Dr M jadi benteng lawan gelombang Islam PAS

Dr Mahathir secara konsisten lantang menentang hukuman jenayah hudud dengan menyifatkan ia tidak Islam dan tidak patut dilaksanakan di Malaysia

Dr M jadi benteng lawan gelombang Islam PAS

PETALING JAYA: Mereka yang menentang Islamisasi PAS perlu menganggap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sekutunya, kata peguam, Gurdial Singh Nijar.

Bekas pensyarah undang-undang itu mendapati pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sangat lantang menentang program Islamisasi yang dikemukakan PAS.

“Semasa menjadi perdana menteri buat pertama kali (1981 hingga 2003), beliau cuba meneutralkan usaha PAS mempolitikkan Islam,” katanya sambil menambah Dr Mahathir cuba menangani masalah itu melalui usaha memihak kepada kerajaan ketika itu.

“Apa yang beliau lakukan ialah mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam, dengan mengetahui apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada FMT selepas menghadiri sebuah forum mengenai keputusan pilihan raya umum anjuran Majlis Gereja Malaysia.


Kemudian, Dr Mahathir mula menubuhkan pelbagai institusi seperti perbankan Islam dan institusi agama lain untuk menyokong pandangan kerajaan bagi melawan usaha Islamisasi PAS.

Gurdial berkata, Dr Mahathir secara konsisten lantang menentang hukuman jenayah hudud dengan menyifatkan ia tidak Islam dan tidak patut dilaksanakan di Malaysia.

“Dari segi ini, Dr Mahathir ialah sekutu.”

Tetapi, Gurdial turut mendapati PKR tidak mengambil pendirian jelas mengenai usaha PAS untuk memperluaskan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah melalui satu rang undang-undang (RUU) persendirian.

“Mereka kata perlu lebih banyak masa, mereka perlu memikirkannya dengan lebih berhati-hati, mendapatkan pandangan orang lain dan tidak boleh terburu-buru dan perlu ditangguhkan. Pendirian mereka kurang jelas berbanding Dr Mahathir.”

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan RUU persendirian untuk meminda Akta 355 atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

RUU itu mencadangkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah ditambah kepada 30 tahun, denda maksimum RM100,000 dan sebat 100 kali berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Gurdial berkata, pengaruh PAS di kawasan pedalaman Melayu, khasnya pantai timur boleh menjadi cabaran kepada PH.

Katanya, pengundi PAS mungkin tidak bersetuju dengan hala tuju PH yang bergerak ke arah lebih terbuka, liberal, bebas dan telus.

“PKR mungkin perlu menjadikan sesetengah dasarnya lebih sederhana dengan mengambil kira sensitiviti pengundi ini.”


Sumber:
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/20/dr-mahathir-jadi-benteng-lawan-gelombang-islam-pas/
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget