NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu: Tiada ADUN Dipinggir Daripada Peruntukan DUN


KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu memberi jaminan bahawa semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada parti pembangkang Barisan Nasional (BN) akan diberikan peruntukan DUN untuk pembangunan di kawasan masing-masing.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata peruntukan itu diberi mengikut keperluan DUN masing-masing terutama yang mempunyai keperluan mendesak setelah penyesuaian semula kewangan dilakukan.

“Tiada DUN yang dipinggirkan daripada menerima peruntukan tersebut dan kita akan pertimbangkan pemberian itu mengikut keperluan dan perbelanjaan di kawasan masing-masing.

“Sebagai contoh, jika di kawasan itu memerlukan peruntukan untuk membaiki rumah rakyat, kita akan dahulukan dan begitu juga kegunaan yang lain, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Ladang di sini, hari ini. Turut hadir ADUN Ladang Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.

Ahmad Samsuri sebelum ini mendedahkan bahawa kerajaan negeri terpaksa melaksanakan catuan kewangan dengan memberi keutamaan kepada ADUN PAS kerana peruntukan wakil rakyat BN yang sepatutnya dibelanjakan dari Januari hingga Disember telah habis digunakan pada April iaitu waktu pilihan raya umum lepas.

Ditanya jika tindakan akan diambil terhadap ADUN berkenaan, Ahmad Samsuri berkata ia bukan masa untuk kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap mereka.

“Tiada tindakan dikenakan sebab ini untuk kepentingan rakyat… kita ada enam bulan lagi untuk mencari sumber kewangan bagi setiap DUN. Kita boleh lakukan sebab kita mempunyai akaun berbeza-beza,kalau satu akaun kosong tidak bermakna kita tidak boleh buat apa-apa,” katanya.

Ahmad Samsuri dalam pada itu mengalu-alukan peruntukan RM100,000 yang diberikan kepada Anggota Parlimen daripada pembangkang seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

“Cuma mekanisme penggunaan peruntukan itu belum diperincikan…untuk kegunaan apa dan cara ia akan digunakan. Semuanya akan diperincikan oleh pihak Perbendaharaan kelak,” katanya. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo