NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rangkuman: Dr M Daim Rafidah Najib Tian Chua Steram Mohamad Hassan Hadi Memali Syahid Mati Katak Skandal Mat Sabu Undi Awal

0


Rangkuman ke-7: Najib ke Langkawi, Memali dan 'calon kunci'


RANGKUMAN | Berbaki lima hari lagi sebelum hari mengundi, kempen-kempen pilihan raya umum (PRU) semakin rancak di seluruh negara.

Pakatan Harapan (HARAPAN) meneruskan siri kempennya, kali ini di Melaka dengan menampilkan dua bekas menteri - Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz.

Kedua-dua tokoh itu berkongsi pentas dengan Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad.

Seorang lagi bekas menteri Umno, Tan Sri Rais Yatim yang juga dilihat cenderung menyokong HARAPAN berkongsi pemerhatiannya bahawa 'lautan perubahan' sedang melanda, sebagai merujuk kehadiran orang ramai di program-program HARAPAN.

Sementara itu, selepas kunjungan Dr Mahathir ke Pekan, giliran pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak pula mengunjungi gelanggang pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) di Langkawi. Najib hari ini turut berkempen di Terengganu.

Dalam program di Jalan Pantai Chenang, Langkawi, calon BN Datuk Nawawi Ahmad berkata BN tidak seharusnya dipersalahkan atas kenaikan harga barang kerana perkara itu sudah terjadi sejak zaman Jepun.

Timbalan perdana menteri sementara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula dalam programnya di Baling, Kedah mengingatkan calon dan penyokong BN agar berhati-hati dengan 'kejutan serangan saat akhir' pembangkang.

Zahid merujuk kepada dakwaan pembangkang pada PRU sebelum ini yang mengatakan warga Bangladesh dibawa masuk untuk mengundi dan menangkan BN.

Pak cik berkopiah, calon kunci

Lain kisahnya di Johor apabila calon DAP Bakri Yeo Bee Yin terkejut dengan tindakan seorang pak cik Melayu berkopiah yang menghulurkan sumbangan RM500 bagi tabung pilihan raya dalam sebuah program di Muar, semalam.

Kejadian itu seakan mengiyakan sedikit-sebanyak apa yang dicanangkan HARAPAN sebagai 'tsunami Melayu' dengan Johor merupakan antara negeri yang diharapkan pembangkang untuk menyumbang kerusi bagi mengambil alih Putrajaya.

Di ibu kota, penyandang parlimen Batu Tian Chua terpaksa menerima hakikat beliau tidak akan mempertahankan kerusinya pada PRU kali ini selepas mahkamah hari ini menolak saman pemulanya. Saman pemula itu dikemukakan bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membatalkan pencalonan Tian Chua pada 28 April lalu.

Bagaimanapun, HARAPAN berjaya mencapai kata sepakat dengan calon bebas P Prabakaran yang memakai logo kunci untuk mempertahankan parlimen Batu. Prabakaran dikatakan bersedia berbincang untuk menyertai HARAPAN sekiranya menang selepas PRU.

Menteri besar sementara Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yang menang tanpa bertanding di dewan undangan negeri (DUN) Rantau tampil mengesahkan pegawai SPR yang terlibat menghalang calon HARAPAN Dr S Streram masuk ke pusat penamaan calon adalah bekas pemimpin Umno.

Mohamad bagaimanapun menjelaskan pegawai berkenaan hanya menerima arahan dari pegawai pengurus pilihan raya (RO) Rembau Amino Agus yang menurutnya individu yang bertanggungjawab membuat keputusan itu.

Dr M mohon maaf, Hadi terima

Media pula hari ini bertumpu kepada permohonan maaf Dr Mahathir berhubung kenyataannya menyifatkan mangsa yang terkorban dalam tragedi berdarah Memali pada 1985 sebagai 'mati katak' dan bukan syahid seperti dianggap PAS.

Dr Mahathir mengaku beliau terkasar bahasa dan memohon maaf kepada keluarga yang terlibat dengan kematian di Memali.

Permohonan maaf terbuka itu dibuat selepas anak penduduk kampung yang terkorban Mohamad Zuhdi Mat Piah meluahkan perasaan tidak puas hati secara keras terhadap Mahathir di Facebook.

Tidak lama selepas permohonan maaf itu dibuat, Presiden PAS Datuk Seri Abdu Hadi Awang menerima permohonan maaf Dr Mahathir.

Abdul Hadi juga berkata beliau tidak kisah jika Dr Mahathir terus menyerangnya kerana memahami memang itu sikap bekas perdana menteri terbabit dan tidak pernah berubah.

PAS tak campur tangan video seks

Turut mendapat perhatian media hari ini ialah berhubung dakwaan video seks yang dikatakan melibatkan pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH).

Sehari selepas dakwaan itu dibuat oleh lelaki bernama Rizal Bakar yang mendakwa dirinya ahli AMANAH, pemimpin AMANAH tampil menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai agenda politik.

AMANAH pula akan mengambil tindakan sama terhadap tiga individu yang terlibat dalam sidang media itu semalam kerana didakwa menyamar sebagai anggota mereka.

Setiausaha agung parti itu Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata nama Rizal tiada dalam pangkalan data mereka dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Rizal dan tiga individu lain.

Timbalan presiden AMANAH Salahuddin Ayub mendakwa pendedahan itu berpunca daripada "berita palsu" BN. Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN (BNSC), Eric See-To bagaimanapun menafikan tuduhan itu.

PAS pula dilihat berhati-hati untu tidak menghakimi skandal yang dikaitkan dengan bekas pemimpin mereka.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menekankan bahawa seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan dia bersalah. Tuan Ibrahim turut mengecam pihak yang bertanggungjawab menyebarkan dakwaan berkenaan dan menyifatkan ia sebagai percubaan untuk membunuh karakter Mohamad Sabu.

Undi awal dibuka

Selain itu, perkembangan yang turut mendapat perhatian adalah kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamd Fuzi Harun yang hari ini mengingatkan anggota keselamatan termasuk pegawai polis dan tentera bahawa mereka berhak mengundi parti pilihan mereka sendiri.

Mohamad Fuzi juga menegaskan bahawa undi mereka adalah rahsia. Proses undi awal akan bermula 9 pagi nanti (5 Mei) dan dijangka berakhir pada 5 petang.

Memasuki pusingan terakhir sebelum hari mengundi, esok dan lusa merupakan hujung minggu terakhir bagi setiap parti berkempen sebelum hari mengundi pada Rabu, 9 Mei.

Pelbagai analisis dan ramalan dibuat. Yang pasti, rakyat Malaysia bakal membuat satu keputusan yang akan menentukan nasib mereka dan kerajaan yang akan memerintah dalam penggal berikutnya.


Sumber:
https://www.malaysiakini.com/news/423131

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo