NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perlembagaan Persekutuan jayakan agenda kebangsaan


SEMALAM tanggal 5 Ogos, genaplah 61 tahun Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dimeterai yang menyaksikan Perlembagaan Persekutuan diangkat sebagai undang-undang tertinggi mentakrifkan prinsip perlembagaan dan sistem politik tanah air.

Atas kedaulatan Raja-Raja Melayu, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 diinstitusikan melalui perjanjian berkenaan yang dimeterai pada 5 Ogos 1957. Perjanjian itu pada hakikatnya merakamkan persetujuan Raja-Raja Melayu untuk melangsungkan konsep pemerintahan secara persekutuan yang diasaskan dalam Perjanjian Negeri 1948.

Perlu dinyatakan bahawa prerogatif Yang di-Pertuan Agong terhasil daripada delegasi kuasa kedaulatan dan prerogatif Raja-Raja Melayu bagi pembentukan sebuah Kerajaan Persekutuan yang kuat demi memelihara kepentingan bersama-sama di antara Persekutuan dan negeri.

Undang-undang tertinggi bermaksud apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan itu mengatasi peruntukan mana-mana undang-undang yang digubal selepas Hari Merdeka, sama ada di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, namun ia tidak bermaksud kedudukan Raja-Raja Melayu hari ini diwujudkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Prinsip perlembagaan negara kita terbina atas kedaulatan dan prerogatif Raja-Raja Melayu. Perkara 181(1) perlembagaan menetapkan kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja Melayu seperti sedia ada seperti sebelum Hari Merdeka tetap terpelihara dan tidak terjejas, melainkan setakat dihadkan oleh peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Bukan ciptaan perlembagaan

Prerogatif itu adalah kuasa, hak keistimewaan, kelebihan dan kelayakan terletak secara eksklusif pada seseorang atau kumpulan atau entiti atas sifat tertentu yang diiktiraf di sisi undang-undang.

Walaupun kedudukan itu tidak dinikmati semua, ia sah dan bukanlah satu bentuk diskriminasi yang bercanggah dengan kedaulatan undang-undang. Dalam hubung-kait di antara kedaulatan dengan prerogatif, prerogatif itu adalah manifestasi kepada kedaulatan.

Ia bermaksud prerogatif tertakluk pada kerangka kedaulatan di sisi undang-undang sesebuah negara, sama ada bercirikan continuum (berasaskan ajaran agama) atau dichotomy (berasaskan sekularisme yang terpisah daripada keagamaan dan tiada nilai khusus bersifat tetap, dipanggil dalam bahasa Inggeris sebagai 'relativism').

Perkara 181(1) juga memelihara prerogatif, kuasa dan bidang kuasa pembesar memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah masing-masing, tertakluk pada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri.

Prerogatif Raja-Raja Melayu bukan ciptaan Perlembagaan Persekutuan, tetapi ia sudah sedia ada dan diwarisi sekian lama atas sifat mereka sebagai pemerintah tertinggi negeri-negeri di Tanah Melayu.

Kedudukan itu selain termaktub dalam Perkara 181(1), juga diperjelaskan oleh Perkara 77 bahawa Badan Perundangan Negeri berkuasa untuk membuat undang-undang mengenai apa-apa jua yang tidak terkandung dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan Perkara 77 itu sesungguhnya satu manifestasi sumber kuasa penginstitusian Perlembagaan Persekutuan yang terbit daripada prerogatif Raja-Raja Melayu, memberi jaminan kepada hak Raja-Raja Melayu di bawah perlembagaan negeri masing-masing.

Hal ini terkandung dalam Perkara 77 yang berbunyi: Persekutuan adalah menjamin hak Raja sesuatu negeri untuk mewarisi dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak perlembagaan dan keistimewaan Raja negeri itu mengikut Perlembagaan negeri itu, akan tetapi apa-apa pertikaian tentang hak untuk mewarisi sebagai Raja mana-mana negeri hendaklah diputuskan hanya oleh mana-mana pihak berkuasa dan hanya mengikut apa-apa cara sebagaimana yang diperuntukkan oleh perlembagaan negeri itu.

Perlu difahami bahawa sistem demokrasi berparlimen tidaklah bermaksud Parlimen berkedudukan lebih tinggi daripada Perlembagaan Persekutuan. Prinsip itu termaktub dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kerangka undang-undang Malaysia, sistem demokrasi berparlimen menunjukkan bagaimana proses pemilihan ahli-ahli dewan perundangan Malaysia dibuat seperti termaktub dalam Bahagian 4, Bab 4 Perlembagaan Persekutuan.

Parlimen tidak boleh menggubal sebarang undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Sekatan sedemikian termaktub dalam Perkara 38(4) dan Perkara 159(5) yang mensyaratkan persetujuan Majlis Raja-Raja.

Sekatan lain diperuntukkan oleh Perkara 150(6A) yang menyentuh adat Melayu, hukum syarak, agama, kewarganegaraan dan bahasa juga di bawah Perkara 74 berkenaan had kuasa perundangan Parlimen.

Prinsip kedaulatan dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu akan menjadi lebih jelas sekiranya dirujuk kepada Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan (Constitutional Working Committee Report) bertarikh 18 November 1946.

Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan menyebut bahawa kedaulatan dalam setiap negeri Melayu hendaklah terpasak pada diri Raja negeri itu mengikut adat Melayu (CO 537/1530 No 50823 Part III).

Paksi adat Melayu, ajaran Islam

Laporan jawatankuasa itu penting kerana ketetapannya menghasilkan Perjanjian Negeri bertarikh 21 Januari 1948 yang menjadi batu asas kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, selanjutnya membentuk Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963.

Ia mensyaratkan bahawa prerogatif, kuasa dan bidang kuasa yang dimiliki oleh Raja-Raja Melayu adalah seperti pada 1 Disember 1941, iaitu satu tarikh sebelum pendudukan Jepun dan Perjanjian Harold MacMichael.

Pentakrifan kedaulatan Raja-Raja Melayu mengikut adat Melayu dengan sendirinya mengabsahkan sistem politik dan prinsip undang-undang, iaitu Islam sebagai undang-undang watan (law of the land) dan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam sejak sebelum Hari Merdeka.

Justeru, prerogatif Raja-Raja Melayu sehingga hari ini masih berpaksi pada adat Melayu dan prinsip ajaran Islam yang perlu dilaksanakan menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Kajian teks undang-undang bertulis dan sejarah perundangan menunjukkan bahawa Adat Melayu itu adalah apa yang ditakrifkan sebagai adab budaya dan undang-undang pada hari ini selain hukum hakam diwahyukan dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Ia merangkumi sistem, peraturan, ethos dan nilai yang tidak bercanggah dengan prinsip ajaran Islam seperti diwarisi daripada amalan masyarakat dan Kerajaan Melayu pada masa silam.

Hal ini kerana adat Melayu yang kekal adalah selagi ianya tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Pemakaian adat Melayu sesungguhnya masih relevan dan terpelihara.

Tafsiran undang-undang di bawah Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, "termasuklah undang-undang bertulis, common law setakat berkuatkuasa di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya dan apa-apa adat atau kelaziman yang mempunyai kuat kuasa undang-undang di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya" menunjukkan legitimasi adat Melayu dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Kedudukan adat Melayu dan hukum syarak juga dilindungi Perlembagaan Persekutuan walaupun ketika berlakunya darurat seperti dinyatakan dalam Perkara 150(6A).

Dari sudut prinsip kuasa eksekutif, oleh kerana adat Melayu itu mentakrifkan kedaulatan Raja-Raja Melayu, maka prinsip adat Melayu dan ajaran Islam itulah rujukan sebenar prerogatif Raja-raja di bawah Perkara 181(1).

Kuasa eksekutif Seri Paduka

Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu perlu melaksanakan prerogatif mereka berdasarkan adat Melayu dan prinsip undang-undang Islam menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Prerogatif Yang di-Pertuan Agong masih perlu dihuraikan meskipun di sisi undang-undang, Perlembagaan Persekutuan menetapkan kebanyakan kuasa eksekutif baginda dilaksanakan atas nasihat Perdana Menteri, Jemaah Menteri atau pihak yang diberi kuasa sedemikian.

Ini kerana Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan semua pihak yang diberikan fungsi kuasa eksekutif itu pada hakikatnya adalah pelaksana kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong.

Dari sudut lain, nasihat Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan mana-mana pihak yang diamanahkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah tertakluk pada prinsip kedaulatan undang-undang.

Justeru nasihat yang diberikan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang tidaklah boleh bercanggah dengan prinsip prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Prinsip yang sama juga terpakai di setiap negeri Melayu.

Dari sudut pentadbiran keadilan, setiap mahkamah yang melaksanakan kuasa kehakiman Persekutuan di bawah Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan pada hari ini perlulah menjadikan satu amalan apabila ada lakuna dalam undang-undang atau prinsip perundangan, maka terlebih dahulu pentafsiran menurut adat Melayu dan prinsip perundangan Islam diberi keutamaan.

Hal yang sama terpakai ke atas setiap ahli Majlis Parlimen kerana mereka berikrar untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Akhirnya, sekiranya setiap pihak yang mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing di bawah Perlembagaan Persekutuan berpegang pada kedaulatan Malaysia berkonsepkan prinsip prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menurut tafsiran jurisprudens watan tanah air, sudah pasti agenda kebangsaan dapat dilaksanakan atas landasan betul.

Sudah pasti juga ia mampu menguruskan pelbagai isu yang dilihat mampu menggugat ketenteraman hidup warganegara Malaysia tercinta ini dengan seadilnya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo