DUYONG – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berpotensi diberi tanggungjawab lebih besar termasuk dilantik sebagai Exco kerajaan negeri sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keyakinan itu berdasarkan maklum balas positif diterimanya ketika turun padang menyantuni masyarakat bersama calon berkenaan di kawasan Duyong.
Beliau berkata, Mohd Noor Helmy menunjukkan komitmen berterusan berkhidmat kepada masyarakat walaupun tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan negeri ketika ini.
“Saya cukup yakin dengan maklum balas yang saya terima hasil ziarah saya. Saya lihat respons masyarakat terhadap beliau sangat bagus walaupun beliau tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan.
“Tetapi beliau terus bekerja dan menyantuni masyarakat dalam kawasan. Sebab itu, saya lihat pemimpin muda seperti ini, apabila menjadi wakil rakyat, tidak semestinya perlu mempunyai jawatan untuk menyumbang bakti kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program kempen calon BN DUN Duyong di Kampung Bukit Godek, Semabok Dalam, di sini petang ini.
Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, pengalaman turun padang dan berkhidmat di peringkat akar umbi penting bagi seseorang pemimpin untuk memahami keperluan serta masalah rakyat.
Katanya, pengalaman itu juga menjadi proses pembelajaran kepada pemimpin muda sebelum diberikan tanggungjawab lebih besar pada masa hadapan.
Mengulas cabaran dan kontroversi yang dihadapi calon sepanjang tempoh kempen, beliau berkata, kritikan serta kecaman adalah perkara biasa dalam proses demokrasi dan perjuangan politik.
“Pilihan raya ini perkara biasa. Kita menjual ideologi politik dan orang yang tidak suka ideologi kita akan mengkritik kita. Kita pun begitu juga, apabila orang tidak suka, mereka akan marah.
“Calon, khususnya yang kita anggap sebagai pemimpin masa depan, perlu belajar bahawa ini adalah adat berpolitik. Jangan ingat apabila kita buat kerja, kita tidak akan dikritik.
”Saya sendiri selalu sahaja kena ‘kondem’ sana sini tapi itu tidak patahkan kekentalan saya sebagai seorang wakil rakyat,” ujarnya.
Menurutnya, seseorang pemimpin perlu menerima kritikan sebagai sebahagian daripada proses membina kematangan dan pengalaman dalam politik.
Katanya, pemimpin yang benar-benar mahu berkhidmat kepada masyarakat tidak seharusnya mudah mengalah atau lari daripada perjuangan hanya kerana berdepan kecaman.
Sebaliknya, ujar beliau, mereka perlu membuktikan komitmen melalui kerja dan sumbangan kepada rakyat. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment