MACHAP JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan masalah orang Melayu bukan disebabkan oleh masyarakat Cina atau DAP sebaliknya kegagalan melahirkan pemimpin mempunyai prinsip, integriti dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab.
Perdana Menteri berkata, pemimpin tidak seharusnya dinilai berdasarkan kaum atau bangsa tetapi perlu dilihat kepada akhlak, kejujuran serta keupayaan mengurus negara tanpa terlibat dalam rasuah dan penyelewengan.
Menurutnya, rakyat perlu berani memilih pemimpin Melayu yang bersih dan berprinsip selain tidak menjadikan kerjasama politik dengan DAP sebagai alasan untuk memainkan sentimen perkauman.
“Jadi, kita pilih pimpinan Melayu yang bagaimana? Pasal dia Melayu? Atau pasal dia itu akhlaknya baik, prinsipnya ada, tak curi, tak sakau, tak sombong.
“Masalah kita ini bukan masalah Cina, masalahnya nak pastikan pimpinan Melayu yang ada prinsip. Takkanlah tak ada di Melaka ini ramai, anak-anak muda ramai. Pilih yang baik, pilih yang bersih, pilih yang ada nilai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pesta Melaka Rumah Kita sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, malam tadi.
Anwar turut menolak dakwaan beliau tunduk kepada DAP hanya kerana bekerjasama dengan parti itu dalam Kerajaan Madani sebaliknya menegaskan kerjasama berkenaan berasaskan prinsip dan kepentingan rakyat.
“Saya kata saya bersama DAP, saya bukan pecacai DAP. Saya pegang pada prinsip. Kalau saya kata program Islam, kita tambah program Islam. Paling tinggi peruntukan dalam sejarah bawah Kerajaan Madani Pakatan Harapan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan turut memperuntuk lebih RM3 bilion bagi program Islam selain mengisytiharkan 50 ekar tanah di Kuala Lumpur sebagai Tanah Rizab Melayu kira-kira dua tahun lalu tanpa mendapat sebarang bantahan daripada DAP.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut berkata, kepentingan masyarakat Melayu perlu terus dipelihara namun tanggungjawab kerajaan juga merangkumi kebajikan masyarakat Cina, India, Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan ceramah politik yang menggambarkan negara dan negeri berada dalam keadaan hancur sebaliknya menilai kepimpinan berdasarkan usaha serta tindakan yang dilaksanakan.
Beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk rakan dalam kerajaan yang terbabit dalam rasuah, penyelewengan atau mencuri wang rakyat.
“Bila saya strict (tegas) ramai orang tak suka. Dia marah kita sebab apa? Kita kata jangan, tak boleh bagi rasuah, tak boleh amalan sakau. Itu saya marah sangat,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment