Di manakah Agenda Islam Dalam Manifesto PH



Saya berharap saya tidak terkeliru atau dikelirukan dengan Buku Harapan – Dimanakah Agenda Islam Dalam Manifesto PH?

Pakatan Harapan telah mengeluarkan buku manifesto mereka yang bertajuk Buku Harapan dengan janji “akan memastikan semua rakyat pelbagai bangsa dan agama dapat berkongsi hasil kemakmuran dan kemajuan negara secara adil dan saksama”.

Banyak yang telah diperkatakan tentang buku manifesto ini namun terdapat satu perkara teras yang amat penting yang pada saya telah menimbulkan persoalan yang amat besar tentang ideologi dan asas negara yang cuba dipinda oleh pakatan DAP, PKR, PAN, PPBM dan sekutu mereka secara halus tanpa disedari oleh majoriti rakyat Malaysia.

Pada muka surat 10 dokumen yang setebal 195 mukasurat itu, antara perkara penting yang disebut adalah mereka akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, termasuklah Perkara 3.

“Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan; Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmonis di negara ini sejajar dengan Perkara 3...”

Saya terkejut apabila membaca ayat diatas, namun ianya tidaklah menghairankan kerana ini bukanlah kali pertama pakatan yang diketuai oleh DAP ini gagal memetik, atau dengan sengaja salah petik Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan!

Sila baca: https://ahmadalikarim.wordpress.com/2017/01/02/perjanjian-dap-pkr-pan-ppbm-untuk-meminda-perkara-31/

Apakah niat Pakatan Harapan menukar dua perkataan daripada ayat sebenar Perkara 3(1) di dalam teks Bahasa Melayu Perlembagaan dimana:

1. Perkataan “tetapi” telah ditukarkan kepada “dan”
2. Perkataan “damai” telah ditukarkan kepada “harmonis”

Mungkin ramai yang menganggap ini bukanlah persoalan yang besar, kerana ayat di atas kelihatan hampir sama dengan apa yang tertulis di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan:

“Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”

Namun, walaupun ia dilihat sebagai hampir sama, tetapi hakikatnya, ayat yang tertulis di dalam Buku Harapan itu membawa maksud yang amat jauh berbeza dari segi tafsiran perundangan berbanding dengan maksud sebenar Perkara 3(1), akibatnya:

1. Merendahkan kedudukan Islam kepada setaraf dengan agama-agama lain.
2. Merendahkan kepentingan Perkara 3 menjadi sebahagian daripada Perkara 11 (tentang kebebasan beragama).


Implikasi megUBAH perkataan “tetapi” ditukarkan kepada “dan”:

Dalam konteks ini, apabila perkataan “tetapi” diubah kepada perkataan “dan”; implikasinya ialah kedudukan agama-agama lain di naikkan kedudukannya menjadi setaraf dengan kedudukan Islam; sedangkan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan adalah amat tinggi berbanding agama-agama lain.

Sila baca: https://ahmadalikarim.wordpress.com/2017/01/05/lagi-usaha-parti-pembangkang-menipu-umat-islam/

Perkara ini telah ditegaskan oleh Hakim Mohd Noor Abdullah di dalam penghakiman Mahkamah Tinggi kes Meor Atiqulrahman lwn. Fatimah Sihi

“Islam bukan setaraf dengan ugama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati – tinggi, teguh dan terampil. Jika bukan sedemikian Islam bukanlah ugama bagi Persekutuan tetapi adalah salah satu di antara beberapa ugama yang dianuti di negara ini dan setiap orang sama-sama bebas mengamalkan manamana ugama yang dianutinya, tiada lebih satu dari yang lain.”

Perkara 3 adalah Perkara yang memperuntukkan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan namun ada pihak yang merendahkan dan menyalah gunakan Perkara 3(1) untuk membuktikan bahawa Perlembagaan memberi kebebasan kepada agama-agama lain, padahal kebebasan beragama termaktub di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Tan Sri Apandi Ali di dalam penghakiman kes Kalimah Allah, menegaskan “Kebebasan Beragama” di dalam Perkara 11 adalah tertakluk kepada Islam kerana kedudukan Perkara 3(1) adalah “di dalam lingkungan Bahagian I Perlembagaan; sementara Perkara 11 berada di Bahagian 2 Perlembagaan.

Tujuan ungkapan “tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai” dalam Perkara 3(1) ialah untuk memperincikan bahawa walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan, namun penganut agama lain masih dibenar mengamalkan agama mereka, selagi mereka mematuhi undang-undang dan tidak menimbulkan potensi yang boleh mengganggu kehidupan masyarakat Malaysia, khasnya penganut agama Islam; dan bukannya memberi kebebasan kepada mereka untuk berbuat sesuka hati atas dasar amalan agama mereka.

Implikasi apabila perkataan “damai” telah diUBAH kepada “harmonis”:

Apakah tujuan Buku Harapan menggunakan “aman dan harmonis”; walhal di dalam teks Bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan, perkataan yang diguna adalah “aman dan damai”?

Mengubah satu perkataan ini telah membawa implikasi yang amat besar, iaitu telah merendahkan kedudukan Islam di Malaysia.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendefinisikan perkataan damai sebagai:

“1 tidak berperang atau tidak bermusuh-musuhan dll; aman: Rakyat Malaysia hidup dgn aman.”

Manakala perkataan harmonis didefinisikan sebagai:

_“IB selaras, seimbang, sepadan, sesuai atau bersesuaian (antara satu sama lain).”_

Ini membuktikan bahawa penggatian perkataan “damai” kepada “harmonis” telah sekali lagi menyamaratakan kedudukan semua agama; dan ini bercanggah dengan tafsiran Perlembagaan oleh Tan Sri Apandi Ali semasa penghakiman Mahkamah Persekutuan kes Kalimah Allah, iaitu “aman dan damai” itu bermakna aman dan damai terhadap Islam.
Jelas, dengan mengubah perkara yang nampaknya kecil kepada Perkara 3(1), pembangkang bukan sahaja telah mengubah maksud Perkara 3, tetapi juga Perkara 10(2), 11(4), 153 dan sebagainya kerana semua Perkara di dalam Perlembagaan mesti dibaca bersama dan tidak boleh bercanggah di antara satu sama lain seperti yang telah ditegaskan oleh DYMM Almarhum Sultan Azlan Shah di dalam penghakiman Mahkamah Tinggi kes Loh Kooi Choon lwn. Kerajaan Malaysia.

“Perlembagaan sebagai undang-undang utama, tidak boleh tukar dengan cara yang biada, adalah berbeza dengan undang-undang biasa dan tidak boleh bercanggah dengan sama sendiri"

Di dalam Buku Harapan, Pakatan Harapan sekali lagi menjelaskan apa maksud Perkara 3 yang mereka ingin pertahankan; iaitu ‘Perkara 3’ yang telah mereka ubah selaras dengan niat dan kehendak mereka dan bukannya berjanji untuk mempertahankan Perkara 3(1) seperti yang tertulis di dalam Perlembagaan yang ada sekarang.

Amat tidak masuk akal apabila orang Islam menyokong Pakatan Harapan, sedangkan janji mereka di dalam Buku Harapan jelas mengkhianati kedudukan agama Islam di dalam Perlembagaan.

Berdasarkan manifesto mereka, menyokong Pakatan Harapan adalah seolah-olah memberi mandat untuk mereka merendahkan kedudukan agama Islam di Malaysia.
Malangnya ramai orang Islam yang tertipu dengan janji manis pakatan DAP!

~ Ahmad Ali Karim
13/03/18
Baca sepenuhnya: https://ahmadalikarim.wordpress.com/2018/03/13/buku-harapan-dimana-agenda-islam-dalam-manifesto-ph/
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget