Header Ads

Stesen minyak meletup, seorang maut

Seorang kakitangan syarikat pengeluar bahan api maut selepas kabin menyimpan dan alat mengawal tekanan 'compressor bay’ untuk kegunaan pam gas NGV di sebuah stesen minyak di Mount Austin di sini terbakar dan menyebabkan letupan

JOHOR BAHRU – Seorang kakitangan syarikat pengeluar bahan api maut selepas kabin menyimpan dan alat mengawal tekanan 'compressor bay’ untuk kegunaan pam gas NGV di sebuah stesen minyak di Mount Austin di sini terbakar dan menyebabkan letupan, petang tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Timbalan Penguasa Bomba Tahrin Saat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.55 petang sebelum tiba di lokasi kejadian beberapa minit selepas kejadian.

“Setibanya kami di tempat kejadian, kami mendapati stesen minyak sudah dikosongkan dan terdapat kebakaran di bahagian belakang iaitu bahagian kabin yang menyimpan alat mengawal tekanan ‘compressor bay’ gas NGV.

“Mangsa iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun masih berada di tempat kejadian berhampiran dengan kawasan letupan,” katanya pada Sinar Harian.

Tahrin berkata, kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh dua minit oleh 10 anggota dan dua jentera yang ditugaskan dan misi bantuan tamat sepenuhnya kira-kira jam 4 petang.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/johor/stesen-minyak-meletup-seorang-maut-1.577496