Header Ads

Bagaimana nasib Melayu dan Bumiputera jika China kuasai khazanah negara? - ISMA

kenapa China secara tiba-tiba begitu dominan dalam perbincangan ekonomi dan penguasaan mereka terhadap pembangunan negara?


BANGI, 2 Safar 1438H, Rabu – Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke China selama enam hari bermula Isnin menimbulkan kegusaran dan keresahan di hati rakyat, lebih-lebih lagi apabila banyak laporan membayangkan seolah-olah Malaysia akan tergadai dan terjual kepada negara Tanah Besar itu.

Terkini, media melaporkan sempena lawatan Najib, syarikat-syarikat kedua-dua negara telah memeterai 14 perjanjian bernilai RM114 bilion.

Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Haji Aminuddin Yahaya mendesak agar Najib memperjelaskan secara terperinci hasil perbincangan yang dilakukan dengan pimpinan China.

“Banyak persoalan yang bermain dalam kepala rakyat yang mesti dijawab oleh Perdana Menteri agar kelak kita tidak menumpang di negara sendiri,” katanya dalam satu kenyataan kepada Ismaweb hari ini.

Katanya, Najib perlu memberitahu apa keuntungan yang negara dan rakyat akan peroleh hasil kerjasama yang dilakukan oleh kedua-dua negara.

“Najib perlu menyatakan senarai nama projek yang telah diberikan kepada syarikat China dan berapa jumlahnya.

“Selain itu, nyatakan juga hartanah mana yang dikatakan telah dijual kepada syarikat China.

“Dan kenapa China secara tiba-tiba begitu dominan dalam perbincangan ekonomi dan penguasaan mereka terhadap pembangunan negara? Kenapa tidak Jepun, Korea atau negara-negara lain?,” soalnya.

http://www.ismaweb.net/2016/11/bagaimana-nasib-melayu-dan-bumiputera-jika-china-kuasai-khazanah-negara-soal-isma/