NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerjasama PH-Bersatu tak menguntungkan PH – Hanis Asmui



KUALA LUMPUR – Kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa lebih banyak memberikan risiko kepada PH memandangkan sokongan pengundi parti itu tidak semestinya dapat dipindahkan kepada rakan kerjasama berkenaan.

Exco Pemuda Nasional Parti Wawasan Negara (Wawasan), Hanis Asmui berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberikan gambaran jelas kerjasama politik antara kedua-dua parti itu bukan formula yang menjamin keuntungan kepada PH.

Beliau berkata, analisis pemindahan undi di empat kerusi yang ditandingi Bersatu tanpa pertembungan dengan PH menunjukkan gabungan itu berdepan cabaran besar untuk memastikan penyokongnya turut memberikan sokongan kepada calon Bersatu.

Menurutnya, berdasarkan analisis Wawasan Policy Institute (WPI), sebanyak 9,084 undi yang diperoleh PH di empat kerusi berkenaan pada PRN Melaka 2021 dijadikan asas perbandingan untuk melihat corak pemindahan undi pada PRN kali ini.

Bagaimanapun, katanya, hanya dua daripada empat kerusi berkenaan menunjukkan sedikit pemindahan undi PH kepada Bersatu.

“Lebih menarik, di Lendu hampir semua bahagian undi PH beralih ke BN. Bersatu hanya naik sedikit dalam pertandingan satu lawan satu, manakala di Sungai Udang tiada pemindahan undi PH kepada Bersatu dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanis berkata, keadaan di DUN Bemban turut memperlihatkan Bersatu tidak mendapat bahagian undi yang ditinggalkan PH apabila parti itu tidak bertanding pada PRN Melaka kali ini.

Jelasnya, angka berkenaan memberikan isyarat sokongan pengundi PH tidak semestinya boleh dipindahkan kepada Bersatu hanya melalui keputusan kerjasama yang dibuat di peringkat kepimpinan parti.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada kerjasama berkenaan benar-benar memberikan keuntungan kepada PH atau sebaliknya menyebabkan parti itu terpaksa menanggung risiko kehilangan sokongan pengundi sendiri.

“Persoalannya, apakah PH benar-benar mendapat keuntungan daripada kerjasama ini, atau sebenarnya PH yang terpaksa menanggung risiko kehilangan sokongan pengundi sendiri?” soalnya.

Mengulas lanjut, Hanis berkata, sejarah perseteruan politik antara PH dan Bersatu, termasuk episod Langkah Sheraton,juga menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi penerimaan pengundi PH terhadap calon Bersatu.

Menurutnya, episod berkenaan tidak boleh diketepikan dalam menilai kesediaan penyokong PH untuk memberikan undi kepada Bersatu walaupun kedua-dua parti menjalin kerjasama politik.

Tegasnya, PH perlu menilai semula implikasi kerjasama itu supaya tidak berlaku keadaan apabila Bersatu mendapat ruang politik, sedangkan PH berdepan risiko kehilangan identiti, prinsip perjuangan dan sokongan pengundi sendiri.

“Jangan sampai Bersatu mendapat ruang politik, sedangkan PH kehilangan identiti, prinsip dan sokongan pengundi sendiri,” tegasnya. -MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo