NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP ‘Berjaya’ Jadikan Pulau Pinang Sebuah Negeri Yang Gagal?– Huan


KUALA LUMPUR, 1 Dis – Presiden Parti Cinta Malaysia, Mejar Datuk Huan Cheng Guan, menyifatkan Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang gagal di bawah pentadbiran kerajaan Dap memandangkan terlalu banyak isu dan skandal yang melingkari pentadbiran kerajaan itu hari ini.

Beliau menegaskan perkara ini ekoran isu-isu pembangunan yang tidak terancang, penyelenggaraan yang tidak efektif dan beberapa dasar kerajaan negeri yang dilihat lebih bias kepada satu-satu pihak sahaja dengan menidakkan hak pihak yang lain.

“Salah satu contohnya seperti isu terowong yang telah dibayar jutaan ringgit kepada sebuah konsultan, namun rakyat tidak tahu apa perkembangannya sehingga ke hari ini. Ini semua adalah duit rakyat dan rakyat mahu tahu apa hasil daripada perbelanjaan tersebut.

“Isu yang paling penting ialah isu tanah-tanah di Pulau Pinang yang dijual kepada syarikat-syarikat pemaju atau kroni. Sepatutnya tanah-tanah tersebut kerajaan negeri boleh gunakan untuk bina rumah kos sederhana atau rendah untuk rakyat. Ini kerana, pembinaan rumah kos sederhana dan murah adalah tanggungjawab kerajaan. Tak kira kerajaan BN atau pakatan harapan.

“Jadi mengapa tanah-tanah itu dijual begitu sahaja? Ini kerana kerajaan negeri mahu buat keuntungan yang cepat hasil daripada penjualan tanah tersebut. Sama seperti mana berlakunya di sebuah lagi negeri di bawah pentadbiran pakatan harapan iaitu Selangor. Pakatan harapan hanya tahu menjual tanah dan aset negeri untuk mendapatkan hasil yang cepat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu temubual eksklusif bersama UMNO Online di Ibu Pejabat UMNO.

Jelasnya, kerajaan Dap juga didapati gagal menunaikan janji-janji dan manifesto mereka sepertimana janji-janji mereka kepada rakyat pada pilihan raya umum yang lepas.

“Antara janji-janji Dap jika mentadbir Pulau Pinang, mereka akan memberikan parkir percuma kepada rakyat, tetapi hari ini apa sudah jadi? Mereka bukan sahaja tidak mengotakan janji mereka itu, malah harga parkir di Pulau Pinang semakin meningkat tinggi. Begitu juga dengan harga sewa tapak perniagaan yang dinaikkan hampir 200 peratus oleh kerajaan Dap.

“Begitu juga dengan tarif air, sepanjang 10 tahun kerajaan Dap memerintah Pulau Pinang, tarif air sudah dinaikan sebanyak tiga kali. Saya difahamkan, kerajaan negeri juga berhasrat untuk menaikkan lagi tarif air pada tahun depan.

“Sedangkan semenjak pemerintahan Dap di Pulau Pinang, negeri ini selalu banjir. Baru-baru ini banjir jadi semakin buruk. Ini bermakna air di Pulau Pinang sebenarnya sudah terlebih cukup. Mengapa kerajaan negeri mahu naikkan lagi tarif air di negeri ini,” sindir beliau.

Tegas Huan, ada banyak lagi kelemahan dan kegagalan kerajaan negeri yang jelas memperlihatkan kegagalan Dap dalam mentadbir negeri ini sehingga Pulau Pinang di anggap sebagai sebuah negeri yang gagal di bawah pentadbiran Dap.

“Banjir besar di Pulau Pinang baru-baru ini, sudah cukup untuk memperlihatkan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai ‘plan kecemasan bencana’ sehingga Ketua Menteri terpaksa menangis untuk meminta bantuan kerajaan pusat. Ini memperlihatkan kerajaan negeri yang amat tidak peka terhadap keselamatan dan nasib rakyat sekiranya berlaku sebarang bencana.

“Malah mereka sebenarnyalah yang mendatangkan bencana kepada rakyat di Pulau Pinang apabila membenarkan lereng dan bukit-bukau di Pulau Pinang ditarah sewenang-wenang untuk membina rumah mewah, sehingga menyebabkan ramai yang kehilangan nyawa akibat tanah runtuh seperti yang berlaku baru-baru ini,” akhirinya.
© all rights reserved
made with by templateszoo