Memperkasakan JAKIM Dan Peranannya 




Coretan khas buat : YAB Tun Dr. Mahatir bin Mohamed
Perdana Menteri Malaysia

Saya dihubungi oleh beberapa orang sahabat yang mahukan penjelasan berkenaan dengan nasib Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan peranannya sebagai penyelaras institusi agama di Malaysia. Sejujurnya, saya tidak mahu memberi sebarang komentar tetapi memikirkan tentang nasib agama, saya gagahkan diri untuk menulis coretan ringkas ini. Maaf, ulasan ini agak panjang, kalau rasa malas anda hanya perlu tekan ke bawah atau delete sahaja paparan ini.

YAB Tun,

Penubuhan JAKIM bukanlah asing bagi Tun. Sudah tentu, YAB sendiri mengetahui akan penstrukturan penubuhannya semenjak dari peringkat awal adalah menepati semangat Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama bagi persekutuan. Bersesuaian dengan kedudukan ini, ianya mesti dijaga dan dipertahankan seperti yang termaktub dalam sumpah jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa:

“37.(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah sebelum menjalankan fungsinya mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan yang dinyatakan dalam Bahagian I Jadual Keempat di hadapan Majlis Raja-Raja dan dengan kehadiran Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (atau semasa ketiadaannya dengan kehadiran hakim Mahkamah Persekutuan yang kanan selepasnya yang ada); dan sumpah itu hendaklah diakusaksikan oleh dua orang yang dilantik bagi maksud itu oleh Majlis Raja-Raja”.

Penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) telah diperkenan oleh Majlis Raja-Raja pada tahun 1968, di mana YAB Perdana Menteri diberi bertanggungjawab sebagai Pengerusi, manakala Unit Ugama JPM berfungsi sebagai urus setianya. Pertanggungjawaban ini adalah selaras dengan kuasa-kuasa eksekutif Persekutuan yang dijelaskan dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan seperti berikut:

“Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.”

YAB Tun,

Saya mendengar sendiri sidang media YAB Tun selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di mana YAB Tun ada mengulas sepotong ayat Quran daripada surah al-Baqarah, 2:256 yang bermaksud :

“Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam)”

Sejujrnya, YAB Tun perlu merujuk tafsiran itu dengan mereka yang jauh lebih memahaminya dalam konteks yang sebenar tanpa sebarang prejudis terhadap agama. Apa yang disebut oleh YAB Tun sama sekali tidak tepat dan menyalahi ilmu tafsiran yang sebenar, secara tidak langsung sebenarnya YAB Tun telah menzalimi diri sendiri apabila mentafsirkan ayat Allah mengikut kehendak hawa nafsu sendiri tambahan pula ianya menyalahi kaedah tafsiran itu sendiri.

Saya tidak berniat untuk mengajar YAB Tun, tetapi ayat itu jelas menunjukkan tiada paksaan bagi mereka untuk memeluk Islam seperti mana yang dijelaskan dalam riwayat asbabun nuzul ayat tentang paksaan seorang ayah kepada anaknya untuk memeluk Islam. Bukan seperti mana yang difahami oleh YAB Tun. Bagi sesiapa yang sudah memeluk Islam seperti saya, YAB Tun dan kaum muslimin-muslimat di Malaysia terikat dengan peraturan agama Islam yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui al-Quran, al-Sunnah, Ijma dan Qiyas.

YAB Tun,

Saya tidak mahu panjangkan isu tafsiran tersebut. Saya percaya sekiranya diberikan peluang, saya sudi berjumpa dan memberi kefahaman tentang ayat ini kepada YAB Tun. Cuma, besarlah harapan saya agar YAB Tun tidak menzalimi kewujudan JAKIM itu sendiri dek kerana protes dan kebimbangan mereka yang sudah lama membenci agama Islam.

Untuk pengetahuan YAB Tun, Jakim adalah sebuah institusi yang sangat dihormati di mata dunia Islam berdasarkan lapan teras utama penubuhan Jakim yang sentiasa dilihat sebagai pembawa imej Islam yang sebenar. Sebagai contoh, Bahagian Hab Halal Jakim sentiasa menjadi rujukan utama dunia luar termasuk negara bukan Islam bagi memastikan produk keluaran negara mereka menepati piawaian shariah Islam. Bukan sahaja contoh, malah logo Halal Jakim juga menjadi satu logo yang sangat dihormati dan disegani.

Saya tidak menafikan ada beberapa perkara yang kadangkala menjadi isu dalam kalangan penduduk dan rakyat Malaysia tentang Jakim, tetapi ianya bukanlah alasan untuk meruntuhkan sebuah institusi yang sangat dihormati. Selain Bahagian Hab Halal, Jakim juga memainkan peranan dalam menggubal dan menyeragamkan undang-undang shariah di Malaysia, menyelaras pentadbiran Islam serta menyelaras dan membangunkan pendidikan Islam di Malaysia.

YAB Tun,

Islam adalah agama rahmat selaras dengan firman-Nya, rahmatan lil 'alamin. Memberi gambaran zalim kepada Jakim adalah suatu yang tidak tepat hanya kerana pentadbiran kerajaan lama yang menyalahgunakan kedudukan mereka dalam aspek kewangan dan sebagainya. Apa sahaja yang dilakukan atau dilaksanakan oleh Jakim adalah terjemahan daripada ajaran agama Islam itu sendiri. Islam adalah agama nasihat dan mudah, namun sebagai umat Islam kita dilarang keras daripada ambil mudah dengan urusan agama.

Untuk makluman YAB Tun, tiada yang mampu mendidik hati manusia untuk mengelak daripada melakukan kezaliman, keburukan dan kemungkaran melainkan hati mereka dididik dengan ajaran Islam yang sebenar dan rasa takut kepada Allah. Orang Islam yang mengikuti ajaran agamanya yang sebenar tidak akan menyeleweng, melakukan perbuatan yang salah, korupsi atau khianat dengan amanah yang telah diberikan.

YAB Tun,

Justeru, saya mohon mencadangkan agar :

1⃣ Diwujudkan sebuah pasukan Suruhanjaya Diraja yang mengumpulkan ulama dan umara' bagi mengkaji semula penstrukturan organisasi dan cadangan penambaikan bagi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

2⃣ Jakim diletakkan terus dibawah pemantauan Majlis Raja-Raja, bukan sahaja berperanan untuk menjaga institusi agama tetapi diberikan kuasa untuk memainkan peranannya sebagai sebuah organisasi penyelaras dan bukan di bawah kuasa menteri sepenuhnya.

Saya berdoa agar Allah SWT memuliakan YAB Tun dan mengurniakan nikmat kesihatan yang baik buat YAB Tun agar dapat memimpin Malaysia dengan jiwa yang besar, amanah serta bertaqwa kepada-Nya. Semoga catatan ringkas ini sangat bermanfaat buat YAB Tun dan seluruh kepimpinan Malaysia Baru.


Amir Muttakin bin Haji Ab Ghani
Mantan Pegawai Hal Ehwal Islam
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
30hb Mei 2018 / 14 Ramadhan 1439
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget