NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

IKSIM jawab finah, pertahan diri...



KENYATAAN AKHBAR Ketua Pegawai Eksekutif IKSIM 

Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) meneliti secara dekat perkembangan isu fitnah radikalisme yang dicetuskan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi menerusi tulisannya pada 23 November 2017 yang disiarkan dalam akhbar The Star. 

Ekoran daripada laporan polis yang dibuat oleh IKSIM, Prof. Shad telah dipanggil memberikan keterangan kepada pihak PDRM kerana sedang disiasat di bawah Seksyen 504, Kanun Keseksaan (Penal Code). 

Namun sehingga kini masih belum kedengaran pendirian Prof. Shad, The Star, Sin Chew Daily dan Datuk Noor Farida Ariffin mengenai fitnah mereka kononnya IKSIM anti “cultural diversity.” 

Sehubungan itu, IKSIM memohon pihak PDRM menyegerakan dan melengkapkan siasatan berkenaan untuk memberikan pembelaan kepada IKSIM dan keadilan kepada seluruh warga Islam yang mahukan Islam dimartabatkan sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Sementara menunggu siasatan sepenuhnya dilengkapkan oleh pihak PDRM berkaitan kata-kata Prof. Shad ke atas IKSIM sebagai sebuah badan yang didakwa menentang “cultural diversity”, IKSIM juga meminta pihak PDRM membuka siasatan berasingan untuk meneliti kenyataan-kenyataan Datuk Nor Farida Ariffin dari G25 dan Sisters In Islam yang menggesa pihak PDRM memberhentikan siasatan ke atas Prof. Shad. 

Tindakan dan cubaan sebegini sememangnya melanggar tertib dan prosedur sesuatu siasatan PDRM dan amatlah mengecewakan serta boleh dianggap mencabar kredibilti pihak berkuasa menjalankan tugasan dan siasatan. 

Dalam nada yang sama, pihak IKSIM juga memohon kerjasama pihak E8 Bukit Aman memberikan perhatian khusus kepada kumpulan-kumpulan sedemikian yang tidak penat-penat melemparkan kata-kata fitnah dan menghasut rakyat membenci agensi kerajaan dan badan-badan keagamaan di dalam negara daripada melaksanakan kewajipan mereka menurut undang-undang. 

Adakah hanya kerana mereka menjalankan tugas mereka mengikut undang-undang, maka mereka dengan sewenang-wenangnya boleh dilabelkan sebagai “despotic and intolerant”? 

Ini termasuklah kemungkinan rangkaian kerja dan operasi sedia ada mereka dengan pihak luar negara untuk mengkategorikan IKSIM sebagai kumpulan “radicalism on the rise”. Tidak mustahil suatu hari nanti beberapa agensi dan badan keagamaan negara turut dikategorikan sebagai “radikal” atau “pelampau” oleh rangkaian luar negara (overseas networking) mereka, malah dihalang daripada melawat negara-negara tertentu. 

IKSIM ingin menegaskan buat sekian kalinya, amatlah mustahil bagi IKSIM yang diperbadankan dan dimandatkan sebagai badan yang meletakkan agenda mendaulatkan Islam sebagai Agama Negara selaras dengan peruntukan perlembagaan, boleh dianggap sebagai ancaman dalam negara sedangkan Prof. Shad dan semua sekutu yang mendokongnya itulah yang telah memfitnah IKSIM tanpa asas di dalam rencana beliau itu. IKSIM akan terus mengangkat martabat kedaulatan Islam dan Sumpah Jawatan SPB YDP Agong untuk memelihara Islam dalam negara pada setiap masa. 

21 Disember 2017
© all rights reserved
made with by templateszoo