Undi Melayu pecah lima?



SHAH ALAM - Realiti PRU14 menunjukkan orang Melayu bakal berpecah kepada lima kumpulan pengundi iaitu pro-Umno, pro-PAS, pro-PKR, pro-Bersatu dan pro-Amanah.

Penasihat Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang juga pemerhati politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, sekiranya PKR dan Amanah dianggap sebagai satu kumpulan, maka ia akan berpecah menjadi empat sahaja.


Beliau berkata, bagaimanapun, jika benar-benar wujud kerjasama antara PAS-Umno maka perpecahan Melayu hanya menjadi tiga kumpulan.


Menurutnya, keadaan juga sama bagi orang Cina dan India yang dilihat juga akan pecah empat kumpulan iaitu pro MCA- Gerakan, pro MIC dan PPP, pro DAP dan kumpulan atas pagar.

"Secara logiknya jika sesuatu kerusi itu ada majoriti orang Melayu dan minoriti Cina serta India, maka dengan pecahnya undi Melayu dan parti yang mahu menang bergantung kepada undi Cina dan India.

"Ini adalah kiraan mudah, kalau kita andaikan perpecahan yang wujud di kalangan orang Melayu dan di kalangan kaum Cina serta India. Namun dalam sesuatu kawasan pilihan raya, pelbagai sifat dan bilangan setiap kumpulan wujud...Jadi untuk mengatakan bahawa logik itu terpakai di setiap kawasan, ia amat tidak realistik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan pemimpin MCA Selangor, Datuk Donald Lim kepada sebuah akhbar portal berbahasa Inggeris tempatan yang menyatakan BN memerlukan sokongan bukan Melayu untuk memenangi kerusi majoriti Melayu.

Nik Ahmad Kamal berkata, jika melihat kepada PRU13, jelas MCA tidak mendapat sokongan di Selangor, malah orang Cina memilih DAP dan kemungkinan sejarah itu berulang amat besar dalam PRU14.

Namun begitu ujar beliau, senario PRU14 agak sukar diramal kerana ke mana undi Melayu boleh pergi akan lebih 'fluid' kerana Pas bukan lagi dalam kumpulan alternatif seperti PRU13.

"Maknanya undi Melayu akan pecah tiga iaitu Umno, Pas dan Pakatan Harapan. Jadi kalau jumlah undi Melayu agak sama di sesuatu kawasan pilihan raya untuk tiga kumpulan itu, maka penentu kemenangan ialah undi Cina dan India.

"Kalau trend PRU13 berterusan, maka di Selangor undi Cina dan India akan pergi kepada Pakatan Harapan. Dari aspek ini andaian Donald tampak realistik," katanya.

Terdahulu, Donald yang juga Pengerusi MCA Petaling Jaya Selatan berkata tidak mungkin Umno memenangi semua kerusi majoriti Melayu di negeri ini kerana sokongan di kalangan masyarakat turut terbahagi kepada banyak parti lain.

Kata Nik Ahmad Kamal, di Selangor, walaupun dalam kerusi majoriti Melayu, Umno masih mempunyai 20 peratus undi bukan Melayu dan sangat memerlukan undi tersebut untuk menang pada PRU14 nanti.

Dalam pada itu, Nik Ahmad Kamal berkata, sama ada sukar atau tidak Umno akan menang tanpa sokongan undi bukan Melayu itu, ia bergantung kepada sama ada Pas dan Umno akan bekerjasama atau tidak.

Menurutnya, jika kerjasama ini berlaku, maka orang Melayu akan beralih kepada PAS dan Umno.

"Pakatan Harapan mungkin tidak akan dapat majoriti undi Melayu. Tapi jika undi untuk Umno dan PAS daripada orang Melayu masih tidak cukup untuk mereka menang, undi orang Cina dan India akan jadi penentu.

"Di sinilah perkiraan undi orang bukan Melayu sebagai penentu amat jelas sekali. Namun, kita harus rujuk kepada PRU13, BN bukan menang satu sahaja kerusi tapi banyak kerusi.

"Jadi peluang PRU14 untuk menawan Selangor semula berdasarkan senario di kalangan pengundi Melayu masih realistik.

"Pada masa sama, perlu lihat juga adakah orang Melayu yang berada dalam majoriti di Selangor masih mahukan kerajaan PKR memerintah? Saya rasa 'feel good factor' di kalangan penduduk Selangor juga penting sebagai faktor penentu," katanya.

Mengulas sama ada akan berlaku tsunami Melayu, Nik Ahmad Kamal berkata, tiada parti yang boleh mengatakan mereka akan mendapat 'durian runtuh' jika wujud tsunami itu.

"Sukar untuk kita ramalkan. Namun arah mana Pas akan pergi penting untuk negeri Selangor...Untuk orang Melayu, 'spin doctor’ yang penting ialah PAS kerana ia bakal tentukan siapa yang akan memerintah. Pas akan dapat banyak undi Melayu berbanding Umno, PKR serta Amanah," katanya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/politik/pru14-undi-bukan-melayu-jadi-penentu-1.740657
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget