- “Sebenarnya, kalau nak bercerita tentang DAP, dia telah berkuasa di Bandar Hilir selama lebih kurang 30 tahun, semenjak 1995 sebenarnya. Jadi, bermaksud sehingga tahun 2026, dah 31 tahun. Jadi, rakyat penduduk di Bandar Hilir berhak bertanya, bagaimana dengan penyelesaian masalah longkang kami?” – Calon Bersama, Ir. Dr. Mohd Nor Rashidi Ab. Jalil
- Rashidi turut mengkritik tindakan parti-parti politik yang menurutnya lebih gemar menyalahkan antara satu sama lain berhubung kelemahan pentadbiran, sedangkan masalah penduduk masih memerlukan penyelesaian.
MELAKA – Selepas lebih tiga dekad DAP menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, calon Parti BERSAMA, Ir. Dr. Mohd Nor Rashidi Ab. Jalil mempersoalkan kegagalan yang didakwanya masih berlaku dalam menangani masalah asas penduduk, termasuk penyelenggaraan jalan, sistem perparitan, kesesakan lalu lintas dan peluang pekerjaan.
Beliau berkata, tempoh panjang penguasaan DAP di kawasan itu sepatutnya memberi ruang mencukupi kepada wakil rakyat untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk, bukannya terus mengulangi janji sama setiap kali pilihan raya.
“Sebenarnya, kalau nak bercerita tentang DAP, dia telah berkuasa di Bandar Hilir selama lebih kurang 30 tahun, semenjak 1995 sebenarnya. Jadi, bermaksud sehingga tahun 2026, dah 31 tahun.
“Jadi, rakyat penduduk di Bandar Hilir berhak bertanya, bagaimana dengan penyelesaian masalah longkang kami?” katanya dalam temu bual eksklusif bersama program Analisis Finaz Yunus yang diterbitkan The Merdeka Times.
Menurut Rashidi, antara persoalan yang wajar dijawab penyandang ialah masalah jalan yang didakwanya tidak diselenggara dengan baik, penutupan jalan, tekanan ekonomi serta keadaan anak muda yang terpaksa mencari pekerjaan di luar kawasan berkenaan.
Beliau mendakwa isu tersebut masih belum ditangani secara memuaskan meskipun DAP telah lama menerima mandat pengundi Bandar Hilir.
Rashidi turut mengkritik tindakan parti-parti politik yang menurutnya lebih gemar menyalahkan antara satu sama lain berhubung kelemahan pentadbiran, sedangkan masalah penduduk masih memerlukan penyelesaian.
“Yang DAP ni, dia tuding BN, BN ni tuding DAP. Wahai, you are the one that sitting each other in the same state government before,” katanya.
Beliau berpandangan pertikaian politik sedemikian tidak membantu menyelesaikan masalah penduduk, khususnya apabila isu penyelenggaraan infrastruktur, bangunan lama dan kesesakan lalu lintas terus dibangkitkan.
Dalam pada itu, Rashidi berkata kesesakan lalu lintas dan penutupan jalan di sekitar Bandar Hilir turut memberi kesan kepada kegiatan ekonomi setempat, khususnya peniaga kecil.
Menurutnya, pengguna jalan raya yang terpaksa mengambil laluan alternatif mungkin memilih untuk tidak memasuki kawasan tertentu, sekali gus menjejaskan kunjungan pelanggan ke premis perniagaan.
Beliau turut membangkitkan kekurangan tempat letak kereta di Melaka Raya dan mencadangkan supaya penyelesaian lebih kreatif, termasuk kemungkinan pembinaan parkir bertingkat, dipertimbangkan.
Rashidi yang mempunyai pengalaman selama 17 tahun berkhidmat di Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata, latar belakang kejuruteraan awamnya membolehkan beliau menilai masalah pembangunan bandar daripada sudut teknikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Katanya, penyelesaian masalah penduduk memerlukan perancangan yang boleh dilaksanakan serta petunjuk prestasi yang jelas, bukan sekadar menjadi penghubung antara rakyat dengan agensi berkaitan.
“Ada wakil rakyat yang tahu masalah tapi tak tahu nak selesaikan dia hanya jadi penghubung dia hanya jadi postman je,” katanya.
Bandar Hilir merupakan antara kerusi yang mempunyai sejarah panjang penguasaan DAP sejak 1995, dengan penyandangnya, Leng Chau Yen mempertahankan kerusi itu pada PRN 2021 menerusi majoriti 7,778 undi.
Pada PRN Melaka kali ini, Rashidi berdepan pertandingan tiga penjuru menentang Leng daripada Pakatan Harapan (PH)-DAP dan calon Barisan Nasional (BN)-MCA, Jasmine Lok Huey Yee.
Menjelang pengundian Sabtu, 14 November, Rashidi turut berjanji untuk terus berkhidmat kepada masyarakat Bandar Hilir walaupun tidak dipilih sebagai wakil rakyat.
“Walaupun saya kalah saya tetap akan berada di sini we will still serve the people,” katanya.- The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment