NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ekonomi: Hutang negara bukan 1 Trilion?




Oleh: MUHAMMAD FAIZ SULONG

KUALA LUMPUR - Ketidaktentuan kerajaan dalam membuat keputusan membabitkan ekonomi negara termasuk wujudnya cadangan pihak tertentu menjual 25 peratus pegangan dalam Petronas bagi melunaskan hutang 1MDB dan hutang luar yang dikatakan RM1 trilion dilihat membangkitkan kebimbangan rakyat.

Unit Komunikasi Strategik Umno, menerusi satu kenyataan hari ini mempersoalkan motif terlindung cadangan tersebut walhal status ekonomi sebelum ini mendapat penarafan tinggi daripada agensi-agensi antarabangsa seperti Standard & Poor's serta Moody's dan Fitch.

Kenyataan itu turut menggesa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhenti mempolitikkan isu 1MDB dan hutang luar negara selepas Guan Eng mengesahkan hutang negara cuma RM686.8 bilion dan bukannya RM1 trilion seperti diuar-uarkan sebelum ini.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan hari ini gagal mengiktiraf sasaran pertumbuhan ekonomi 5.9 peratus, unjuran yang dibuat Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa.

Ini juga menunjukkan kerajaan enggan menerima hakikat bahawa aset 1MDB mampu membiayai hutangnya sendiri serta fakta bahawa defisit fiskal negara menurun daripada 3.0 peratus kepada 2.8 peratus.

"Kalaulah benar hasil jualan saham Petronas RM200 bilion itu dikhaskan untuk membayar hutang negara, dari mana pula lebihan RM800 bilion akan diperolehi untuk mencukupkannya?

"Apakah kerajaan bercadang pula menjual saham dalam dalam syarikat gergasi lain atau menswastakan sebahagian agensi yang ada? Apakah kerajaan akan menjemput penyertaan (campur tangan asing) ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ada. Mungkin juga kerajaan boleh memikirkan sebahagian pemilikan di dalam Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Bhd misalnya, dicagarkan pula kepada entiti asing," katanya.

Selain itu, kenyataan berkenaan turut mempersoalkan kredibiliti Guan Eng, yang digambarkan mempunyai kes berkaitan rasuah yang belum selesai namun boleh bercakap mengenai rasuah 1MDB, hutang negara yang direka-reka angkanya dan soal unjuran ekonomi.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo