NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mengenang Dua Sahabat baik Dr Ahmad Samsuri


Bila mendapat perkhabaran Ustaz Ismail Che Dagang (ICD) telah pergi selamanya pada Ahad 20hb Mei, 2018 baru-baru ini saya termanggu dan hilang kata-kata apabila mendapat perkhabaran menyedihkan seorang insan yang baik dan berjasa telah mengadap Ilahi lebih kurang waktu zuhur empat Ramadan ini. 

Saya diberitahu beliau mula tidak sihat sebelum ceramah di Kuala Berang lagi tetapi beliau berkeras untuk pergi juga. Saya sempat ziarah beliau di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada petang Rabu, beberapa hari sebelum beliau meninggal.


Almarhum yang dikenali dengan panggilan ringkas ICD dikalangan teman2 alumni UKM merupakan seorang pendidik dan pendakwah yang tidak asing bukan sahaja di Negeri Terengganu bahkan di seluruh pelusuk negara. 

Saya agak rapat dengan ICD ketika beliau yang menjadi guru menyambung pengajian peringkat ijazah di Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia pada akhir tahun 80’an dan awal 90’an. Saya juga kebetulan menyambung ijazah juga di Pusat Pengajian Kuantitatif (PPK) UKM ketika itu. 

Kami menjadi rapat ketika kerana ketika beliau menjadi Amir Islam Penyelamat Ummah (IPU) dan saya pula entah macam mana diberikan peranan sebagai ‘Penasihat’ Jentera Pilihanraya IPU. 

Bila PAS menang di Terengganu pada tahun 1999, beliau dilantik sebagai Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT). Sekali lagi beliau meminta saya membantu beliau di YPKT dengan mengetuai sebuah anak syarikat yang berasaskan IT milik penuh YPKT. 

Beliau terpaksa melepaskan kerjaya sebagai guru di bawah Kementerian Pendidikan tanpa pencen kerana akur dengan arahan pimpinan parti untuk memikul tanggungjawab membantu Negeri Terengganu yang kekurangan tenaga pakar yang boleh diharapkan dan serasi dengan pimpinan negeri saat itu.

Sebaik sahaja kerajaan PAS tumbang di Terengganu pada 2004, saya berpengalaman mengikutinya ke Johor yang menjadi rutin bulanannya ketika itu untuk berdakwah di sana. Saya dapati sambutan rakan-rakan dan kenalan di Johor terhadap beliau memang amat mengkagumkan dan diluar jangkaan saya.

Kali ini beliau tidak sempat untuk melihat hasil kemenangan yang diraih sekali oleh PAS pada tahun 2018 setelah beliau dan rakan-rakan bertungkus lumus memenangkan PAS dalam pilihanraya umum ke-14.

Beliau pergi ketika kerajaan Terengganu baru ditubuhkan dan dipimpin oleh Dr Ahmad Samsuri (anak buahnya) semasa di UKM dahulu. Sebenarnya banyak catatan suka duka bersama dengan arwah kalau hendak dicatatkan. Cukuplah sekadar ini sedikit catatan di sini sebagai kenangan berjuang bersama dengan almarhum sejak dari zaman kampus.

Kehilangan Dr Khazani masih terasa


Lebih kurang pada tanggal yang sama setahun lalu, saya juga dikejutkan dengan pemergian mengejut sorang lagi sahabat baik saya, Dr Mohd Khazani Abdullah. Kami sama-sama terlibat mengasas dan membangunkan NGO Perantau Terengganu sebaik sahaja PAS kalah di Terengganu pada tahun 2004 dahulu sebagai sebuah badan perkumpulan anak-anak Terengganu di luar bumi Terengganu.

Dengan kejatuhan kerajaan PAS Terengganu pada tahun 2004, kami yang pernah terlibat dengan kerajaan PAS di Terengganu (1999-2004) lebih serius membantu Tuan Guru Presiden membangunkan kembali kekuatan PAS, terutama di Terengganu bagi kembali ke Wisma Darul Iman.

Kenangan bersama Arwah di Sabah. Kami terserempak di Lapangan Terbang Sabah. 

Arwah adalah salah seorang dari 5 orang yang menjadi pemegang amanah kepada Perantau sejak ditubuhkan pada 2004 bersama dengan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu sekarang. Dari awal hinggalah keakhir hayatnya, arwah memegang jawatan Timbalan Presiden Perantau.


Sebelum itu beliau juga menjadi pengasas dan memegang jawatan Timbalan Presiden Ilmuan, sebuah wadah yang menghimpunkan para cendekiawan yang mempunyai fikrah Islam tetapi melepaskan jawatan Timbalan Presiden setelah beberapa sesi kepimpinan Ilmuan selepas ditubuhkan. 

Sumbangan besar arwah bukan sahaja kepada PAS Terengganu malah juga kepada PAS Pusat terutamanya selepas krisis kepimpinan pasca pemilihan pada 2015 dimana di mana idea Tuan Guru Presiden ini diterjemahkan di atas kertas oleh Dr Khazani dan menjadi pemikir utama untuk pengenalan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). 

Ini adalah satu usaha besar PAS mendekati pelbagai strata sosial masyarakat dengan merangka WINS 2051(Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051) serta melakar "road map" PAS ke arah kejayaan PRU ke-14. 

Apa yang saya tidak boleh lupakan adalah arwah seorang yang pemurah dan sanggup berkorban wang ringgit bagi melihat apa yang dirancang Berjaya dilakukan, Kereta STAREX beliaulah menjadi ‘kenderaan rasmi’ kami perantau berulangalik ke Terengganu saban bulan menghadapi PRU ke12 dan ke13 dahulu. Malah beliau juga salah seorang yang banyak membiayai ‘dana kewangan’ perantau untuk bergerak

Terlalu banyak kenangan suka duka untuk dicatatkan di sini bersama dengan arwah dan Perantau berjuang untuk mencapai kemenangan bagi menegakkan pemerintahan berasaskan Islam yang dipimpin oleh PAS di Terengganu. Tetapi saying arwah tidak sempat untuk melihat kejayaan yang dirangka dan dirntis sebelum ini bersama dengan PAS Terengganu

Satu yang terkesan dilubuk hati, ketika arwah Dr khazani meninggal, saya bersama Hj Nurkhuzaini Abdul Rahman (sekarang exco Keusahawan Terengganu), kami dalam perjalanan ke Air Kuning Perak untuk satu program Konvensyen IT di Perak dan ketika Ustaz Ismail Dagang meninggal, saya bersama Ustaz Ariffin Deraman (exco Pelancongan dan IT Terengganu) dalam perjalanan ke pejabat Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil mantan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan

Tidak dapat menahan sebak dengan pemergian arwah.


Marilah sama-sama kita sedekahkan Alfatihah kepada kedua-dua arwah dan lain pejuang yang telah mendahului kita semua dalam perjuangan ini. 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo