NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PBT terima 1,305 aduan pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran – KPKT



  • Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 114 aduan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah kerana perkara berkenaan terletak di bawah bidang kuasa jabatan itu.
  • “Susulan daripada itu, sebanyak 197 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh PBT melibatkan 432 tindakan penguatkuasaan yang merangkumi pengeluaran notis amaran, pengenaan kompaun, arahan berpindah serta tindakan perobohan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.

KUALA LUMPUR — Pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima sebanyak 1,305 aduan berkaitan pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran bagi tempoh 2025 hingga 2026, termasuk struktur yang dibina berhampiran infrastruktur kritikal seperti hospital dan institusi perubatan.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 114 aduan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah kerana perkara berkenaan terletak di bawah bidang kuasa jabatan itu.

“Susulan daripada itu, sebanyak 197 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh PBT melibatkan 432 tindakan penguatkuasaan yang merangkumi pengeluaran notis amaran, pengenaan kompaun, arahan berpindah serta tindakan perobohan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.

KPKT menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) yang meminta perincian tindakan terhadap aduan pembinaan rumah anutan tanpa izin khususnya berdekatan infrastruktur kritikal seperti hospital masih berlarutan, walaupun kerajaan telah memberikan jaminan tiada struktur terkecuali daripada undang-undang pembinaan bangunan.

Menurut kementerian itu, Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) menetapkan bahawa tiada seorang pun boleh mendirikan sesuatu bangunan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada PBT termasuk semua jenis rumah ibadat iaitu masjid, gereja, tokong dan kuil, tanpa sebarang pengecualian dan keistimewaan terhadap mana-mana agama.

Seksyen 72 (1) akta sama juga menyatakan jika PBT mendapati suatu bangunan telah didirikan atau sedang didirikan atau hampir hendak didirikan bersalahan dengan Seksyen 70, PBT boleh mengeluarkan notis menghentikan pendirian bangunan dan meruntuhkan bangunan itu dalam masa yang dinyatakan oleh PBT.

Bagi rumah ibadat yang dibina secara tidak sah di atas tanah kerajaan, tindakan terletak di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah dan Daerah serta kerajaan negeri, dengan Pejabat Tanah dan Daerah akan mengeluarkan notis kepada penceroboh atau pendudukan tanpa kebenaran berdasarkan Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.

“Sekiranya bangunan (rumah ibadat) dibina di tanah persendirian, pemilik tanah tidak dibenarkan bertindak sendiri (perobohan sendiri) bagi mengelakkan ketegangan kaum/ agama.

“Tindakan yang perlu diambil ialah membuat laporan polis dengan segera, menghantar notis kepada pihak yang membina rumah ibadat dan memaklumkan kepada Pejabat Daerah/ PBT,” kata kementerian berkenaan.

Selain itu, Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) akan diaktifkan untuk bertindak sebagai pengantara, memanggil semua pihak bagi mencari penyelesaian yang munasabah.

KPKT memaklumkan bahawa setiap aduan akan disemak dan tindakan sewajarnya diambil secara berterusan, tegas serta menyeluruh bagi memastikan pembangunan dan penggunaan tanah tanpa kebenaran dapat dikawal khususnya yang melibatkan keselamatan dan kepentingan awam.

— BERNAMA




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

KLSCAH: Kerajaan digesa dedah asas pengurangan premium tanah RM4.67 juta kepada RM1,000 – Pakar



  • “Konsesi untuk kegunaan institusi bukan perkara baharu dalam pentadbiran tanah di Malaysia. Persoalan yang wajar ialah berapa nilai konsesi itu, apakah kriterianya, dan sama ada kriteria yang sama terpakai kepada institusi warisan lain yang setara.” – Pensyarah Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM, Profesor Madya Sr. Ts. Dr. Noorsidi Aizuddin Mat Noor.
  • “Yang menentukan sama ada ia dasar yang baik atau ruang ketirisan ialah tiga perkara: nilai konsesinya didedahkan, kriterianya terpakai sama rata, dan manfaatnya dikunci dalam syarat hakmilik,” katanya.

KUALA LUMPUR — Kerajaan perlu mendedahkan nilai sebenar konsesi dalam pengurangan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) daripada RM4.67 juta kepada RM1,000 bagi memastikan keputusan itu telus dan tidak mewujudkan layanan berbeza terhadap institusi lain.

Pensyarah Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Sr. Ts. Dr. Noorsidi Aizuddin Mat Noor berkata RM1,000 yang ditetapkan merupakan premium dasar dan bukannya nilai sebenar tanah berkenaan. 

“RM1,000 ialah premium dasar, bukan harga tanah. Konsesi untuk kegunaan institusi bukan perkara baharu dalam pentadbiran tanah di Malaysia. Persoalan yang wajar ialah berapa nilai konsesi itu, apakah kriterianya, dan sama ada kriteria yang sama terpakai kepada institusi warisan lain yang setara,” katanya kepada The Merdeka Times.

Mengulas status KLSCAH sebagai bangunan warisan kebangsaan sejak 2007, beliau berkata pengiktirafan itu menjelaskan keperluan memelihara bangunan berkenaan, manakala perubahan kategori tanah daripada komersial kepada institusi menjadi faktor yang mempengaruhi penurunan nilainya.

“Status warisan menjelaskan mengapa bangunan ini perlu dipelihara, tetapi penukaran kepada kegunaan institusi yang menjelaskan mengapa nilai tanahnya turun. Konsesi warisan paling mudah dipertahankan apabila ia disertai syarat pemuliharaan yang boleh diukur dan dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata, pengurangan premium itu tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah yang diturunkan semata-mata, sebaliknya perlu disertai ketelusan mengenai asas penilaian dan syarat yang dikenakan kepada penerima konsesi.

Mengulas kemungkinan keputusan itu membuka ruang kepada ketirisan dasar, Noorsidi berkata kuasa memberikan konsesi premium sememangnya wujud dalam undang-undang tanah, namun pelaksanaannya perlu disertai mekanisme kawalan.

“Kuasa untuk memberi konsesi premium memang wujud dalam undang-undang tanah. Yang menentukan sama ada ia dasar yang baik atau ruang ketirisan ialah tiga perkara: nilai konsesinya didedahkan, kriterianya terpakai sama rata, dan manfaatnya dikunci dalam syarat hakmilik,” katanya.

Menurutnya, sekatan pada hak milik penting bagi memastikan tanah yang menerima konsesi untuk kegunaan institusi tidak kemudiannya dimanfaatkan bagi tujuan komersial sehingga menjejaskan tujuan asal pemberian kemudahan tersebut.

Mengulas perbezaan penetapan premium antara tanah institusi sosial dengan tanah komersial di kawasan strategik Kuala Lumpur, beliau berkata syarat kegunaan tanah lebih menentukan nilai berbanding lokasi semata-mata.

“Di pusat bandar, alamat tidak menentukan premium. Syarat kegunaan yang menentukannya. Tapak institusi tetap bernilai, tetapi nilainya terikat kepada fungsi awam. Garis pemisah ini hanya bermakna jika ia dikunci dalam hakmilik, supaya manfaat konsesi tidak berubah menjadi keuntungan komersial kelak,” katanya. – The Merdeka Times




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Kuil haram: Tindakan ceroboh tanah kerajaan tidak boleh bertukar ganjaran tapak gantian – Zainul Rijal

 


  • “Penyelesaian menang-menang tidak boleh bertukar menjadi ganjaran kepada pihak yang melanggar undang-undang.” – Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
  • “Saya tidak mempertikaikan hak mana-mana agama untuk mempunyai rumah ibadat. Namun, hak tersebut mesti diperoleh melalui saluran undang-undang, bukan melalui pencerobohan,” katanya.

KUALA LUMPUR – Tindakan menceroboh tanah kerajaan berisiko memberikan gambaran bahawa pihak yang melanggar undang-undang akhirnya boleh mendapat tapak gantian yang lebih terjamin, kata Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Beliau berkata, penyelesaian bagi isu rumah ibadat tanpa kebenaran tidak seharusnya dilihat sebagai ganjaran kepada pihak yang melakukan pencerobohan, sebaliknya perlu berlandaskan prinsip keadilan dan penguatkuasaan undang-undang secara konsisten.

“Saya tidak mempertikaikan hak mana-mana agama untuk mempunyai rumah ibadat. Namun, hak tersebut mesti diperoleh melalui saluran undang-undang, bukan melalui pencerobohan.

“Penyelesaian menang-menang tidak boleh bertukar menjadi ganjaran kepada pihak yang melanggar undang-undang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Kenyataan itu menyusul penjelasan rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) pada 17 November berhubung isu rumah ibadat tanpa kebenaran di Mukim Serendah.

Menurut PDTHS, struktur kuil berkenaan telah direkodkan dalam senarai Rumah Ibadat Tanpa Kebenaran Daerah Hulu Selangor sebelum notis kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara dikeluarkan kepada pengusahanya pada 7 Januari 2020 atas kesalahan menceroboh tanah kerajaan.

Bagaimanapun, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 12 April 2023 memutuskan untuk menangguhkan permohonan tindakan penguatkuasaan dan bersetuju supaya perkara itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS).

PDTHS memaklumkan, jawatankuasa berkenaan turut menangguhkan tindakan penguatkuasaan serta mengarahkan supaya penyelesaian menang-menang dicapai melalui sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

Hasil proses itu, satu tapak gantian seluas 0.5 ekar di Lot 32935, Taman Bunga Raya, Mukim Serendah dikenal pasti dan dipersetujui Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) untuk dirizabkan sebagai tapak kuil di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara.

Zainul Rijal berkata, kerajaan negeri perlu menjelaskan asas keputusan berkenaan supaya penyelesaian pentadbiran tidak menimbulkan persepsi bahawa tindakan melanggar undang-undang boleh memberikan kelebihan kepada pihak yang melakukannya.

“Kerajaan Negeri perlu menjelaskan asas keputusan ini. Keadilan pentadbiran bukan sekadar memberikan penyelesaian kepada semua pihak, tetapi memastikan undang-undang tidak kelihatan tunduk kepada tindakan pencerobohan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan perbezaan perkembangan antara penyediaan tapak gantian kuil dengan permohonan tapak institusi keagamaan Islam yang menurut PDTHS masih dalam proses.

“Lebih penting, mengapa permohonan tapak institusi keagamaan Islam masih dalam proses, sedangkan tapak gantian kuil sudah dikenal pasti dan dipersetujui?” katanya.

Dalam penjelasannya, PDTHS menegaskan permohonan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi tapak institusi atau kompleks keagamaan Islam kekal utuh dan sedang diproses sewajarnya.

Jabatan itu turut menjelaskan perubahan keluasan tapak daripada 7.09 ekar kepada 6.2579 ekar berpunca daripada pengukuran semula bagi mengeluarkan jajaran simpanan parit monsun (monsoon drain) serta keperluan rizab utiliti dan infrastruktur, bukannya bagi memberi laluan kepada mana-mana rumah ibadat tanpa kebenaran.

PDTHS dalam kenyataan sama memaklumkan pihaknya sedang menyelaras proses perpindahan kuil berkenaan dengan pengusahanya dalam kadar segera susulan penyediaan tapak gantian tersebut.

Jabatan itu turut menegaskan komitmen untuk menguruskan pentadbiran tanah secara telus, adil dan berlandaskan peruntukan undang-undang tanpa mengira bangsa dan agama. – The Merdeka Times

Notis kesalahan dah keluar, tapi penguatkuasaan kuil ditangguh, malah tapak gantian disediakan? – GARAH



  • GARAH kemukakan tiga tuntutan utama kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS), iaitu mendedahkan status notis kesalahan, tindakan penguatkuasaan serta sebarang pendakwaan.
  • GARAH juga menuntut penjelasan asas keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS), termasuk syarat penangguhan serta tarikh akhir pengosongan tapak asal.
  • Ia juga menuntut pendedahan semua terma penyediaan tapak gantian seluas 0.5 ekar, termasuk sebarang bayaran, pampasan dan penggunaan wang awam yang terlibat.

KUALA LUMPUR  – Mengapa penguatkuasaan terhadap sebuah rumah ibadat tanpa kebenaran di Mukim Serendah, Hulu Selangor, ditangguhkan selepas notis kesalahan dikeluarkan, malah tapak gantian seluas 0.5 ekar turut disediakan?

Persoalan itu dibangkitkan Pengerusi Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Firdaus Wong Wai Hung yang menuntut Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) serta Kerajaan Negeri Selangor menjelaskan status tindakan terhadap kesalahan asal dan asas keputusan menyediakan tapak gantian berkenaan.

“Notis sudah dikeluarkan. Apakah kesudahan tindakan terhadap kesalahan asal? Mengapa penangguhan disusuli penyediaan tapak gantian?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Firdaus, notis kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara telah dikeluarkan pada 7 Januari 2020, namun penguatkuasaan dilaporkan ditangguhkan selepas pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 12 April 2023 dan seterusnya LIMAS.

Lebih menjadi persoalan, tapak gantian seluas 0.5 ekar di Lot 32935, Taman Bunga Raya turut dilaporkan dirizabkan bagi kegunaan kuil berkenaan.

Firdaus mempersoalkan alasan penyelesaian secara ‘win-win’ yang dikaitkan dengan keputusan itu, sebaliknya mahu kerajaan negeri memperincikan pihak yang mendapat manfaat serta pihak yang menanggung kos penyelesaian berkenaan.

“Siapa yang menang, siapa menanggung kos dan bagaimana kepentingan rakyat dilindungi?” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri memastikan keputusan berkenaan tidak menimbulkan tanggapan bahawa pendudukan tanah tanpa kebenaran boleh membuka ruang kepada layanan istimewa.

Dalam pada itu, Firdaus berkata penjelasan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bahawa tanah berkenaan merupakan milik kerajaan negeri perlu dihormati, namun status pemilikan tersebut tidak mengetepikan keperluan ketelusan dalam setiap keputusan.

“Tanah kerajaan tetap amanah rakyat, dan setiap keputusan mengenainya wajib telus serta boleh dipertanggungjawabkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan tiga tuntutan utama kepada PDTHS dan kerajaan negeri, termasuk mendedahkan status notis, penguatkuasaan serta sebarang pendakwaan yang telah atau akan diambil.

GARAH turut menuntut penjelasan mengenai asas keputusan MMKN dan LIMAS, termasuk syarat penangguhan serta tarikh akhir pengosongan tapak asal.

Selain itu, kumpulan berkenaan mahu terma penyediaan tapak gantian didedahkan kepada umum, termasuk sebarang bayaran, pampasan atau penggunaan wang awam yang terlibat dalam penyelesaian berkenaan.

Firdaus menegaskan penyediaan tapak gantian tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad selagi tindakan terhadap kesalahan asal dan alasan penangguhan penguatkuasaan tidak diperjelaskan.

“Jangan jadikan rundingan alasan untuk penangguhan berterusan. Jawab dengan dokumen. Tetapkan tarikh tindakan. Tegakkan undang-undang tanpa pilih kasih,” katanya. – The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

‘Kalau PAS gila kuasa, Sudah lama kekal dalam Pakatan Rakyat’ – Naib Ketua Pemuda PAS



  • “Apabila DAP melanggar garis merah dan persetujuan yang telah dipersetujui bersama, PAS mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama Pakatan Rakyat. Bukan kerana takut kehilangan kuasa tetapi kerana prinsip perjuangan tidak boleh dikompromi.
  • “Ketika itulah gagasan Penyatuan Ummah telah mula dibawa dan diperjuangkan oleh PAS,” – Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Hanif Jamaluddin
  • Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap gesaan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad supaya PAS menamatkan kerjasama dengan UMNO dan beralih menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR — PAS tetap mempertahankan gagasan Penyatuan Ummah dan tidak akan menggadaikan prinsip perjuangan semata-mata untuk mengejar kuasa atau berada dalam kerajaan.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Hanif Jamaluddin berkata, sekiranya PAS hanya mahu mengejar kuasa dan segera menuju Putrajaya, parti itu sudah lama memilih untuk kekal bersama Pakatan Rakyat.

“Jika benar PAS hanya mahu mengejar kuasa dan mahu segera masuk ke Putrajaya, sudah lama PAS kekal bersama Pakatan Rakyat dahulu. Ketika itu, hanya selangkah sahaja lagi untuk menuju Putrajaya.

“Namun, PAS memilih untuk istiqamah berpegang dengan prinsip,” katanya menerusi hantaran di Facebook Pemuda PAS Malaysia.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap gesaan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad supaya PAS menamatkan kerjasama dengan UMNO dan beralih menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Khalid sebelum ini menyambut baik cadangan bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rosli Yaakop agar PAS menyokong Anwar dan Pakatan Harapan (PH), selain menyatakan kesediaan Amanah membincangkan kemungkinan PAS menyertai kerajaan.

Mengulas lanjut, Hanif mendakwa keputusan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat dibuat selepas DAP melanggar garis merah dan persetujuan yang telah dipersetujui bersama.

Tegasnya, keputusan itu bukan kerana PAS takut kehilangan kuasa, sebaliknya prinsip perjuangan parti tidak boleh dikompromi.

“Ketika itulah gagasan Penyatuan Ummah telah mula dibawa dan diperjuangkan oleh PAS.

“Dan pada ketika itulah kalian muncul!” katanya merujuk kepada penubuhan Amanah susulan perpecahan dalam PAS.

Hanif turut mendakwa pemimpin Amanah memilih meninggalkan PAS kerana tidak berpuas hati dengan keputusan parti itu untuk tidak meneruskan kerjasama bersama DAP dan PKR.

Beliau kemudian menyindir Amanah yang didakwanya semakin bongkak selepas berada dalam kerajaan, selain menyifatkan gesaan terhadap PAS itu sebagai usaha mencari penyelamat ketika kedudukan mereka dirasakan semakin terhimpit.

“Dan kini, apabila kalian mula merasakan kedudukan semakin terhimpit, barulah kelihatan usaha terkapai-kapai mencari pelampung untuk menyelamatkan diri.

“Teruskanlah dengan kebongkakan kalian bersama PH!” katanya.

Bagaimanapun, Hanif menegaskan PAS akan terus mempertahankan dan memperkukuh gagasan Penyatuan Ummah yang menurutnya dibina melalui pengorbanan, kesabaran serta kepercayaan.

“Penyatuan Ummah yang dibina ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ia dibina dengan pengorbanan, kesabaran dan kepercayaan. Insya-Allah, ia akan terus dipertahankan dan diperkukuhkan.

“PAS tidak membina perjuangan semata-mata untuk mendapatkan kuasa. PAS membina kekuatan berasaskan prinsip dan keyakinan terhadap perjuangan,” tegasnya.-The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Status Peletakan Jawatan, Calon MB Negeri Sembilan Tunggu Pengumuman Istana – Ahmad Zahid



  • Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menegaskan perkara itu berkata segala butiran lanjut mengenainya perlu menunggu pengumuman istana.
  • “Hasilnya biar diumumkan oleh istana sendiri dan juga oleh Datuk Ismail Lasim. Jadi saya merasakan bahawa ada sesuatu yang telah diputuskan bersama oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Datuk Ismail (dalam sesi menghadap semalam),” katanya.

KOTA TINGGI — Segala keputusan serta pengumuman rasmi berhubung status peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim dan calon Menteri Besar yang baharu diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Istana Negeri Sembilan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menegaskan perkara itu berkata segala butiran lanjut mengenainya perlu menunggu pengumuman istana.

“Hasilnya biar diumumkan oleh istana sendiri dan juga oleh Datuk Ismail Lasim. Jadi saya merasakan bahawa ada sesuatu yang telah diputuskan bersama oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Datuk Ismail (dalam sesi menghadap semalam),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di Desaru Coast Conference Centre di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata pihaknya telah mengutus warkah kepada pihak istana namun belum menerima sebarang titah untuk menghadap.

“Warkah telah diutus. Jadi setakat ini saya belum (menerima) titah untuk menghadap dan kami menaruh kepercayaan kepada kepimpinan negeri untuk mempersembah maklum warkah berkenaan. Satu sahaja (nama calon), tetapi biar istana yang umumkan,” katanya.

Isnin lepas, Ismail, 67, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dilaporkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar. Beliau mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lepas.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa isu peletakan jawatan Menteri Besar adalah urusan rasmi pentadbiran negeri dan tidak sewajarnya dicampuradukkan dengan hal peribadi atau keluarga.

Semalam, Istana Negeri Sembilan memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).

Tuanku Muhriz juga semalam turut dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail susulan kemelut semasa yang melanda negeri itu dengan sesi menghadap bermula kira-kira 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang.

Pada Isnin lepas, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menerima satu salinan surat peletakan jawatan berkenaan, yang telah diutuskan kepada Tuanku Muhriz.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, BN memenangi 18 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi, sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

— BERNAMA





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Penganalisis politik akui komitmen PAS dalam PN-BN




ANGKA
 122 kerusi Parlimen bukan angka kecil. Ia melepasi majoriti mudah 112 kerusi yang diperlukan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. Lebih menarik, angka ini muncul dalam simulasi politik yang dibincangkan oleh penganalisis Universiti Sunway, Prof Wong Chin Huat, berdasarkan kemungkinan penyatuan undi PN-BN.

Analisis tersebut membuka persoalan besar menjelang PRU16 iaitu mampukah kesediaan PAS berkompromi diterjemahkan menjadi kesepakatan politik yang membolehkan PN-BN menawarkan sebuah ‘government in waiting’?

Wong Chin Huat akui kebijaksanaan strategik PAS

Wong Chin Huat memberikan perhatian khusus terhadap kesediaan PAS berkompromi dalam pembahagian kerusi PRN Melaka 2026.

PAS dilaporkan bersedia menerima hanya tiga daripada 24 kerusi yang dianggap berpotensi dimenangi melalui kerjasama BN-PN. Wong melihat langkah tersebut sebagai pengorbanan strategik untuk membina persefahaman dengan Umno.

Inilah perbezaan antara politik yang sekadar menuntut kerusi dengan politik yang berusaha membina gabungan.

PAS memperlihatkan kesediaan mengutamakan persetujuan bersama berbanding tuntutan maksimum parti sendiri.

Simulasi 122 kerusi: Matematik politik yang tidak boleh dipandang ringan

Dalam analisis bertarikh 13 November 2026, Wong membincangkan simulasi penggabungan undi BN dan PN berdasarkan keputusan PRU15 di Semenanjung.

Hasilnya memperlihatkan potensi 122 daripada 165 kerusi Parlimen Semenanjung dalam model penggabungan undi tersebut.

Angka ini membawa tiga implikasi besar. Pertama, 122 kerusi bersamaan kira-kira 73.9 peratus kerusi Semenanjung.

Kedua, jumlah itu melebihi majoriti mudah Dewan Rakyat sebanyak 10 kerusi.

Ketiga, penyelarasan pertandingan PN-BN mempunyai kepentingan strategik kerana pertandingan tiga penjuru sebelum ini telah memecahkan undi antara parti-parti berkenaan.

Bagaimanapun, angka 122 ialah hasil simulasi berdasarkan pola PRU15, bukannya kerusi yang telah dimenangi atau dijamin pada PRU16.

Matematik menunjukkan ruang kerjasama. Politik sebenar menentukan sama ada ruang itu mampu diterjemahkan kepada keputusan pilihan raya.

PAS membuka ruang, Umno berdepan keputusan strategik

Kesediaan PAS berkompromi dalam rundingan kerusi menunjukkan bahawa kerjasama tidak semestinya bermula dengan perebutan jawatan.

Namun, hubungan PN-BN turut bergantung kepada pendirian Umno yang masih mempunyai komitmen dalam Kerajaan Perpaduan. Di sinilah letaknya persoalan strategik menjelang PRU16.

Adakah Umno mahu meneruskan kerjasama politik sedia ada, atau membangunkan formula baharu bersama PN?

Kedua-dua pilihan membawa implikasi terhadap pembahagian kerusi, kedudukan kepimpinan dan pembentukan kerajaan selepas pilihan raya.

‘Government in waiting’: Bukan sekadar 122 kerusi

Sebuah gabungan yang mahu menjadi kerajaan menunggu tidak boleh bergantung pada angka pilihan raya semata-mata.

PAS mempunyai pengalaman mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah. Umno pula mempunyai sejarah panjang mengurus pentadbiran Persekutuan.

Pengalaman ini menyediakan asas untuk membincangkan kerangka pemerintahan bersama, termasuk dasar ekonomi, pembangunan negeri, hubungan Persekutuan-negeri dan kebajikan rakyat.

Persoalan calon Perdana Menteri, pembentukan Kabinet dan pembahagian tanggungjawab pentadbiran juga perlu diputuskan melalui rundingan.

Kerajaan menunggu bukan sekadar gabungan yang mempunyai angka, tetapi gabungan yang sudah bersedia memikul tanggungjawab pemerintahan.

PRU16 menuntut kesepakatan, bukan sekadar semangat

Pengiktirafan Wong terhadap pendekatan PAS memperlihatkan bahawa kompromi politik boleh menjadi faktor penting dalam pembinaan gabungan.

Namun, tiga perkara masih perlu dimuktamadkan iaitu formula pembahagian kerusi, kesepakatan kepimpinan dan tawaran dasar bersama.

Tanpa ketiga-tiganya, simulasi 122 kerusi akan kekal sebagai perhitungan matematik.

Dengan kerangka kerjasama yang jelas, angka tersebut boleh dijadikan asas perbincangan serius mengenai pembentukan kerajaan alternatif.

Penutup: 122 kerusi, satu persoalan besar

PAS telah memperlihatkan komitmen melalui kesediaan berkompromi. Wong Chin Huat pula telah mengemukakan analisis mengenai kepentingan penyatuan undi PN–BN.

Kini perhatian beralih kepada kemampuan kepimpinan gabungan mencapai persetujuan yang lebih menyeluruh.

Angka 122 kerusi memberikan gambaran mengenai skala potensi kerjasama. Namun, yang akan menentukan hala tuju selepas PRU16 ialah keputusan pengundi, penerimaan calon dan kesepakatan parti.

Daripada rundingan kerusi kepada pembentukan kerajaan, di situlah ujian sebenar PN-BN sebagai ‘government in waiting’.

DR KHALID HAMKA
Penganalisis Politik
Alor Setar, Kedah – HARAKAHDAILY18/11/2026








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Data Centre: Kerajaan Negeri tak tolak, tapi terhad




ALOR SETAR
: Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor merakamkan penghargaan kepada semua yang mengambil bahagian melancarkan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, sempena Bajet 2027 kali ini.

Menteri Besar itu berkata, semua isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah dapat dijelaskan dengan baik tanpa sebarang kekeliruan.

“Harap esok bajet ini akan diluluskan. Lepas tu, bolehlah belanja untuk 2027. Yang pertama kita bayar bonus dulu,” kata beliau ketika ditemui media selepas berakhirnya sesi pergulungan, Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.

Jelas Muhammad Sanusi, persidangan yang akan berlangsung esok, hanya melibatkan sesi soal jawab dan pembentangan Rang Undang-Undang.

“RUU yang akan dibahas esok yang ‘simple’sahaja, tidak berat sangat,” jelas beliau yang juga ADUN Jeneri.

Dalam pada itu, menurut beliau, berkaitan Data Centre, pihaknya bukanlah tidak berminat atau menolak untuk diadakan.

“Kedah mahu pelaburan Data Centre ini tapi oleh sebab ia mengguna utiliti, tanah dan tenaga agak banyak, kita tak ‘prefer’ (cadang) ia dibangunkan di Kulim Hi-Tech Park (KHTP).

“Pelaburan yang masuk ke KHTP ini, kita nak yang boleh membawa banyak peluang pekerjaan, berbanding Data Centre yang tak bawa banyak peluang pekerjaan.

“Tak sampai 100 peluang pekerjaan pun untuk setiap Data Centre, jadi eloklah pilih sama ada di Bakar Arang, Gurun, Bukit Kayu Hitam, Padang Terap atau mana-mana kawasan lain yang sesuai,” jelas beliau lagi.

Walau bagaimanapun katanya, semuanya bergantung kepada kecukupan utiliti, tenaga, air dan tanah.

“Kita memang nak orang pajak tanah kita. Selesai kerja kita tapi rugilah kalau yang tak dak peluang pekerjaan.

“Seluas fasa lima di KHTP itu boleh cover 15,000 ribu peluang kerja, jadi ‘prioriti’ (keutamaan) kita adalah menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Kita mau tapi tidaklah satu negeri tu berpuluh-puluh,akhirnya mencetuskan isu air,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2026




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Kerjasama PH-Bersatu tak menguntungkan PH – Hanis Asmui



KUALA LUMPUR – Kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa lebih banyak memberikan risiko kepada PH memandangkan sokongan pengundi parti itu tidak semestinya dapat dipindahkan kepada rakan kerjasama berkenaan.

Exco Pemuda Nasional Parti Wawasan Negara (Wawasan), Hanis Asmui berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberikan gambaran jelas kerjasama politik antara kedua-dua parti itu bukan formula yang menjamin keuntungan kepada PH.

Beliau berkata, analisis pemindahan undi di empat kerusi yang ditandingi Bersatu tanpa pertembungan dengan PH menunjukkan gabungan itu berdepan cabaran besar untuk memastikan penyokongnya turut memberikan sokongan kepada calon Bersatu.

Menurutnya, berdasarkan analisis Wawasan Policy Institute (WPI), sebanyak 9,084 undi yang diperoleh PH di empat kerusi berkenaan pada PRN Melaka 2021 dijadikan asas perbandingan untuk melihat corak pemindahan undi pada PRN kali ini.

Bagaimanapun, katanya, hanya dua daripada empat kerusi berkenaan menunjukkan sedikit pemindahan undi PH kepada Bersatu.

“Lebih menarik, di Lendu hampir semua bahagian undi PH beralih ke BN. Bersatu hanya naik sedikit dalam pertandingan satu lawan satu, manakala di Sungai Udang tiada pemindahan undi PH kepada Bersatu dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanis berkata, keadaan di DUN Bemban turut memperlihatkan Bersatu tidak mendapat bahagian undi yang ditinggalkan PH apabila parti itu tidak bertanding pada PRN Melaka kali ini.

Jelasnya, angka berkenaan memberikan isyarat sokongan pengundi PH tidak semestinya boleh dipindahkan kepada Bersatu hanya melalui keputusan kerjasama yang dibuat di peringkat kepimpinan parti.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada kerjasama berkenaan benar-benar memberikan keuntungan kepada PH atau sebaliknya menyebabkan parti itu terpaksa menanggung risiko kehilangan sokongan pengundi sendiri.

“Persoalannya, apakah PH benar-benar mendapat keuntungan daripada kerjasama ini, atau sebenarnya PH yang terpaksa menanggung risiko kehilangan sokongan pengundi sendiri?” soalnya.

Mengulas lanjut, Hanis berkata, sejarah perseteruan politik antara PH dan Bersatu, termasuk episod Langkah Sheraton,juga menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi penerimaan pengundi PH terhadap calon Bersatu.

Menurutnya, episod berkenaan tidak boleh diketepikan dalam menilai kesediaan penyokong PH untuk memberikan undi kepada Bersatu walaupun kedua-dua parti menjalin kerjasama politik.

Tegasnya, PH perlu menilai semula implikasi kerjasama itu supaya tidak berlaku keadaan apabila Bersatu mendapat ruang politik, sedangkan PH berdepan risiko kehilangan identiti, prinsip perjuangan dan sokongan pengundi sendiri.

“Jangan sampai Bersatu mendapat ruang politik, sedangkan PH kehilangan identiti, prinsip dan sokongan pengundi sendiri,” tegasnya. -MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Chegubard desak mandat BN-PN dipertahan, BN terus terajui N. Sembilan



SEREMBAN – Pengerusi Parti Wawasan Negara (Wawasan) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard menyatakan sokongan supaya Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat menerajui kerajaan negeri itu susulan peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar.

Beliau berkata, sebagai komponen Perikatan Nasional (PN) yang bersama-sama membentuk kerajaan negeri, pihaknya menghormati peranan BN untuk mengemukakan calon Menteri Besar baharu yang bersesuaian.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ismail atas khidmat serta sumbangan sepanjang menerajui pentadbiran Negeri Sembilan.

Katanya, pelantikan Menteri Besar baharu diharap menjadi titik penyelesaian kepada kemelut politik yang berlarutan, selain memastikan kerajaan gabungan BN-PN yang mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dapat terus berfungsi dengan baik.

“Moga pelantikan Menteri Besar baharu ini menjadi pintu penyelesaian krisis yang berlarutan di Negeri Sembilan. Pentadbiran kerajaan BN + PN yang telah mendapat mandat rakyat dalam PRN lepas harus diteruskan dengan baik demi rakyat.

“Mandat demokrasi yang perlu dihormati dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut berharap pelantikan itu menjadi permulaan kepada hubungan gabungan yang lebih jujur, selain mengutamakan semangat musyawarah dan keadilan dalam kerjasama politik.

Dalam pada itu, Chegubard berkata, PN Negeri Sembilan akan menyelesaikan isu kepimpinan dan organisasi parti itu di peringkat negeri dalam masa terdekat.

Langkah itu, katanya, bagi membolehkan penubuhan Majlis BN-PN Negeri Sembilan sebagai platform memperkukuh kerjasama antara kedua-dua gabungan, termasuk dalam aspek pentadbiran kerajaan negeri. 

Semalam, UMNO menafikan mengarahkan Ismail supaya meletakkan jawatan Menteri Besar susulan kemelut politik yang melanda negeri itu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan berkenaan dibuat atas kehendak Ismail sendiri dan bukannya hasil arahan parti. – MalaysiaGazette







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo