NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pas mahu calon BN Azman menang majoriti besar di Serkam – Mohd Awal



JASIN – Jentera Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam mempergiat gerak kerja membantu kempen calon Barisan Nasional (BN), Datuk Azman Abdullah bagi memastikan kerjasama antara BN dan PN diterjemahkan kepada kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya DUN (JPRD) Serkam mewakili Pas, Mohd Awal Din Mohd Nazir berkata, seluruh jentera PN khususnya Pas digerakkan untuk memberikan sokongan padu kepada Azman yang juga calon nombor satu di kerusi berkenaan sehingga hari akhir berkempen, Jumaat ini.

Dalam masa sama katanya, ahli parti diseru untuk memberi sokongan kepada Azman menjelang hari pengundian, Sabtu ini.

“Pesanan kita kepada penyokong PN khususnya ahli Pas dan jentera yang ada di DUN Serkam supaya memberikan sokongan penuh kepada calon nombor satu, Datuk Azman.

“Kita mahu kerjasama ini bukan sekadar di atas kertas, sebaliknya dizahirkan melalui gerak kerja bersama sepanjang tempoh berkempen,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Azman di sekitar Bilik Gerakan Serkam Pantai, hari ini bersama tujuh lagi Ketua-Ketua Cawangan DUN berkenaan.

Mohd Awal dalam masa sama menolak dakwaan hubungan antara BN dan Pas Serkam tidak begitu baik sebaliknya menegaskan perkara itu tidak berbangkit.

Malah menurutnya, komunikasi antara kedua-dua parti itu di Serkam sentiasa berjalan lancar.

“Hubungan kita sentiasa baik, kita berhubung melalui WhatsApp dan telefon (untuk dapatkan perkembangan semasa).

“Memang tiada isu seperti yang cuba digambarkan pihak lawan kerana kita tahu ada pihak yang mahu melemahkan serta memecah-belahkan kerjasama ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Azman bukan individu asing dalam kalangan penduduk Serkam kerana sudah lama terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan, termasuk membantu bekas Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof.

Katanya, pengalaman itu membolehkan Azman memahami pelbagai permasalahan penduduk setempat, khususnya di kawasan kampung tradisional berhampiran pantai yang sering berdepan isu ribut, banjir dan kebajikan golongan asnaf.

“Orang panggil beliau Man Dollah saja, macam orang yang tinggal di depan rumah. Itu menunjukkan keakraban Azman dengan masyarakat dan beliau bukan orang baharu dalam menyantuni penduduk,” katanya.

Mohd Awal berkata, meskipun PN yakin gabungan undi kedua-dua pihak mampu memberikan kelebihan kepada BN untuk mempertahankan kemenangan di DUN Serkam, namun jentera tidak boleh terlalu yakin sehingga mengabaikan usaha mendapatkan sokongan pengundi.

“Kita tidak mahu sekadar menang dengan majoriti 100 atau 200 undi. Kita mahu majoriti besar supaya kerjasama ini dapat dizahirkan dengan jelas, sebab itu semua jentera dan penyokong mesti keluar mengundi,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengundi DUN Serkam supaya keluar awal pada Sabtu ini berikutan keadaan cuaca tidak menentu dan hujan yang lazimnya berlaku pada sebelah petang. – MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo