NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Chegubard desak mandat BN-PN dipertahan, BN terus terajui N. Sembilan



SEREMBAN – Pengerusi Parti Wawasan Negara (Wawasan) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard menyatakan sokongan supaya Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat menerajui kerajaan negeri itu susulan peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar.

Beliau berkata, sebagai komponen Perikatan Nasional (PN) yang bersama-sama membentuk kerajaan negeri, pihaknya menghormati peranan BN untuk mengemukakan calon Menteri Besar baharu yang bersesuaian.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ismail atas khidmat serta sumbangan sepanjang menerajui pentadbiran Negeri Sembilan.

Katanya, pelantikan Menteri Besar baharu diharap menjadi titik penyelesaian kepada kemelut politik yang berlarutan, selain memastikan kerajaan gabungan BN-PN yang mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dapat terus berfungsi dengan baik.

“Moga pelantikan Menteri Besar baharu ini menjadi pintu penyelesaian krisis yang berlarutan di Negeri Sembilan. Pentadbiran kerajaan BN + PN yang telah mendapat mandat rakyat dalam PRN lepas harus diteruskan dengan baik demi rakyat.

“Mandat demokrasi yang perlu dihormati dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut berharap pelantikan itu menjadi permulaan kepada hubungan gabungan yang lebih jujur, selain mengutamakan semangat musyawarah dan keadilan dalam kerjasama politik.

Dalam pada itu, Chegubard berkata, PN Negeri Sembilan akan menyelesaikan isu kepimpinan dan organisasi parti itu di peringkat negeri dalam masa terdekat.

Langkah itu, katanya, bagi membolehkan penubuhan Majlis BN-PN Negeri Sembilan sebagai platform memperkukuh kerjasama antara kedua-dua gabungan, termasuk dalam aspek pentadbiran kerajaan negeri. 

Semalam, UMNO menafikan mengarahkan Ismail supaya meletakkan jawatan Menteri Besar susulan kemelut politik yang melanda negeri itu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan berkenaan dibuat atas kehendak Ismail sendiri dan bukannya hasil arahan parti. – MalaysiaGazette







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo