PAS sambut baik tubuh jawatankuasa perkasa Mahkamah Syariah - 1Media.My

Header Ads

PAS sambut baik tubuh jawatankuasa perkasa Mahkamah Syariah



PAS menyambut baik langkah kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah untuk memperkasa Mahkamah Syariah selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah ini bertepatan dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

“Mahkamah Syariah merupakan institusi kehakiman paling awal wujud dalam negara ini dan perkembangannya terhenti setelah negara dijajah oleh British yang telah mencabut akar umbi kepada kekuatan syariat Islam,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata beliau, usaha memperkasakan Mahkamah Syariah diharap akan dapat mengatasi puluhan kes yang tertunggak disebabkan kekurangan kakitangan, hakim serta kemudahan yang sangat terhad pada masa sekarang.

Tuan Ibrahim berkata, semoga usaha ini akan berjaya meletakkan martabat mahkamah syriah ditempat yang lebih baik.

Laporan Bernama awal hari ini menyebut kerajaan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah agi tujuan memperkasakan sistem perundangan Syariah secara keseluruhan selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata penubuhan jawatankuasa khas berkenaan dipersetujui pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Beliau berkata inisiatif itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam usaha memperkasakan Mahkamah Syariah secara holistik demi kepentingan umat Islam dan keprihatinan kerajaan terhadap semua input yang diterima daripada semua pihak.

Katanya, jawatankuasa itu merupakan 1 platform yang berwibawa bagi menambah baik sistem perundangan kehakiman syariah sedia ada.

Jamil Khir berkata beberapa kluster akan diwujudkan di bawah jawatankuasa ini membincangkan perkara berkaitan pengharmonian antara undang-undang sivil dan syariah; cadangan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355); pengurusan dan penstrukturan Mahkamah Syariah; latihan hakim dan pegawai syariah; pendidikan undang-undang syariah; dan hal ehwal berkaitan peguam syarie.