NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muafakat PN, BN mampu bentuk kerajaan stabil




KOTA MELAKA
: Gagasan Muafakat Melaka yang menyatukan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) diyakini mampu membentuk Kerajaan Negeri yang stabil dan kukuh, sekali gus mengembalikan kegemilangan Melaka.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, kerjasama kedua-dua gabungan politik itu merupakan langkah penting bagi memastikan pentadbiran negeri dapat digerakkan secara berkesan demi kepentingan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, Muafakat Melaka ini adalah perkara yang tidak dapat tidak perlu dimenangkan dalam melahirkan sebuah kerajaan stabil dan kuat.

“Tanpa sebuah kerajaan yang kuat, bekerjasama, sokong-menyokong dan bantu-membantu dalam setiap langkah serta agenda negeri, kita tidak akan berjaya mengembalikan kegemilangan Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Podcast Kekal Tenang terbitan HarakahDaily membincangkan perkembangan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan kepentingan gagasan Muafakat Melaka.

Menurutnya, usaha penyatuan yang digerakkan Presiden PAS, Tan SriTuan Guru Abdul Hadi Awang mendapat sambutan bersungguh-sungguh daripada kepimpinan Umno.

Jelas beliau, perkara tersebut sehingga diterjemahkan melalui pelbagai program dan gerak kerja bersama sepanjang kempen PRN.

“Kerjasama itu dapat dilihat menerusi program di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), pertemuan kepimpinan PN dan BN serta penglibatan jentera kedua-dua gabungan dalam aktiviti kempen.

“Hubungan PAS dan Umno di Melaka juga mempunyai asas yang kukuh kerana kedua-dua parti telah lama menjalin kerjasama dalam bidang ilmu dan dakwah,” katanya.

Menurutnya, hubungan tersebut tidak pernah mencapai tahap permusuhan yang serius, sebaliknya terus dipelihara melalui sikap saling menghormati.

Mengulas potensi kerjasama itu diterjemahkan kepada sokongan pengundi, Zulkifli berkata, kejayaannya bergantung kepada keberkesanan kempen dan penerangan kepada rakyat mengenai matlamat penyatuan berkenaan.

“Penggunaan media sosial serta gerak kerja penerangan yang tersusun perlu diperkukuh dalam tempoh kempen yang berbaki bagi memastikan mesej Muafakat Melaka sampai kepada pengundi,” ujarnya.

Beliau yakin pengundi akan memberikan mandat kepada calon PN dan BN sekiranya mereka memahami dengan jelas hala tuju serta kepentingan kerjasama politik tersebut.

Dalam pada itu, Zulkifli menegaskan bahawa penyatuan berkenaan bukan semata-mata bertujuan mencapai kemenangan dalam pilihan raya, tetapi turut membawa matlamat lebih besar untuk mewujudkan kestabilan politik, keharmonian masyarakat dan kesejahteraan rakyat.

“Pendekatan politik yang berasaskan kerjasama dan persefahaman penting bagi memastikan setiap agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan baik.

“Muafakat yang dibina ini berteraskan kemaslahatan dan kepentingan rakyat serta bersendikan Islam. Justeru, sebarang agenda negatif yang merugikan rakyat tidak sepatutnya diberikan ruang untuk dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi Melaka supaya memberikan sokongan kepada calon PN dan BN pada hari pengundian esok, 14 November ini, bagi memastikan gagasan Muafakat Melaka memperoleh mandat rakyat.

Beliau turut berharap kejayaan kerjasama tersebut di Melaka dapat menjadi contoh kepada usaha penyatuan politik yang lebih besar menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16. – HARAKAHDAILY 13/11/2026





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo