NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Larangan bertudung: Tindakan kurang ajar, tak bertanggungjawab



Oleh Rohaniza Idris; Mohd Nasaruddin Parzi dan Ahmad Suhael Adnan
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: "Kurang ajar dan tidak bertanggungjawab."

Itu kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz, ketika ditanya mengenai larangan bertudung kepada wanita tempatan yang bekerja di kaunter hadapan khidmat pelanggan hotel rangkaian antarabangsa.

Katanya, arahan itu, sama ada oleh pengurusan hotel tempatan atau antarabangsa, adalah diskriminasi dan jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kebebasan beragama serta tidak menghormati budaya masyarakat majoriti di negara ini.

"Jika benar larangan itu sebahagian daripada dasar antarabangsa, memang kurang ajar. (Hotel antarabangsa) yang datang ke negara ini sepatutnya hormat Perlembagaan kita.

"Saya tidak percaya dasar ini wujud di peringkat antarabangsa. Saya tak fikir syarikat antarabangsa yang datang dari negara yang menekankan hak asasi manusia, ada prosedur operasi standard melarang seseorang menggunakan tudung.

"Alasan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) (mempertahankan larangan itu) tidak betul. Saya nak mereka tunjuk (bukti wujud dasar itu)," katanya pada sidang media Prapelancaran Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICF) 2017 di Parlimen, hari ini.

Nazri mengulas laporan portal berita berhubung pendedahan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mengenai aduan kakitangan hotel kepada pusat itu berkaitan diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarah menanggalkan tudung.

Laporan itu turut memetik Presiden MAH, Cheah Swee Hee yang mempertahankan tindakan hotel melarang wanita Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan sebagai sebahagian dasar antarabangsa.

Nazri turut menyelar pihak yang cuba mempertahankan larangan bersifat diskriminasi itu, khususnya jika mereka adalah rakyat Malaysia kerana gagal memahami undang-undang dan budaya negara sendiri.

"Jika benar SOP ini wujud, kena protes dan beritahu ini budaya di Malaysia dan tudung adalah amalan kira-kira 60 peratus penduduk di negara ini. Mengapa hotel antarabangsa datang sini dan buat syarat itu.

"Apa salahnya bertudung? Adakah berbogel di kaunter hadapan itu lebih baik," katanya sambil menambah, kementeriannya tiada kuasa mengambil tindakan seperti membatalkan lesen hotel yang bertindak demikian.

Beliau berkata, kementeriannya hanya terbabit memberi penarafan kepada hotel, manakala lesen operasi adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/11/350541/larangan-bertudung-tindakan-kurang-ajar-tak-bertanggungjawab

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo