NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerjasama PN-BN bukan sekadar Melaka, sasar Putrajaya




MELAKA: 
Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PERIKATAN NASIONAL (PN) yang terbina di Melaka perlu diperkukuhkan sebagai asas Penyatuan Ummah serta usaha membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kedua-dua gabungan perlu mengetepikan persengketaan politik terdahulu bagi memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat, negara dan mempertahankan agama Islam.

“Ambillah pengajaran, yang lepas biarlah berlalu dan kita buka lembaran baharu demi memberi fokus kepada rakyat, negara serta menjaga agama,” ujarnya pada program ceramah Pentas Grand Finale PRN Melaka, malam tadi.

Beliau berkata, perpecahan umat Islam akan menyebabkan mereka menjadi lemah sehingga membuka ruang kepada musuh untuk menguasai keadaan sebagaimana peringatan Allah SWT dalam Surah al-Anfal.

Menurutnya, pengalaman Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 membuktikan kepentingan kesepakatan politik apabila tiada satu gabungan pun berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, ketika itu Parlimen tergantung selama lima hari sebelum Yang di-Pertuan Agong menggunakan kebijaksanaan dengan memanggil ketua-ketua parti untuk mencari penyelesaian pembentukan kerajaan.

Beliau berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan pembentukan kerajaan perpaduan, manakala Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju tetapi hanya mempunyai 82 kerusi berbanding 112 diperlukan. 

“Apabila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dititahkan menghadap, beliau membawa bersama Tok Mat dan juga Dr Zambry sebagai saksi titah yang sama supaya membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Apa yang Datuk Seri Zahid kata, secara prinsipnya beliau boleh bersetuju tetapi perlu membawa perkara itu ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, seramai 58 anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno dipanggil bermesyuarat pada malam itu bermula jam 8.30 malam hingga 1.38 pagi bagi membincangkan keputusan besar yang mempunyai implikasi terhadap kedudukan parti.

Tambahnya, Umno berdepan dilema kerana perlu mempertimbangkan tanggungjawab mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong selain kemungkinan terpaksa bekerjasama dengan PH yang sebelum ini menjadi seteru politik, termasuk DAP.

Bagaimanapun, katanya, Umno menetapkan tiga syarat utama secara bertulis sebelum bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan.

“Pertama, jangan sentuh Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, kedua jangan sentuh hak orang Melayu dan bumiputera serta ketiga jangan sentuh institusi Raja-Raja Melayu.

“Bahkan, perkataan yang kita gunakan ialah jangan sekali-kali mengeluarkan sebarang kenyataan atau membuat tindakan sehingga boleh mengguris hati orang Melayu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa garis merah berkenaan dilanggar apabila timbul beberapa kenyataan dan tindakan yang menyentuh kedudukan Islam, hak Melayu serta institusi Raja-Raja Melayu.

Beliau turut membangkitkan isu berkaitan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menurutnya merupakan hak baginda sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kuasa mengampunkan, mengurangkan atau melegakan hukuman adalah hak Yang di-Pertuan Agong, manakala Lembaga Pengampunan merupakan sebahagian daripada proses berkaitan pelaksanaan kuasa berkenaan.

Asyraf Wajdi turut menyokong gesaan supaya Anthony Loke meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung DAP, malah berpandangan seluruh pimpinan parti itu perlu bertanggungjawab berhubung isu yang dibangkitkan.

Beliau turut merujuk hantaran Facebook Tony Pua yang didakwa mempersendakan institusi Yang di-Pertuan Agong, selain tindakan pemimpin DAP mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung penutupan ladang babi berhampiran penempatan Melayu.

Katanya, pemimpin DAP turut didakwa mempertikaikan kuasa Sultan Selangor dengan menyifatkan baginda hanya sebagai raja berperlembagaan.

Selain itu, beliau membangkitkan isu penyertaan wakil DAP dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan serta cadangan Nga Kor Ming agar wakil bukan Islam dilibatkan dalam jawatankuasa mengkaji undang-undang syariah.

“Ini sudah melampau. Kita tidak pernah mengganggu atau mempersoalkan agama-agama lain kerana kita umat Islam berpegang kepada prinsip ‘lakum dinukum waliyadin‘, tetapi siapa mereka untuk mencampuri urusan Islam?” katanya.

Tambah beliau, perkara berkenaan antara garis merah yang menyebabkan Umno dan BN merasakan sudah tiba masanya untuk memutuskan hubungan dengan PH.

Menurutnya, kesepakatan BN-PN yang terbentuk ketika ini bukan semata-mata hasil usaha pimpinan parti, sebaliknya lahir daripada kehendak akar umbi demi melihat penyatuan antara dua gabungan berkenaan.

Katanya, usaha menyatukan umat Islam juga perlu dipertahankan kerana pasti ada pihak yang tidak senang dan akan cuba menggagalkannya dengan mengungkit persengketaan politik terdahulu.

Beliau mengambil iktibar peristiwa penyatuan puak Aus dan Khazraj pada zaman Rasulullah SAW yang hampir kembali berperang selepas pihak tertentu mengungkit permusuhan lama antara mereka.

“Pihak yang tidak senang dengan penyatuan umat Islam akan mengadu domba, mengungkit kisah-kisah lama dan membangkitkan semula peristiwa peperangan silam sehingga mereka hampir-hampir berperang.

“Usaha ini juga pasti akan ada pihak yang cuba menggagalkannya. Mereka bakal mengeluarkan video-video lama pemimpin PAS dan Umno, tetapi ingatlah semua ini tidak mampu memisahkan kita lagi, insya-Allah kita akan sama-sama menuju Putrajaya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penyokong BN dan PN supaya tidak terleka dengan perkembangan positif kerjasama berkenaan sehingga mengabaikan usaha mendapatkan sokongan pengundi dalam tempoh kempen yang berbaki kurang 36 jam.

Katanya, semua calon BN dan PN perlu diberikan sokongan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk calon PN di Bemban, Bukit Katil, Ayer Keroh serta Paya Rumput.

“Semalam sekali lagi saya membuat penegasan bahawa semua penyokong dan pengundi BN wajib menyokong calon-calon PN di kawasan yang ditandingi mereka.

“Begitu juga kami memohon agar seluruh jentera dan pendokong PN memberikan kemenangan kepada calon-calon BN supaya kita sama-sama dapat meraikannya pada hari Sabtu nanti,” jelasnya.

Beliau berkata, seluruh jentera kedua-dua gabungan termasuk sayap wanita, Muslimat, Pemuda, Puteri, Ameerah, Veteran dan As-Sabiqun perlu bergerak seiring bagi memastikan kemenangan besar di Melaka.

Terangnya, beliau sendiri telah mengunjungi semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka dan menyaksikan kesungguhan jentera BN serta PN bekerjasama sepanjang tempoh kempen.

“Saya percaya kita akan sama-sama berpakat dan bermuafakat untuk menuju Putrajaya secara beriringan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/11/2026








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo