak 15,117 dan Fuziah hanya meraih 11,979 undi.

Keseluruhan keputusan yang diperoleh setakat ini berdasarkan maklumat merangkumi 12 negeri.

Daripada jumlah itu, enam negeri sudah memuktamadkan keputusan iaitu Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Selebihnya adalah negeri yang masih lagi memuktamadkan keputusan merangkumi pemilihan fasa satu dan dua di Selangor, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah serta Perak.

Esok pula akan berlangsung pemilihan PKR fasa tiga di Selangor membabitkan enam cabang iaitu Tanjung Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/10/390166/tak-rasmi-rafizi-mendahului-azmin

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo