NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

1MDB - Nasi Yang Sudah Menjadi Bubur?



Masalah #1MDB hari ini, jikalaupun adanya kerajaan baru selepas PRU-14 dan semua yang terlibat menyeleweng berjaya ditangkap dan disumbat di dalam penjara, hutang 1MDB masih perlu ditanggung rakyat dan kerajaan yang baru kerana hutangnya dijamin kerajaan telah diluluskan oleh mereka yang berkuasa hari ini.

Itulah realiti yang menyayatkan dan itu kesan sebenarnya skandal 1MDB terhadap rakyat dan negara. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa 1MDB adalah satu bala terhadap negara.

Di dalam taklimat 1MDB oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Arul Kanda Kandasamy kepada pimpinan tertinggi PAS, beliau menegaskan pelan rasionalisasi 1MDB adalah apa yang boleh beliau buat sekadar mampu untuk memastikan 1MDB tidak lagi perlu meminta suntikan dana daripada kerajaan.

Jika pelan rasionalisasi 1MDB gagal dan sekiranya 1MDB lewat membayar hutang, ini menyebabkan kos faedah bertambah melebihi ASD$1.9 bilion setahun yang perlu ditanggung kerajaan, samada kerajaan bertukar tangan ataupun tidak di PRU14.

Kelewatan menjelaskan hutang ini menyebabkan kadar interest bertambah, di mana ia akan memeritkan rakyat dan kerajaan akan datang, suka mahupun duka.

Yang menanggung akibat ini ialah kerajaan dan rakyat, bukan mereka yang terlibat menyeleweng 1MDB yang masih berkuasa. Hatta harta mereka yang terlibat dirampas pun, ia tidak mampu untuk membayar hutang 1MDB.

Disebabkan itu, PAS mengharapkan supaya 1MDB perlu diberi peluang untuk menyelesaikan segala hutang yang ditanggung oleh 1MDB dan pada masa yang sama kita berusaha menumbangkan BN agar mereka yang meninggalkan hutang 1MDB untuk ditanggung rakyat dan kerajaan dapat dibawa ke muka pengadilan.

Disebabkan PAS meragui kemampuan kerajaan dalam mengendalikan aset-aset negara dan memandangkan Kementerian Kewangan telah pun mengambil alih aset yang ada pada 1MDB dan diserahkan kepada MOF Incorporated, maka PAS berpendirian bahawa Menteri Kewangan perlu melaporkan kepada Parlimen dari semasa ke semasa.

Ini bertujuan supaya ahli-ahli Parlimen dapat mengetahui dan memantau perkembangan aset-aset tersebut dan mengelakkan tidak timbul masalah baru jika tidak dikawal.

Kedua, PAS terus menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diwujudkan bagi menyiasat perkara yang mencetus kemelut dalam isu 1MDB.

Selepas pertemuan dengan Arul, pendirian PAS tidak pernah tidak ubah dalam isu 1MDB. Malah orang pertama yang menyarankan RCI terhadap 1MDB ialah Presiden PAS sendiri pada 2015.

Arul bersedia berjumpa dengan PAS barangkali mungkin kerana PAS mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera dan bukannya politik “fitnah dulu, bayar kemudian.” Ini bezanya PAS dengan parti-parti politik pembangkang yang lain. Memang ada beza antara yang mencari solusi dengan yang mencari publisiti.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
8 Ogos 2017

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo