NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PH Hendak Buat 'Kerja Gila' Ke?



Beberapa portal berita hari ini melaporkan bahawa PKR sudah bersetuju supaya Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri (PM) untuk sementara jika Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat nenerajui Putrajaya selepas PRU 14 ini.

PKR bersetuju Dr Mahathir menjadi PM bergantung kepada tiga syarat termasuk mengusahakan Dato Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dan kemudian mengusahakan pula beliau menjadi PM dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

Jika laporan portal itu benar, Pusat Penyelidikan PAS (PPP) melihat ia adalah merupakan satu episod malang kepada sistem kenegaraan Malaysia, apabila perlembagaan dan perundangan negara dimanipulasi sesuka hati oleh PH dan PKR

Sepertimana yang dimaklumi, Dato Seri Anwar adalah seorang banduan yang telah disabitkan kesalahan jenayah. Dari segi moral adalah sesuatu yang tidak wajar beliau dilantik menjadi seorang Perdana Menteri, jawatan nombor satu dalam eksekutif negara.

Sekiranya PH bersetuju dengan pelan peralihan jawatan PM yang dicadangkan PKR, ia jelas membelakangkan perundangan negara yang telah menetapkan seseorang banduan tidak boleh bertanding terus sejurus keluar dari tahanan, apalagi menjadi PM.

Selain daripada itu, adalah tidak beradab malah sangat menjengkelkan sekiranya PH dan PKR bermudah-mudah memanipulasi proses pengampunan oleh Yang Di Pertuan Agung sebagai salah satu kaedah untuk melepaskan Anwar.

Seandainya inilah pelan peralihan, ketara sekali PH adalah sebuah gabungan politik yang membelakangkan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Jika mereka memerintah selepas ini, negara akan menjadi tunggang langgang.

PPP yakin sebagai seorang bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir akan keberatan untuk menunaikan hasrat tidak rasional PKR tersebut. Diyakini jika PH mendapat mandat memerintah akan berlaku perebutan kuasa PM disebabkan pelan peralihan yang tidak waras ini.


Dr Mohd Zuhdi Marzuki adalah Pengarah PPP


© all rights reserved
made with by templateszoo