NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Semua patut letak jawatan, baru DAP nampak ada prinsip – Ismail Sabri



ALOR GAJAH – Semua menteri daripada DAP sepatutnya  meletakkan jawatan sekiranya Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke, berpegang kepada pendiriannya untuk berundur susulan isu pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenyataan Loke berhubung perkara itu bukan dibuat atas kapasiti peribadi, sebaliknya mewakili pendirian rasmi DAP.

Justeru, beliau berpandangan, tindakan meletakkan jawatan tidak seharusnya terhad kepada Loke seorang kerana perkara itu membabitkan janji parti, bukannya janji individu.

“Loke cakap bukan atas dasar peribadi. Dia bercakap sebagai Setiausaha Agung DAP. Jadi dia mewakili DAP.

“Saya rasa kawan-kawan dia tak fair (adil) bila kes macam ini, tolak Loke seorang-seorang. Patutnya, kalau dari segi prinsipnya, Loke berhenti dan lain-lain perlu berhenti. Ikut Lok juga.

“Tengok komen Anthony Loke, Gobind dan juga Timbalan Menteri, patut letaklah (jawatan). Berhenti.

“Sebab itu janji, saya kata janji DAP, bukan janji Loke as a person. Jadi, semua patut letak jawatan. Baru nampak mereka ada prinsip. Kalau tidak, semua nak menyelamatkan diri masing-masing ke?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika selesai bersarapan di DUN Rembia yang turut dihadiri calon BN Rembia, Azril Aziz. 

Mengulas pendirian Loke yang sebelum ini menyatakan kesediaan meletakkan jawatan, Ismail Sabri berkata, perkara itu perlu dihormati kerana ia dibuat selepas mengambil kira pendiriannya sendiri.

Katanya, Loke sebelum ini pernah mengemukakan surat peletakan jawatan, namun ditolak, sebelum sekali lagi menyatakan komitmen untuk berundur secara automatik apabila Najib memasuki kediamannya di Jalan Duta.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau belum menerima peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan, meskipun sudah mengumumkan keputusannya.

Anwar berkata, beliau mahu mengadakan rundingan semula dengan Loke sekiranya pemimpin DAP itu tetap berhasrat meninggalkan Kabinet.

Terdahulu, Anthony mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta pada 10 November lalu, susulan keputusan mahkamah membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Keputusan itu dibuat susulan pendirian DAP yang membantah pemberian tahanan rumah kepada Najib, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan parti berkenaan dalam Kabinet.

Anthony sebelum ini menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Anwar pada 28 September lalu, namun Perdana Menteri mahu perkara itu dibincangkan terlebih dahulu. – MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo