NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Kalau PAS gila kuasa, Sudah lama kekal dalam Pakatan Rakyat’ – Naib Ketua Pemuda PAS



  • “Apabila DAP melanggar garis merah dan persetujuan yang telah dipersetujui bersama, PAS mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama Pakatan Rakyat. Bukan kerana takut kehilangan kuasa tetapi kerana prinsip perjuangan tidak boleh dikompromi.
  • “Ketika itulah gagasan Penyatuan Ummah telah mula dibawa dan diperjuangkan oleh PAS,” – Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Hanif Jamaluddin
  • Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap gesaan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad supaya PAS menamatkan kerjasama dengan UMNO dan beralih menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR — PAS tetap mempertahankan gagasan Penyatuan Ummah dan tidak akan menggadaikan prinsip perjuangan semata-mata untuk mengejar kuasa atau berada dalam kerajaan.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Hanif Jamaluddin berkata, sekiranya PAS hanya mahu mengejar kuasa dan segera menuju Putrajaya, parti itu sudah lama memilih untuk kekal bersama Pakatan Rakyat.

“Jika benar PAS hanya mahu mengejar kuasa dan mahu segera masuk ke Putrajaya, sudah lama PAS kekal bersama Pakatan Rakyat dahulu. Ketika itu, hanya selangkah sahaja lagi untuk menuju Putrajaya.

“Namun, PAS memilih untuk istiqamah berpegang dengan prinsip,” katanya menerusi hantaran di Facebook Pemuda PAS Malaysia.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap gesaan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad supaya PAS menamatkan kerjasama dengan UMNO dan beralih menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Khalid sebelum ini menyambut baik cadangan bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rosli Yaakop agar PAS menyokong Anwar dan Pakatan Harapan (PH), selain menyatakan kesediaan Amanah membincangkan kemungkinan PAS menyertai kerajaan.

Mengulas lanjut, Hanif mendakwa keputusan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat dibuat selepas DAP melanggar garis merah dan persetujuan yang telah dipersetujui bersama.

Tegasnya, keputusan itu bukan kerana PAS takut kehilangan kuasa, sebaliknya prinsip perjuangan parti tidak boleh dikompromi.

“Ketika itulah gagasan Penyatuan Ummah telah mula dibawa dan diperjuangkan oleh PAS.

“Dan pada ketika itulah kalian muncul!” katanya merujuk kepada penubuhan Amanah susulan perpecahan dalam PAS.

Hanif turut mendakwa pemimpin Amanah memilih meninggalkan PAS kerana tidak berpuas hati dengan keputusan parti itu untuk tidak meneruskan kerjasama bersama DAP dan PKR.

Beliau kemudian menyindir Amanah yang didakwanya semakin bongkak selepas berada dalam kerajaan, selain menyifatkan gesaan terhadap PAS itu sebagai usaha mencari penyelamat ketika kedudukan mereka dirasakan semakin terhimpit.

“Dan kini, apabila kalian mula merasakan kedudukan semakin terhimpit, barulah kelihatan usaha terkapai-kapai mencari pelampung untuk menyelamatkan diri.

“Teruskanlah dengan kebongkakan kalian bersama PH!” katanya.

Bagaimanapun, Hanif menegaskan PAS akan terus mempertahankan dan memperkukuh gagasan Penyatuan Ummah yang menurutnya dibina melalui pengorbanan, kesabaran serta kepercayaan.

“Penyatuan Ummah yang dibina ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ia dibina dengan pengorbanan, kesabaran dan kepercayaan. Insya-Allah, ia akan terus dipertahankan dan diperkukuhkan.

“PAS tidak membina perjuangan semata-mata untuk mendapatkan kuasa. PAS membina kekuatan berasaskan prinsip dan keyakinan terhadap perjuangan,” tegasnya.-The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo