NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pasca PRU14, UMNO perlu cari 'rakan kongsi' baharu


KUALA LUMPUR 19 Ogos –UMNO perlu mencari 'rakan kongsi' lain yang mampu membela kepentingan kaum selain Melayu untuk mengukuhkan lagi perkongsian Barisan Nasional (BN).

Penganalisis politik, Azmi Hassan berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana rakan kongsi sedia ada seperti MCA, MIC sudah kurang efektif selain rakan kongsi di Sabah dan Sarawak pula sudah tiada kewujudannya.

"Paling ketara, asas perjua­ngan UMNO adalah mem­bela nasib bangsa Melayu dan pertahankan agama Islam perlu diteruskan. Bukan sahaja keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjerumus sokongan Melayu masih bertaut kepada UMNO dan senario politik semasa yang mana serangan terhadap apa saja berkait Me­layu dan Islam masih berterusan tanpa kekangan maka menjadi lebih penting UMNO menjadi benteng terakhir.

"UMNO perlu mencari rakan kongsi yang mampu membela kepentingan kaum lain supaya formula kerjasama melalui struktur BN dapat dihidupkan kembali.

"Memang benar kerjasama dengan Pas menjadi keutamaan tetapi UMNO juga perlu jalin kerjasama dengan parti lain yang menjaga kepentingan kaum lain serta penduduk Sabah dan Sarawak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas artikel bertajuk 'UMNO perlu berubah' menerusi ruangan Forum Utusan Malaysia yang antara lain menyatakan punca penolakan dan kekalahan perlu dikesan serta langkah-langkah pemulihan parti perlu segera diambil.

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan berpandangan, UMNO harus menilai sepenuhnya kegagalan PRU-14 walaupun sebagai sebuah entiti politik Melayu, sokongan mereka merupakan paling baik dengan 51 kerusi ketika ini.

Katanya, beberapa budaya politik parti juga perlu diteliti kerana masih dianggap elitis, budaya warlords-godfather, pengkaderan yang cepat dan mudah bagi memastikan ahli menjadi orang UMNO dan bukan semata-mata ahli parti.

Menurut beliau, kepemimpinan baharu naratif politik juga harus bersesuaian dengan persekitaran politik baharu kerana penting menampakkan 'kepemimpinan' dan pasukan yang memahami pemikiran politik itu.

"Selain itu, mereka juga boleh menubuhkan Majlis Penasihat Parti untuk menilai, meneliti dan menggarap sentimen politik terkini. Majlis itu boleh dianggotai oleh pemimpin berpengalaman dalam parti dan kerajaan termasuk yang pemimpin lama dan baharu supaya memahami perjuangan UMNO dan pengubahsuaian yang perlu dibuat pada masa ini," katanya.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo