NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ong Kian Ming ramal Adly mungkin kalah di Bukit Katil



PETALING JAYA:
 Bekas pemimpin DAP Ong Kian Ming berpandangan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari mungkin tewas di kerusi DUN Bukit Katil susulan kempen pilihan raya gabungan itu yang disifatkannya sebagai ‘hambar’.

Ong berkata, tempoh berkempen PH dan Barisan Nasional (BN) selama dua minggu tidak mengubah pendiriannya bahawa BN akan mendominasi PRN esok.

Beliau mengkritik manifesto dua muka surat PH yang disifatkannya ‘lemah’, selain menyelar tindakan Adly yang didakwa ‘lebih banyak menyerang kerajaan negeri (sebelum ini) berbanding menggariskan visi meyakinkan tentang kaedah mentadbir Melaka dengan lebih erat bersama sekutu PH’.

Ong meramalkan naib presiden Amanah yang juga bekas ketua menteri itu akan tewas di Bukit Katil, sebuah kawasan yang 68% pengundinya Melayu, kepada calon PAS Ridzuan Sarif.

Beliau berkata, walaupun rakan sekutu pilihan raya BN dan Perikatan Nasional (PN) tidak menampilkan ‘kempen yang cemerlang’ menerusi janji tradisi seperti air percuma dan kebajikan sosial, BN tetap memiliki ‘kelebihan sebagai penyandang’, selain pengaruh besar bekas ketua menteri Ab Rauf Yusoh serta naratif penyatuan Melayu yang kukuh.

“BN memulakan kempen dengan kelebihan awal dan berjaya mengekalkan kelebihan tersebut sepanjang tempoh berkempen,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Ong turut memberi amaran bahawa kemenangan BN-PN pada PRN ini akan memberi tekanan lebih hebat terhadap kerajaan perpaduan dan memperkukuh kerjasama antara kedua-dua gabungan itu.

“Kemenangan bergaya akan membuktikan bahawa kesan peletakan jawatan Loke Siew Fook (sebagai menteri pengangkutan) serta tahanan rumah Najib Razak terhadap pengundi Melaka adalah sangat kecil, sekali gus memaksa PH menggunakan taktik lain bagi melemahkan BN dan PN.

“Perkembangan ini akan menjadi permulaan kepada tahun 2027 yang sangat menarik,” katanya.

Dalam pada itu, Ong berkata, beliau turut memberi tumpuan kepada kemampuan penyandang kerusi Merlimau, Dr Akmal Saleh daripada Umno, untuk menambah majoriti kemenangannya berbanding 3,428 undi yang diraih pada PRN 2021.

“Jika Akmal berjaya berbuat demikian, beliau akan membuktikan bahawa di sebalik imejnya sebagai tokoh lantang memperjuangkan agenda Melayu, beliau mampu meraih sokongan bukan sahaja daripada pengundi Melayu, malah masyarakat bukan Melayu pada peringkat akar umbi,” katanya.


Sumber | FMT Malaysia














........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Wan Saiful dakwa Bersatu jadi ‘ejen PH’, ramal banyak kerusi hilang deposit



KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa berperanan memecahkan undi Melayu bagi memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, susulan dakwaan parti itu tidak mempunyai peluang memenangi kerusi yang ditandingi.

Naib Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, penyertaan Bersatu di banyak kerusi pada PRN itu menimbulkan persoalan mengenai tujuan sebenar parti berkenaan bertanding.

Beliau mendakwa, tindakan Bersatu itu hanya akan memecahkan undi Melayu sekali gus membuka ruang kepada PH untuk meraih kemenangan.

Malah Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut membangkitkan persoalan sama ada wujud perjanjian sulit di sebalik pemeteraian perjanjian CSA susulan dakwaan enam Ahli Parlimen Bersatu menerima bayaran peruntukan Parlimen.

“Tak ada sesiapa tahu jika ada perjanjian sulit di sebalik CSA yang mereka tandatangani,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Sehubungan itu, Wan Saiful menyeru pengundi supaya tidak terpedaya dengan Bersatu yang didakwanya mungkin sudah menjadi ejen PH.

Beliau turut menyindir prestasi Bersatu dengan menggesa pengundi memastikan parti itu terus mencatat rekod kehilangan deposit paling banyak dalam PRN Melaka. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Semua patut letak jawatan, baru DAP nampak ada prinsip – Ismail Sabri



ALOR GAJAH – Semua menteri daripada DAP sepatutnya  meletakkan jawatan sekiranya Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke, berpegang kepada pendiriannya untuk berundur susulan isu pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenyataan Loke berhubung perkara itu bukan dibuat atas kapasiti peribadi, sebaliknya mewakili pendirian rasmi DAP.

Justeru, beliau berpandangan, tindakan meletakkan jawatan tidak seharusnya terhad kepada Loke seorang kerana perkara itu membabitkan janji parti, bukannya janji individu.

“Loke cakap bukan atas dasar peribadi. Dia bercakap sebagai Setiausaha Agung DAP. Jadi dia mewakili DAP.

“Saya rasa kawan-kawan dia tak fair (adil) bila kes macam ini, tolak Loke seorang-seorang. Patutnya, kalau dari segi prinsipnya, Loke berhenti dan lain-lain perlu berhenti. Ikut Lok juga.

“Tengok komen Anthony Loke, Gobind dan juga Timbalan Menteri, patut letaklah (jawatan). Berhenti.

“Sebab itu janji, saya kata janji DAP, bukan janji Loke as a person. Jadi, semua patut letak jawatan. Baru nampak mereka ada prinsip. Kalau tidak, semua nak menyelamatkan diri masing-masing ke?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika selesai bersarapan di DUN Rembia yang turut dihadiri calon BN Rembia, Azril Aziz. 

Mengulas pendirian Loke yang sebelum ini menyatakan kesediaan meletakkan jawatan, Ismail Sabri berkata, perkara itu perlu dihormati kerana ia dibuat selepas mengambil kira pendiriannya sendiri.

Katanya, Loke sebelum ini pernah mengemukakan surat peletakan jawatan, namun ditolak, sebelum sekali lagi menyatakan komitmen untuk berundur secara automatik apabila Najib memasuki kediamannya di Jalan Duta.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau belum menerima peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan, meskipun sudah mengumumkan keputusannya.

Anwar berkata, beliau mahu mengadakan rundingan semula dengan Loke sekiranya pemimpin DAP itu tetap berhasrat meninggalkan Kabinet.

Terdahulu, Anthony mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta pada 10 November lalu, susulan keputusan mahkamah membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Keputusan itu dibuat susulan pendirian DAP yang membantah pemberian tahanan rumah kepada Najib, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan parti berkenaan dalam Kabinet.

Anthony sebelum ini menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Anwar pada 28 September lalu, namun Perdana Menteri mahu perkara itu dibincangkan terlebih dahulu. – MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

DAP tidak salah, pemimpin Melayu yang tiada integriti



MACHAP JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan masalah orang Melayu bukan disebabkan oleh masyarakat Cina atau DAP sebaliknya kegagalan melahirkan pemimpin mempunyai prinsip, integriti dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab.

Perdana Menteri berkata, pemimpin tidak seharusnya dinilai berdasarkan kaum atau bangsa tetapi perlu dilihat kepada akhlak, kejujuran serta keupayaan mengurus negara tanpa terlibat dalam rasuah dan penyelewengan.

Menurutnya, rakyat perlu berani memilih pemimpin Melayu yang bersih dan berprinsip selain tidak menjadikan kerjasama politik dengan DAP sebagai alasan untuk memainkan sentimen perkauman.

“Jadi, kita pilih pimpinan Melayu yang bagaimana? Pasal dia Melayu? Atau pasal dia itu akhlaknya baik, prinsipnya ada, tak curi, tak sakau, tak sombong.

“Masalah kita ini bukan masalah Cina, masalahnya nak pastikan pimpinan Melayu yang ada prinsip. Takkanlah tak ada di Melaka ini ramai, anak-anak muda ramai. Pilih yang baik, pilih yang bersih, pilih yang ada nilai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pesta Melaka Rumah Kita sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, malam tadi.

Anwar turut menolak dakwaan beliau tunduk kepada DAP hanya kerana bekerjasama dengan parti itu dalam Kerajaan Madani sebaliknya menegaskan kerjasama berkenaan berasaskan prinsip dan kepentingan rakyat.

“Saya kata saya bersama DAP, saya bukan pecacai DAP. Saya pegang pada prinsip. Kalau saya kata program Islam, kita tambah program Islam. Paling tinggi peruntukan dalam sejarah bawah Kerajaan Madani Pakatan Harapan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan turut memperuntuk lebih RM3 bilion bagi program Islam selain mengisytiharkan 50 ekar tanah di Kuala Lumpur sebagai Tanah Rizab Melayu kira-kira dua tahun lalu tanpa mendapat sebarang bantahan daripada DAP.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut berkata, kepentingan masyarakat Melayu perlu terus dipelihara namun tanggungjawab kerajaan juga merangkumi kebajikan masyarakat Cina, India, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan ceramah politik yang menggambarkan negara dan negeri berada dalam keadaan hancur sebaliknya menilai kepimpinan berdasarkan usaha serta tindakan yang dilaksanakan.

Beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk rakan dalam kerajaan yang terbabit dalam rasuah, penyelewengan atau mencuri wang rakyat.

“Bila saya strict (tegas) ramai orang tak suka. Dia marah kita sebab apa? Kita kata jangan, tak boleh bagi rasuah, tak boleh amalan sakau. Itu saya marah sangat,” katanya. – MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Calon DAP dakwa Helmy tak iktiraf bantuan PH, Helmy nafi



  • MELAKA – Pertikaian mengenai pengiktirafan bantuan Kerajaan Persekutuan kepada penduduk Duyong tercetus antara calon Pakatan Harapan (PH)-DAP, Poo Long Suan dengan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem daripada Barisan Nasional (BN)-UMNO.
  • Poo mendakwa Helmy tidak memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada pemimpin PH yang membantu mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan, termasuk Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.
  • Bagaimanapun, Helmy menafikan dakwaan itu dan menegaskan beliau tidak pernah mengambil kredit atas bantuan yang disalurkan oleh pihak lain kepada penduduk Duyong.
  • Dalam hantaran media sosial bertajukTerima Kasih Pakatan Harapan, Poo mendakwa Helmy sering mengetengahkan usaha perkhidmatannya sepanjang kempen tanpa menyebut pihak yang turut membantu.
  • “Beliau sendiri menulis dan berucap ketika dalam kempen tanpa sedikit pun memberi kredit dan menyebut nama pihak yang selalu beliau temui dan berbincang untuk memohon bantuan dari kerajaan pusat.
  • “YB Khoo Poay Tiong selaku ahli Parlimen Kota Melaka sendiri telah beberapa kali dirujuk dan membantu beliau,” dakwanya.
  • Poo turut mengingatkan bahawa bantuan yang diberikan oleh pihak lain wajar diiktiraf meskipun mereka merupakan pesaing politik.
  • “Jika tidak kenang jasa pun tapi janganlah sampai memadamkan bantuan mereka yang membantu. Mungkin saya lawan Datuk Helmy, tapi saya tidak segan menyatakan kebenaran apa yang telah dilakukan. Orang berbudi, kita berbahasa,” katanya.
  • Menjawab dakwaan itu, Helmy menegaskan beliau sentiasa mengiktiraf sumbangan Khoo serta pemimpin PH yang membantu penduduk di kawasan diwakilinya.
  • “Saya menafikan apa yang dinyatakan oleh saudara Poo Long Suan mengenai menumpang kredit untuk orang yang membantu di Duyong.
  • “Saya tak pernah mengambil kredit segala usaha dan bantuan yang diberikan oleh YB Khoo Poay Tiong, Ahli Parlimen Kota Melaka kepada warga Duyong.
  • “Setiap bantuan yang diberikan oleh beliau saya sebut dalam ucapan. Saya pulangkan kredit itu kepada beliau,” katanya.
  • Helmy turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil kredit bagi bantuan yang diberikan menteri PH, malah mengiktiraf usaha bekas ADUN Duyong, Damian Yeo Shen Li, yang diteruskannya selepas mengambil alih kerusi berkenaan.
  • “Jangankan kata YB Khoo, usaha saudara Damian sewaktu menjadi Adun Duyong dulu yang saya sambung kini pun saya pulangkan kredit kepada beliau,” katanya.
  • Menurut Helmy, keutamaannya bukan mendapatkan pujian atau pengiktirafan politik, sebaliknya memastikan penduduk Duyong memperoleh bantuan dan manfaat yang diperlukan.
  • “Saya tak perlukan kredit. Yang penting orang Duyong dapat manfaat,” tegasnya.
  • Beliau turut mengingatkan bahawa bantuan yang diberikan oleh Ahli Parlimen, menteri mahupun Kerajaan Persekutuan bukanlah bantuan peribadi kepada seseorang wakil rakyat, sebaliknya sebahagian daripada tanggungjawab mereka kepada masyarakat.
  • “Dan lagi satu jangan anggap ianya tolong saya ya. Kena ingat ada tanggungjawab Ahli Parlimen kepada rakyat, ada tanggungjawab menteri kepada rakyat, ada tanggungjawab negara pada rakyat,” katanya.
  • Pertikaian itu berlaku menjelang pengundian PRN Melaka pada Sabtu, 14 November, yang menyaksikan Helmy mempertahankan kerusi DUN Duyong dalam pertandingan satu lawan satu menentang Poo.
  • Pada PRN Melaka 2021, Helmy memenangi kerusi tersebut dengan majoriti tipis 200 undi.-The Merdeka Times

  • ........
    Komen: ........


    ............oo000oo...........
    PENAFIAN
      1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                          ...oo...

    31 tahun DAP di Bandar Hilir, Masalah asas masih belum selesai – Calon BERSAMA



    • “Sebenarnya, kalau nak bercerita tentang DAP, dia telah berkuasa di Bandar Hilir selama lebih kurang 30 tahun, semenjak 1995 sebenarnya. Jadi, bermaksud sehingga tahun 2026, dah 31 tahun. Jadi, rakyat penduduk di Bandar Hilir berhak bertanya, bagaimana dengan penyelesaian masalah longkang kami?” – Calon Bersama, Ir. Dr. Mohd Nor Rashidi Ab. Jalil
    • Rashidi turut mengkritik tindakan parti-parti politik yang menurutnya lebih gemar menyalahkan antara satu sama lain berhubung kelemahan pentadbiran, sedangkan masalah penduduk masih memerlukan penyelesaian.

    MELAKA  – Selepas lebih tiga dekad DAP menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, calon Parti BERSAMA, Ir. Dr. Mohd Nor Rashidi Ab. Jalil mempersoalkan kegagalan yang didakwanya masih berlaku dalam menangani masalah asas penduduk, termasuk penyelenggaraan jalan, sistem perparitan, kesesakan lalu lintas dan peluang pekerjaan.

    Beliau berkata, tempoh panjang penguasaan DAP di kawasan itu sepatutnya memberi ruang mencukupi kepada wakil rakyat untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk, bukannya terus mengulangi janji sama setiap kali pilihan raya.

    “Sebenarnya, kalau nak bercerita tentang DAP, dia telah berkuasa di Bandar Hilir selama lebih kurang 30 tahun, semenjak 1995 sebenarnya. Jadi, bermaksud sehingga tahun 2026, dah 31 tahun.

    “Jadi, rakyat penduduk di Bandar Hilir berhak bertanya, bagaimana dengan penyelesaian masalah longkang kami?” katanya dalam temu bual eksklusif bersama program Analisis Finaz Yunus yang diterbitkan The Merdeka Times.

    Menurut Rashidi, antara persoalan yang wajar dijawab penyandang ialah masalah jalan yang didakwanya tidak diselenggara dengan baik, penutupan jalan, tekanan ekonomi serta keadaan anak muda yang terpaksa mencari pekerjaan di luar kawasan berkenaan.

    Beliau mendakwa isu tersebut masih belum ditangani secara memuaskan meskipun DAP telah lama menerima mandat pengundi Bandar Hilir.

    Rashidi turut mengkritik tindakan parti-parti politik yang menurutnya lebih gemar menyalahkan antara satu sama lain berhubung kelemahan pentadbiran, sedangkan masalah penduduk masih memerlukan penyelesaian.

    “Yang DAP ni, dia tuding BN, BN ni tuding DAP. Wahai, you are the one that sitting each other in the same state government before,” katanya.

    Beliau berpandangan pertikaian politik sedemikian tidak membantu menyelesaikan masalah penduduk, khususnya apabila isu penyelenggaraan infrastruktur, bangunan lama dan kesesakan lalu lintas terus dibangkitkan.

    Dalam pada itu, Rashidi berkata kesesakan lalu lintas dan penutupan jalan di sekitar Bandar Hilir turut memberi kesan kepada kegiatan ekonomi setempat, khususnya peniaga kecil.

    Menurutnya, pengguna jalan raya yang terpaksa mengambil laluan alternatif mungkin memilih untuk tidak memasuki kawasan tertentu, sekali gus menjejaskan kunjungan pelanggan ke premis perniagaan.

    Beliau turut membangkitkan kekurangan tempat letak kereta di Melaka Raya dan mencadangkan supaya penyelesaian lebih kreatif, termasuk kemungkinan pembinaan parkir bertingkat, dipertimbangkan.

    Rashidi yang mempunyai pengalaman selama 17 tahun berkhidmat di Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata, latar belakang kejuruteraan awamnya membolehkan beliau menilai masalah pembangunan bandar daripada sudut teknikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar.

    Katanya, penyelesaian masalah penduduk memerlukan perancangan yang boleh dilaksanakan serta petunjuk prestasi yang jelas, bukan sekadar menjadi penghubung antara rakyat dengan agensi berkaitan.

    “Ada wakil rakyat yang tahu masalah tapi tak tahu nak selesaikan dia hanya jadi penghubung dia hanya jadi postman je,” katanya.

    Bandar Hilir merupakan antara kerusi yang mempunyai sejarah panjang penguasaan DAP sejak 1995, dengan penyandangnya, Leng Chau Yen mempertahankan kerusi itu pada PRN 2021 menerusi majoriti 7,778 undi.

    Pada PRN Melaka kali ini, Rashidi berdepan pertandingan tiga penjuru menentang Leng daripada Pakatan Harapan (PH)-DAP dan calon Barisan Nasional (BN)-MCA, Jasmine Lok Huey Yee.

    Menjelang pengundian Sabtu, 14 November, Rashidi turut berjanji untuk terus berkhidmat kepada masyarakat Bandar Hilir walaupun tidak dipilih sebagai wakil rakyat.

    “Walaupun saya kalah saya tetap akan berada di sini we will still serve the people,” katanya.- The Merdeka Times








    ........
    Komen: ........


    ............oo000oo...........
    PENAFIAN
      1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                          ...oo...

    BN-PN perlu sasar kemenangan dua pertiga PRU16




    HANG TUAH JAYA:
     Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PERIKATAN NASIONAL (PN) perlu diperkukuh dengan menyasarkan kemenangan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan tanpa bergantung kepada pihak lain.

    Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, persiapan ke arah itu perlu dilakukan secara lebih rapi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk memastikan kemenangan yang diperoleh bukan sekadar dengan majoriti tipis.

    Menurutnya, beliau yakin kerjasama BN-PN mampu menawarkan pentadbiran yang dapat membawa manfaat kepada rakyat sekiranya kedua-dua gabungan mengutamakan permuafakatan dan tidak terjebak dalam persaingan merebut kuasa.

    “Kita tidak mahu lagi menang tipis sebaliknya mesti menang besar supaya tiada pihak boleh menekan kita atau terpaksa meminta ihsan kerusi mereka bagi membentuk kerajaan.

    “Biarlah kita dapat dua pertiga,” katanya ketika berucap pada majlis kempen terakhir Pentas Grand Finale PRN Melaka di Dewan Mualim Haji Abdul Wahid, Bukit Katil.

    Mukhriz yang juga Timbalan Pengerusi PN berkongsi, kerjasama kedua-dua gabungan itu perlu diterjemahkan melalui pendekatan mampu menyelesaikan masalah rakyat, khususnya peningkatan kos sara hidup dan harga barang.

    Katanya, dua perkara utama perlu diberikan perhatian bagi menangani isu berkenaan iaitu memastikan kenaikan harga barang terkawal dan pada masa sama meningkatkan pendapatan rakyat.

    “Kalau gaji kita naik tetapi harga barang turut naik, malah lebih tinggi daripada peningkatan gaji yang diterima, masalah tidak akan selesai. Inilah antara perkara yang boleh kita lakukan. Saya akui ia bukan semudah bercakap, tetapi banyak cara boleh kita usahakan,” ujarnya.

    Beliau turut berpandangan, gabungan BN-PN membolehkan pemimpin kedua-dua pihak memberi tumpuan kepada perbincangan isu rakyat tanpa terganggu dengan pertelingkahan politik atau perebutan kuasa.

    Tambahnya, perpaduan politik yang dibentuk tidak seharusnya sekadar menjadi slogan, sebaliknya mesti membawa manfaat yang dapat dirasai masyarakat.

    Mukhriz berkata, usaha menyatukan politik Melayu di bawah satu payung mendorong penyertaan PEJUANG dalam PN, namun kerjasama itu perlu turut melibatkan parti lain bagi mencerminkan realiti masyarakat majmuk negara ini.

    Beliau menjelaskan, Kerajaan Persekutuan yang bakal dibentuk kelak perlu berasaskan kerajaan campuran dengan kepimpinan Melayu, selain mengambil kira kepelbagaian kaum di Malaysia.

    Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama BN dan PN yang turut diperlihatkan dalam PRN Melaka dapat diperluas sebagai persediaan menghadapi PRU16.

    Beliau turut menyeru seluruh jentera kedua-dua gabungan supaya terus bekerja keras pada penghujung kempen bagi mendapatkan mandat rakyat di Melaka. – HARAKAHDAILY 13/11/2026











    ........
    Komen: ........


    ............oo000oo...........
    PENAFIAN
      1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                          ...oo...

    Kerjasama PN-BN bukan sekadar Melaka, sasar Putrajaya




    MELAKA: 
    Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PERIKATAN NASIONAL (PN) yang terbina di Melaka perlu diperkukuhkan sebagai asas Penyatuan Ummah serta usaha membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kedua-dua gabungan perlu mengetepikan persengketaan politik terdahulu bagi memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat, negara dan mempertahankan agama Islam.

    “Ambillah pengajaran, yang lepas biarlah berlalu dan kita buka lembaran baharu demi memberi fokus kepada rakyat, negara serta menjaga agama,” ujarnya pada program ceramah Pentas Grand Finale PRN Melaka, malam tadi.

    Beliau berkata, perpecahan umat Islam akan menyebabkan mereka menjadi lemah sehingga membuka ruang kepada musuh untuk menguasai keadaan sebagaimana peringatan Allah SWT dalam Surah al-Anfal.

    Menurutnya, pengalaman Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 membuktikan kepentingan kesepakatan politik apabila tiada satu gabungan pun berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

    Jelasnya, ketika itu Parlimen tergantung selama lima hari sebelum Yang di-Pertuan Agong menggunakan kebijaksanaan dengan memanggil ketua-ketua parti untuk mencari penyelesaian pembentukan kerajaan.

    Beliau berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan pembentukan kerajaan perpaduan, manakala Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju tetapi hanya mempunyai 82 kerusi berbanding 112 diperlukan. 

    “Apabila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dititahkan menghadap, beliau membawa bersama Tok Mat dan juga Dr Zambry sebagai saksi titah yang sama supaya membentuk Kerajaan Perpaduan.

    “Apa yang Datuk Seri Zahid kata, secara prinsipnya beliau boleh bersetuju tetapi perlu membawa perkara itu ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno terlebih dahulu,” katanya.

    Menurutnya, seramai 58 anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno dipanggil bermesyuarat pada malam itu bermula jam 8.30 malam hingga 1.38 pagi bagi membincangkan keputusan besar yang mempunyai implikasi terhadap kedudukan parti.

    Tambahnya, Umno berdepan dilema kerana perlu mempertimbangkan tanggungjawab mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong selain kemungkinan terpaksa bekerjasama dengan PH yang sebelum ini menjadi seteru politik, termasuk DAP.

    Bagaimanapun, katanya, Umno menetapkan tiga syarat utama secara bertulis sebelum bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan.

    “Pertama, jangan sentuh Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, kedua jangan sentuh hak orang Melayu dan bumiputera serta ketiga jangan sentuh institusi Raja-Raja Melayu.

    “Bahkan, perkataan yang kita gunakan ialah jangan sekali-kali mengeluarkan sebarang kenyataan atau membuat tindakan sehingga boleh mengguris hati orang Melayu,” katanya.

    Bagaimanapun, beliau mendakwa garis merah berkenaan dilanggar apabila timbul beberapa kenyataan dan tindakan yang menyentuh kedudukan Islam, hak Melayu serta institusi Raja-Raja Melayu.

    Beliau turut membangkitkan isu berkaitan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menurutnya merupakan hak baginda sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

    Katanya, kuasa mengampunkan, mengurangkan atau melegakan hukuman adalah hak Yang di-Pertuan Agong, manakala Lembaga Pengampunan merupakan sebahagian daripada proses berkaitan pelaksanaan kuasa berkenaan.

    Asyraf Wajdi turut menyokong gesaan supaya Anthony Loke meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung DAP, malah berpandangan seluruh pimpinan parti itu perlu bertanggungjawab berhubung isu yang dibangkitkan.

    Beliau turut merujuk hantaran Facebook Tony Pua yang didakwa mempersendakan institusi Yang di-Pertuan Agong, selain tindakan pemimpin DAP mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung penutupan ladang babi berhampiran penempatan Melayu.

    Katanya, pemimpin DAP turut didakwa mempertikaikan kuasa Sultan Selangor dengan menyifatkan baginda hanya sebagai raja berperlembagaan.

    Selain itu, beliau membangkitkan isu penyertaan wakil DAP dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan serta cadangan Nga Kor Ming agar wakil bukan Islam dilibatkan dalam jawatankuasa mengkaji undang-undang syariah.

    “Ini sudah melampau. Kita tidak pernah mengganggu atau mempersoalkan agama-agama lain kerana kita umat Islam berpegang kepada prinsip ‘lakum dinukum waliyadin‘, tetapi siapa mereka untuk mencampuri urusan Islam?” katanya.

    Tambah beliau, perkara berkenaan antara garis merah yang menyebabkan Umno dan BN merasakan sudah tiba masanya untuk memutuskan hubungan dengan PH.

    Menurutnya, kesepakatan BN-PN yang terbentuk ketika ini bukan semata-mata hasil usaha pimpinan parti, sebaliknya lahir daripada kehendak akar umbi demi melihat penyatuan antara dua gabungan berkenaan.

    Katanya, usaha menyatukan umat Islam juga perlu dipertahankan kerana pasti ada pihak yang tidak senang dan akan cuba menggagalkannya dengan mengungkit persengketaan politik terdahulu.

    Beliau mengambil iktibar peristiwa penyatuan puak Aus dan Khazraj pada zaman Rasulullah SAW yang hampir kembali berperang selepas pihak tertentu mengungkit permusuhan lama antara mereka.

    “Pihak yang tidak senang dengan penyatuan umat Islam akan mengadu domba, mengungkit kisah-kisah lama dan membangkitkan semula peristiwa peperangan silam sehingga mereka hampir-hampir berperang.

    “Usaha ini juga pasti akan ada pihak yang cuba menggagalkannya. Mereka bakal mengeluarkan video-video lama pemimpin PAS dan Umno, tetapi ingatlah semua ini tidak mampu memisahkan kita lagi, insya-Allah kita akan sama-sama menuju Putrajaya,” katanya.

    Beliau turut mengingatkan penyokong BN dan PN supaya tidak terleka dengan perkembangan positif kerjasama berkenaan sehingga mengabaikan usaha mendapatkan sokongan pengundi dalam tempoh kempen yang berbaki kurang 36 jam.

    Katanya, semua calon BN dan PN perlu diberikan sokongan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk calon PN di Bemban, Bukit Katil, Ayer Keroh serta Paya Rumput.

    “Semalam sekali lagi saya membuat penegasan bahawa semua penyokong dan pengundi BN wajib menyokong calon-calon PN di kawasan yang ditandingi mereka.

    “Begitu juga kami memohon agar seluruh jentera dan pendokong PN memberikan kemenangan kepada calon-calon BN supaya kita sama-sama dapat meraikannya pada hari Sabtu nanti,” jelasnya.

    Beliau berkata, seluruh jentera kedua-dua gabungan termasuk sayap wanita, Muslimat, Pemuda, Puteri, Ameerah, Veteran dan As-Sabiqun perlu bergerak seiring bagi memastikan kemenangan besar di Melaka.

    Terangnya, beliau sendiri telah mengunjungi semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka dan menyaksikan kesungguhan jentera BN serta PN bekerjasama sepanjang tempoh kempen.

    “Saya percaya kita akan sama-sama berpakat dan bermuafakat untuk menuju Putrajaya secara beriringan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/11/2026








    ........
    Komen: ........


    ............oo000oo...........
    PENAFIAN
      1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                          ...oo...

    © all rights reserved
    made with by templateszoo