Tambahnya, ia termasuk kawasan-kawasan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi oleh MCA dan GERAKAN yang diwakili calon bukan Islam.
Dalam masa sama beliau juga mengharapkan agar pengundi bukan Melayu turut mengundi PN dalam pilihan raya ini demi untuk menghalang PH-DAP daripada memenangi pilihan raya kali ini.
“Oleh kerana kita berpecah, orang Melayu berpecah menyebabkan pilihan raya yang mutakhir, Barisan Nasional tumbang, PAS tak menang juga.
“Menyebabkan Pakatan Harapan, gabungan dominasi DAP menguasai negara. Ini suasana politik, sosial politik yang sangat bahaya,” katanya.
Beliau menyatakan perkara ini sewaktu berucap dalam program ceramah Grand Finale PN-BN bagi PRN Melaka yang berlangsung di Dewan Mualim Bukit Katil, di sini malam tadi.
Beliau turut mengimbau detik-detik awal usaha yang dilakukan beliau berbincang dengan beberapa orang pemimpin politik Melayu utama negara.
Antara mereka sebutnya, ialah Tun Mahathir Mohamad, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin dan beberapa orang lagi bagi mengatur strategi mengatasi masalah itu.
“Nabi Muhammad SAW mengajar kita, Nabi nak buat negara Islam di Madinah, Nabi menyatukan orang Arab. Orang Aus, Khazraj, Muhajirin, Ansar orang Makkah, Madinah, disatukan orang Arab.
“Untuk menyatukan orang Arab ini, kerana Nabi mengampunkan orang yang pernah buat zalim terhadap dia, pembunuh-pembunuh, perompak-perompak,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang itu berkata, sewaktu pembukaan Makkah Rasulullah SAW mengampunkan ramai individu yang pernah menyakiti baginda sebelum itu.
“Tujuannya nak menyatukan semua. Tak ada dendam. Hilang. Berlakulah satu perpaduan yang diajar oleh Allah SWT. Mesti bersatu, orang orang Islam jangan berpecah,” katanya.
Tambah beliau, perpecahan umat Islam hanya akan menguntungkan pihak-pihak musuh yang mahu melemahkan umat Islam.
“Jadi begitulah kita mesti bersatu. Dengan perpaduan kita boleh bina balik kekuatan untuk selamatkan negara ni,” katanya.
Tegas beliau, atas faktor-faktor tersebutlah usaha untuk mengadakan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dilakukan dengan tujuan untuk menumpaskan Pakatan Harapan (PH).
Pembuangan undi bagi PRN-16 Melaka bakal berlangsung pada Sabtu 14 November ini melibatkan 28 DUN di mana PN bertanding di lima kawasan.
Ia melibatkan Paya Rumput, Bukit Katil, Bemban, Ayer Keroh dan Kesidang.
Pilihan raya kali ini menyaksikan PN meneruskan kerjasama dengan BN melalui pembahagian kerusi dan mobilisasi jentera kempen secara bersama dalam usaha menewaskan PH-DAP.
Turut berucap ialah Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Guru Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden WAWASAN, Dato’ Seri Hamzah Zainudin serta Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Juga Presiden PEJUANG, Dato’ Seri Utama Mukhriz Mahathir dan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail.
Sementara dari BN pula ialah Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Maslan. – HARAKAHDAILY 13/11/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment