Header Ads

Kritikan Salahuddin dedah kelemahan Amanah



KOTA BHARU: Kritikan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahudin Ayub, kononnya PAS tidak demokratik sekadar menelanjangkan sifat AMANAH yang jauh berbeza dari sudut keIslamannya dengan PAS.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, dakwaan Salahudin ini juga secara tidak langsung mendedahkan kelemahan perjuangan AMANAH berbanding PAS.

“Para pemimpin AMANAH, termasuk Salahudin, sering melaungkan bahawa AMANAH adalah parti yang memperjuangkan Islam sebenar berbanding perjuangan para pemimpin PAS yang dikatakan sudah terpesong dari landasan Islam.

“Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas Perlembagaan PAS dan AMANAH membuktikan bahawa Perlembagaan PAS jauh lebih Islamik berbanding Perlembagaan AMANAH, termasuk dalam isu pembuatan keputusan oleh Muktamar Tahunan.

“Tidak seperti Perlembagaan AMANAH yang hanya menjadikan Konvensyen Nasional mempunyai kuasa tertinggi parti tertakluk kepada peruntukan di dalam perlembagaan itu, Perlembagaan PAS masih ada sekatan lain.

“Mengikut Perlembagaan PAS, kekuasaan Muktamar Tahunan adalah tertakluk kepada hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS, iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijmak Ulamak dan Qias yang terang dan nyata.

“Sebab itulah maka keputusan Muktamar Tahunan PAS, termasuk dalam isu pemutusan tahaluf siyasi dengan PKR, masih perlu dirujukkan kepada Majlis Syura Ulamak bagi memastikan ia selari dengan hukum itu.

“Bila Perlembagaan PAS meletakkan Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijmak Ulamak dan Qias yang terang dan nyata sebagai hukum tertinggi manakala Perlembagaan AMANAH tidak mempunyainya jelaslah PAS lebih Islamik,” katanya.

Kamarul Zaman berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden AMANAH, Salahudin Ayub, bahawa PAS tidak demokratik kerana keputusan Muktamar Tahunan PAS masih dirujukkan kepada Majlis Syura Ulamak.

Tambah penganalisis politik itu lagi, malang bila Salahudin yang begitu lama berkecimpung dalam PAS, termasuk menjadi Ketua Pemuda dari 2003 ke 2009 dan Naib Presiden dari 2009 ke 2015, tidak faham Perlembagaan PAS.

“Benar seperti disebut oleh Salahudin, Perlembagaan PAS menyatakan kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan, tetapi pelik jika beliau tidak tahu kekuasaan ini adalah tertakluk kepada peruntukan disebutkan.

“Salahudin patut lebih rasional serta tidak membiarkan dirinya dipengaruhi oleh emosi kebencian atau kemarahan bila memperkatakan mengenai sesuatu perkara yang membabitkan parti yang pernah dianggotainya itu.

“Jika Salahudin mahu bercakap mengenai soal PAS kononnya tidak demokratik, pemimpin PAS juga boleh mempertikaikan prosedur pemilihan pemimpin tertinggi AMANAH yang tidak demokratik seumpama prosedur DAP.

“Ini kerana Perlembagaan AMANAH memperuntukkan bahawa Presiden, Timbalan Presiden dan tidak lebih daripada tiga orang Naib Presidennya tidak dipilih secara terus oleh perwakilan di dalam Konvensyen Nasional.

“Sebaliknya, mereka dipilih oleh dan dari kalangan 26 Ahli Jawatankuasa Kepimpinan Kebangsaan yang dipilih oleh perwakilan bersama-sama Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Wanita Muda dan 14 Pengerusi Negeri,” tambahnya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/politik/kritikan-salahuddin-dedah-kelemahan-amanah-1.673282