Khutbah Jumaat gesa pertahan Islam daripada ancaman



KUALA LUMPUR, 10 Safar 1440H, Jumaat – Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, mengingatkan umat Islam supaya mempertahan dan memelihara Islam daripada sebarang ancaman, kerana ia adalah prinsip paling utama dalam maqasid syariah iaitu tujuan Islam disyariatkan.

Khutbah juga mengingatkan bahawa perpecahan di kalangan umat akan mendorong golongan yang tidak menyenangi agama itu membuat pelbagai tuntutan, ancaman dan ada juga yang menghina Islam serta institusinya di atas hujah kebebasan hak asasi manusia.

Justeru, Jakim mengingatkan bahawa menjadi kewajipan umat Islam untuk meletakkan kepentingan agama di tempat yang tertinggi dan paling utama dalam segala urusan, kerana agama menjadi pembimbing hidup setiap muslim di dunia ini, untuk kesejahteraan abadi di akhirat kelak.

"Sebagai Muslim, kita semua diamanahkan untuk memelihara Islam dan umat Islam secara keseluruhan. Kita semua berperanan mengatur strategi mengikut kemampuan masing-masing untuk memelihara dan mempertahankan Islam dalam kerangka Perlembagaan Malaysia."Pada masa yang sama pendekatan yang berhikmah mestilah ditonjolkan kerana menegakkan Islam tidak boleh lari dari kerangka dakwah dan methodologinya sebagai agama rahmah seiring dengan firman Allah dalam Surah An-Nahl, ayat 125," kata Jakim.

Jakim juga mengingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang menobatkan Islam sebagai agama Persekutuan, manakala Islam yang diamalkan pula adalah berasaskan akidah, syariah dan akhlak berteraskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

"Kita juga amat meyakini bahawa Islam yang dibawa Nabi Muhammad dengan misi rahmatan lil alamin adalah satu-satunya ajaran yang benar lagi diredai oleh Allah bertepatan dengan firman-Nya dalam Surah Ali Imran ayat 19," kata Jakim.

Jakim berkata, sejarah telah membuktikan bahawa dengan kedatangan Islam yang menegakkan Negara Islam Madinah telah membawakan rahmat memayungi umat yang bernaung di bawah pemerintahan Islam.

"Kekuatan dan kesatuan ummah ketika itu menjadi asas kepada kegemilangan Islam sehingga terpelihara daripada sebarang ancaman, bahkan berkembang ke seluruh pelosok bumi," kata Jakim.
Bagaimanapun, khutbah Jumaat itu mempersoalkan sejauh mana kekuatan umat Islam sekarang ini untuk memelihara Islam.

"Adakah kita telah menjadi umat yang bersatu atau masih berpecah-belah? Realitinya kita dilihat tidak berdaya saing dan tidak berupaya dalam serba-serbi disebabkan perpecahan dan pergeseran.
"Apabila kita lemah dan berpecah-belah maka akan muncullah golongan yang tidak menyenangi Islam dengan membawa pelbagai tuntutan dan ancaman, bahkan ada yang menghina Islam dan institusinya di atas hujah kebebasan hak asasi manusia," kata Jakim.

Sehubungan itu, Jakim mengajak umat Islam supaya melakukan muhasabah sejauh mana kekuatan umat ini dari sudut politik, ekonomi, pendidikan, undang-undang dan lain-lain lagi.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/10/19/khutbah-jumaat-gesa-pertahan-islam-daripada-ancaman/


Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget