Header Ads

Kabinet bayangan DAP?



PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan senarai kabinet bayangan Pakatan Harapan dengan mengatakan ia boleh meredakan perbezaan parti gabungan terhadap jumlah kerusi yang perlu ditandingi.

Beliau berkata sekiranya pemimpin parti gabungan itu membincangkan isu tersebut lebih awal, ia akan menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka bersedia membentuk kerajaan.

"Ia juga akan mengelakkan pertikaian baru daripada meletus di kalangan semua pihak, yang hanya akan melemahkan pakatan rapuh ini," kata Zaid dalam laman blog beliau pada Isnin.

Pada masa sama, beliau turut berterima kasih kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan.


Zaid mencadangkan bekas perdana menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad calon layak untuk menduduki jawatan perdana menteri.

Namun beliau berkata jawatan timbalan perdana menteri perlu dibiarkan kosong.

Katanya, ini memberi isyarat kuat kepada Anwar yang kini dalam penjara bahawa jawatan tersebut untuk beliau.

Anwar merupakan timbalan perdana menteri di bawah pentadbiran Dr Mahathir sebelum dipecat oleh bekas perdana menteri itu.

Sementara itu, Zaid turut mencadangkan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Minyak manakala Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali memegang jawatan Menteri Kewangan.

Bagi jawatan Menteri Pendidikan pula, Zaid mencadangkan pelantikan Penasihat DAP, Lim Kit Siang manakala kerusi Menteri Dalam Negeri perlu diberikan kepada pemimpin PPBM.

Zaid turut mencadangkan jawatan Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang kepada R.Sivarasa mewakili PKR.

Nama-nama lain yang dicadangkan adalah Tony Pua (DAP) sebagai Menteri Perdagangan manakala Rafizi Ramli (PKR) memainkan peranan dalam agensi besar seperti Mara, Felcra, Risda, Felda dan Tabung Haji.

Tambahnya, tugas Menteri Hal Ehwal Agama juga perlu diberikan kepada pemimpin Amanah, Mujahid Yusof Rawa manakala Presiden Amanah, Mohamad Sabtu dicadangkan sebagai Menteri Pertahanan dan Liew Chin Tong (DAP) sebagai Menteri Pengangkutan.

Beliau turut mencadangkan seorang menteri penyelaras baharu bagi Hal Ehwal Sabah/Sarawak dan Kementerian Telekomunikasi, Sains dan Teknologi digabungkan menjadi satu dibawah pemantauan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Jawatan Menteri Luar perlu diberikan kepada pemimpin PPBM manakala Nurul Izzah (PKR) akan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Zaid juga berkata jawatan kabinet lain boleh diisi kemudian tetapi kerusi kritikal perlu diumumkan sekarang.

"Perdana Menteri yang dilantik perlu memastikan kesemua barisan kabinetnya melakukan kerja dengan betul dan jujur serta memecat mereka jika gagal menjalankan tanggungjawab masing-masing.

"Beliau perlu memastikan semak dan timbang dilaksanakan dan diinstitusikan kerana pada masa depan, hanya institusi yang boleh menyelamatkan kita, bukannya personaliti," kata Zaid.