Buta politik faktor survival Melayu tergugat - 1Media.My

Header Ads

Buta politik faktor survival Melayu tergugat

Ada juga mengatakan apa faedah yang akan diperoleh jika mereka mengundi? Sesetengahnya mengatakan 'tidak suka politik', bosan dan tidak mahu masuk campur hal ehwal negara. Keadaan ini amat membimbangkan kerana tonggak masa depan negara berada di tangan anak muda masa kini.



Statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan daripada 17.7 juta yang layak mendaftar sebagai pemilih, masih ada hampir 4.2 juta yang belum berdaftar dan 59 peratus daripada jumlah itu adalah kalangan Melayu dan Bumiputera. Ini bermakna sekurang-kurangnya 2.4 juta orang Melayu dan Bumiputera yang tidak akan keluar mengundi dan hilang kelayakan sebagai pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Amat merugikan! Jumlah ini menunjukkan bukan sahaja anak muda Melayu, malahan ramai lagi yang tidak menganggap perkara ini satu tanggungjawab penting sebagai rakyat Malaysia. Jumlah yang besar ini memberi impak kepada politik negara. Pada hakikatnya, hanya dengan satu undi boleh menentukan kemenangan atau kekalahan sesebuah parti dalam membentuk kerajaan pada masa akan datang.

Maka jumlah yang keluar mengundi amat penting untuk menentukan corak dan hala tuju masa depan sesebuah negeri malahan negara. Tidak cakna, prihatin dan tidak peduli antara punca hampir 1.9 juta anak muda Melayu di negara ini tidak berdaftar sebagai pengundi. Lebih malang lagi ada yang meremehkan tanggungjawab dan tidak mahu mengundi walaupun sudah berdaftar. Sikap tidak celik politik ini amat menggusarkan. Malah sikap sebegini mampu mengundang 'ketirisan kuasa' dan survival Melayu.

Undi tak beri sebarang kesan
Beberapa alasan diberi anak muda Melayu. Kajian saya menunjukkan mereka mendakwa undi tidak akan memberi sebarang kesan kepada politik negara. Ada juga mengatakan apa faedah yang akan diperoleh jika mereka mengundi? Sesetengahnya mengatakan 'tidak suka politik', bosan dan tidak mahu masuk campur hal ehwal negara. Keadaan ini amat membimbangkan kerana tonggak masa depan negara berada di tangan anak muda masa kini.

Sekiranya mereka tidak mendaftar sebagai pengundi, maka perubahan dan anjakan serta transformasi yang diidamkan di Malaysia tidak akan menjadi kenyataan. Senario politik yang semakin mencabar dan rencam, amat penting fahaman politik dalam kalangan orang muda untuk mengekalkan survival Melayu. Adakah Melayu 'mudah lupa'? Sehingga tanah air sendiri pun tidak mahu dipertahankan. Hak dan wasiat kuasa diterapkan dalam Wasiat Raja Melayu diabaikan.

Antara lain, Wasiat Raja Melayu menyatakan bahawa: "Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja Melayu memerintah negara ini; Kami isytiharkan Islam adalah Agama Persekutuan; Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu; Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain." (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Kekal kelangsungan Melayu

Sikap peduli dan mengambil tahu soal politik adalah kewajipan bersama kerana perkiraan politik kunci kepada mengekalkan survival atau kelangsungan Melayu sejak dahulu, kini dan selamanya. Mungkin dek kenikmatan, kemewahan atau keselesaan yang dialami anak muda Melayu punca kepada sikap tidak ambil peduli soal masa depan bangsa Melayu. Arus pemikiran liberalisme dan keterbukaan, juga menghakis roh dan semangat serta perjuangan.

Sebagai anak muda, ironinya berpegang kepada idealisme dan bersemangat tinggi. Namun jika mereka tidak menunaikan hak sebagai pengundi, maka hilanglah peluang untuk menentukan kepemimpinan negara pada masa akan datang. Secara jujur, jika kita bandingkan dengan anak muda berbangsa Cina, India dan etnik di Sabah dan Sarawak, mereka berlumba-lumba untuk mendaftar sebagai pengundi.

Apa lagi alasan anak muda Melayu tidak mendaftar? SPR telah melaksanakan pendaftaran statik seperti di kaunter Ibu Pejabat SPR, Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Pejabat Pos Berkomputer. Kaedah pendaftaran ini membolehkan pemilih mengundi di kawasan mengikut alamat dalam kad pengenalan masing-masing. Pada hari mengundi, pemilih sendiri tahu di mana tempat mengundi.

Semua parti politik berebut-rebut mencari dan mendaftarkan anak muda sebagai pengundi berdaftar baharu. Malah, beberapa parti politik secara terang-terangan meuar-uarkan memberi imbuhan kewangan kepada anak muda yang mendaftar di parti politik mereka.






Ancaman pemikiran

Kecenderungan lebih tertumpu kepada pelajar di pusat pengajian tinggi. Bagaimana pula dengan anak muda di tempat lain yang menjangkau empat juta orang? Di kilang, di kawasan perumahan, atau di mana-mana sahaja tempat pekerjaan dan pertemuan anak muda ini sudah dijejaki?

Jangan terhantuk baharu nak menadah. Jika nanti kita tidak lagi berkuasa baharu kita merintih dan menyalahkan. Jangan sampai 'kampung tergadai' jika kita masa kini tidak prihatin dengan soal politik, sedangkan ancaman bukan sahaja melalui serangan pengganas, peperangan atau subversif tetapi menular melalui pemikiran dan world view.

Persoalan sikap tidak peduli terhadap masa depan bangsa sendiri juga ancaman yang perlu diatasi. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi Raja Berperlembagaan, kuasa serta pentadbiran sebenarnya ditentukan undi dalam sistem pilihan raya. Mana-mana parti politik yang mendapat undi majoriti, akan diberi mandat membentuk kerajaan. Pilihan di tangan anda. Maka prihatin dan caknalah masa depan anda.

Penulis adalah Penyelidik Kajian Demokrasi dan Sistem Pilihan Raya Majlis Profesor Negara merangkap Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi MARA



Sumber:BHarianSelasa4Oct2016