NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kuil haram: Tindakan ceroboh tanah kerajaan tidak boleh bertukar ganjaran tapak gantian – Zainul Rijal

 


  • “Penyelesaian menang-menang tidak boleh bertukar menjadi ganjaran kepada pihak yang melanggar undang-undang.” – Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
  • “Saya tidak mempertikaikan hak mana-mana agama untuk mempunyai rumah ibadat. Namun, hak tersebut mesti diperoleh melalui saluran undang-undang, bukan melalui pencerobohan,” katanya.

KUALA LUMPUR – Tindakan menceroboh tanah kerajaan berisiko memberikan gambaran bahawa pihak yang melanggar undang-undang akhirnya boleh mendapat tapak gantian yang lebih terjamin, kata Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Beliau berkata, penyelesaian bagi isu rumah ibadat tanpa kebenaran tidak seharusnya dilihat sebagai ganjaran kepada pihak yang melakukan pencerobohan, sebaliknya perlu berlandaskan prinsip keadilan dan penguatkuasaan undang-undang secara konsisten.

“Saya tidak mempertikaikan hak mana-mana agama untuk mempunyai rumah ibadat. Namun, hak tersebut mesti diperoleh melalui saluran undang-undang, bukan melalui pencerobohan.

“Penyelesaian menang-menang tidak boleh bertukar menjadi ganjaran kepada pihak yang melanggar undang-undang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Kenyataan itu menyusul penjelasan rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) pada 17 November berhubung isu rumah ibadat tanpa kebenaran di Mukim Serendah.

Menurut PDTHS, struktur kuil berkenaan telah direkodkan dalam senarai Rumah Ibadat Tanpa Kebenaran Daerah Hulu Selangor sebelum notis kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara dikeluarkan kepada pengusahanya pada 7 Januari 2020 atas kesalahan menceroboh tanah kerajaan.

Bagaimanapun, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 12 April 2023 memutuskan untuk menangguhkan permohonan tindakan penguatkuasaan dan bersetuju supaya perkara itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS).

PDTHS memaklumkan, jawatankuasa berkenaan turut menangguhkan tindakan penguatkuasaan serta mengarahkan supaya penyelesaian menang-menang dicapai melalui sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

Hasil proses itu, satu tapak gantian seluas 0.5 ekar di Lot 32935, Taman Bunga Raya, Mukim Serendah dikenal pasti dan dipersetujui Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) untuk dirizabkan sebagai tapak kuil di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara.

Zainul Rijal berkata, kerajaan negeri perlu menjelaskan asas keputusan berkenaan supaya penyelesaian pentadbiran tidak menimbulkan persepsi bahawa tindakan melanggar undang-undang boleh memberikan kelebihan kepada pihak yang melakukannya.

“Kerajaan Negeri perlu menjelaskan asas keputusan ini. Keadilan pentadbiran bukan sekadar memberikan penyelesaian kepada semua pihak, tetapi memastikan undang-undang tidak kelihatan tunduk kepada tindakan pencerobohan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan perbezaan perkembangan antara penyediaan tapak gantian kuil dengan permohonan tapak institusi keagamaan Islam yang menurut PDTHS masih dalam proses.

“Lebih penting, mengapa permohonan tapak institusi keagamaan Islam masih dalam proses, sedangkan tapak gantian kuil sudah dikenal pasti dan dipersetujui?” katanya.

Dalam penjelasannya, PDTHS menegaskan permohonan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi tapak institusi atau kompleks keagamaan Islam kekal utuh dan sedang diproses sewajarnya.

Jabatan itu turut menjelaskan perubahan keluasan tapak daripada 7.09 ekar kepada 6.2579 ekar berpunca daripada pengukuran semula bagi mengeluarkan jajaran simpanan parit monsun (monsoon drain) serta keperluan rizab utiliti dan infrastruktur, bukannya bagi memberi laluan kepada mana-mana rumah ibadat tanpa kebenaran.

PDTHS dalam kenyataan sama memaklumkan pihaknya sedang menyelaras proses perpindahan kuil berkenaan dengan pengusahanya dalam kadar segera susulan penyediaan tapak gantian tersebut.

Jabatan itu turut menegaskan komitmen untuk menguruskan pentadbiran tanah secara telus, adil dan berlandaskan peruntukan undang-undang tanpa mengira bangsa dan agama. – The Merdeka Times

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo