NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Siapa bakal ketua menteri baru Sarawak?


ANALISIS Spekulasi berhubung pengganti allahyarham Tan Sri Adenan Satem sudah bermula.

Walaupun bukan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan perlu bertanding dahulu, nama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof turut disebut.

Bagaimanapun yang paling kerap meniti di bibir ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg.

“Semasa pentadbiran allahyarham Adenan, Abang Johari ialah orang kanannya.

“Adenan tunjukkan beliau suka Abang Johari gantikannya,” kata profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Faisal Hazis kepada Malaysiakini.

Beberapa lagi penganalisis, termasuk James Chin daripada Universiti Tasmania, Jeniri Amir (Univerisi Malaysia Sabah) dan Wong Chin Hua (Penang Institute) turut sependapat dengan pandangan ini.

Ini bukan kali pertama nama Abang Johari disebut-sebut sebagai pemimpin nombor satu Bumi Kenyalang.

Beliau telah lama diramal, malah sebelum Adenan dipilih ke jawatan itu secara mengejut pada Februari 2014.
Persoalannya sekarang adakah Taib akan kekal jadi halangan kepada timbalan presiden PBB itu?

“Saya syak dari balik tabir, hanya Taib akan putuskan siapa pengganti Adenan,” kata Chin.

Bagaimanapun, Jeniri merasakan perkara itu tidak harus berlaku dan Taib patut mendengar suara hari parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) – sebagai tunjang utama dalam kerajaan Sarawak.

Bagaimanapun, sebagai yang di-pertua negeri, Taib mempunyai kata putus dalam keputusan itu.

Dipercayai Taib tidak memilih Abang Johari tiga tahun lalu kerana keretakan hubungan kedua-duanya. Sama ada sejarah akan berulang, itu belum pasti.

“Jika Taib tidak mahu PBB bergoncang, dia kena pilih Abang Johari,” kata Faisal, yang tidak menolak anak didiknya Datuk Awang Tengah Ali Hassan mungkin berada dalam senarai.

Awang Tengah dikatakan telah ditawarkan jawatan itu pada 2014 tetapi menolaknya, sehingga membuatkan Taib memilih Adenan.

Bagaimanapun, pelantikan seorang naib presiden kanan PBB sebagai ketua menteri boleh memecahbelahkan parti, apabila Abang Johari dikatakan menjadi pilihan banyak pihak.

Awang Tengah bagaimanapun memberitahu Borneo Post bahawa beliau mendukung Abang Johari untuk ke jawatan itu pada Mei tahun lepas.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sebagai tunjang utama dalam kerajaan Sarawak, akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi bagi memilih presiden baru untuk menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Setiausaha agungnya, Datuk Dr Stephen Rundi tidak menolak kemungkinan akan memanggil mesyuarat majlis tertinggi parti itu sebaik sahaja selasai tempoh berkabung selama tujuh hari susulan kematian Adenan, selaku ketua menteri Sarawak sejak Februari 2014.

Pada lazimnya, presiden PBB menjadi ketua menteri negeri tersebut.

Adenan, 72, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan, dekat sini, pada 1.24 tengah hari semalam.

"Presiden kami baru sahaja meninggalkan kami... mesti ada seseorang mengambilalih. Biar kami menghormati tempoh berduka ini terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Adenan di Masjid Jamek Negeri Sarawak di Kuching hari ini.

"Proses mengasah pemimpin baharu sudah diletakkan dalam PBB. Kami juga mempunyai kokus dalam parti untuk membantu kami membuat keputusan," kata Dr Rundi.

PBB kini mempunyai dua timbalan presiden yang memegang jawatan timbalan ketua menteri iaitu Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah merupakan menteri pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar manakala Abang Johari adalah Menteri Perumahan dan Urbanisasi serta Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri.

Dalam Pilihan Raya Negeri 2016, Mei tahun lepas, PBB memenangi 40 daripada 72 kerusi dipertandingkan, justeru menjadi parti komponen terkuat dalam Barisan Nasional (BN) Sarawak.

- Bernama
© all rights reserved
made with by templateszoo