Tujuh Pencalonan Presiden UMNO



KUALA LUMPUR – Buat pertama kali, UMNO menerima tujuh pencalonan untuk jawatan presiden pada pemilihan parti itu, akhir bulan ini.

Bagi jawatan timbalan presiden, tiga calon menawarkan diri, manakala sembilan calon untuk jawatan naib presiden.

Difahamkan, selain pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang mengesahkan akan bertanding jawatan presiden, empat lagi calon dikatakan gagal memenuhi kelayakan, termasuk menjadi Ahli Majlis Tertinggi selama sepenggal.

Bagi jawatan timbalan presiden, selain bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Anuar Musa, jawatan itu juga bakal ditandingi bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh, berkata pemilihan kali ini mencipta sejarah apabila menarik penyertaan ramai calon berikutan dasar UMNO yang membuat pemilihan parti secara terbuka.

Beliau berkata, sehingga waktu penghantaran borang pencalonan ditutup jam 5 petang tadi, UMNO menerima pencalonan daripada 612 orang untuk semua jawatan, daripada jawatankuasa sayap hingga kepada Majlis Tertinggi (MT).

Katanya, calon akan disaring dalam pelbagai kaedah pada sudut kelayakan dan akan disemak di Jabatan Insolvensi terlebih dahulu sebelum dimuktamadkan.

Senarai calon yang layak dan cabutan nombor undi calon di semua peringkat akan diumumkan jam 5 petang esok oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Di samping itu, Ab Rauf berkata, parti menerima 121 pencalonan untuk Ahli MT, manakala timbalan pengerusi tetap (14) dan pengerusi tetap (tiga).

Beliau berkata, mengikut fasal 9.5 Perlembagaan UMNO, mana-mana calon yang hendak bertanding di peringkat MT daripada jawatan pengerusi tetap hingga ke ahli MT, mereka perlu memenuhi syarat kelayakan menduduki MT selama sepenggal atau berada dalam jawatankuasa bahagian untuk tempoh yang sama.

Mengikut fasal 9.2.7 Perlembagaan UMNO, jumlah Ahli MT yang dipilih menerusi pemilihan parti tidak boleh melebihi 25 orang, manakala fasal 9.2.8 menetapkan Ahli MT yang dilantik oleh Presiden tidak lebih 12 orang, termasuk sekurang-kurangnya seorang daripada sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Ab Rauf berkata, parti turut menerima 88 borang pencalonan untuk Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO, selain empat calon ketua wanita, manakala naib ketua wanita (enam), timbalan pengerusi tetap (empat) dan satu pencalonan bagi jawatan pengerusi tetap.

Katanya, seramai 207 calon menawarkan diri untuk Ahli Jawatankuasa Pemuda, manakala masing-masing sembilan calon bagi jawatan ketua pemuda dan naib ketua pemuda, manakala timbalan pengerusi tetap (14) dan pengerusi tetap (12).

“Kami turut menerima 87 borang pencalonan untuk Ahli Jawatankuasa Puteri selain empat pencalonan untuk jawatan ketua puteri, naib ketua (enam), serta masing-masing dua calon bagi jawatan timbalan pengerusi tetap dan pengerusi tetap,” katanya.

Mengulas tindakannya enggan menamakan calon yang bertanding, Ab Rauf berkata, beliau bimbang dilihat sebagai pihak yang menentukan kelayakan calon terbabit, sebaliknya mahu menyerahkan kepada panel pemilihan untuk mengumumkannya.

Proses pencalonan untuk semua jawatan bahagian, tiga sayap dan MT bermula 1 Jun lalu menerusi tiga kaedah pencalonan iaitu dalam talian, melalui pejabat UMNO bahagian dan menghantar sendiri borang pencalonan ke ibu pejabat UMNO.

Pemilihan jawatan tiga sayap akan dijalankan pada 23 Jun, manakala peringkat bahagian dan MT pada 30 Jun serentak di 191 bahagian.

Ini kali kedua UMNO adakan pemilihan langsung selepas pindaan perlembagaan parti pada 2009 dengan kali terakhir pemilihan diadakan pada Oktober 2013.

Pindaan itu menghapuskan syarat kuota diperlukan calon, sekali gus tidak memerlukan pencalonan daripada bahagian. – BH ONLINE
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget