SEREMBAN – Pembentukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan dijangka menyaksikan beberapa kejutan apabila beberapa nama pemimpin UMNO dan Pas dikatakan berkemungkinan tidak tersenarai dalam komposisi pentadbiran baharu.
MalaysiaGazette difahamkan, perkara itu antara perkembangan yang sedang menjadi perhatian ketika rundingan pembentukan Exco masih berlangsung selepas Datuk Ismail Lasim mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Sumber tertinggi parti yang enggan dikenali berkata, proses pemilihan kali ini bukan sekadar mengambil kira faktor kekananan atau kedudukan dalam parti malah turut melibatkan pelbagai pertimbangan lain bagi memastikan pentadbiran negeri dapat berfungsi secara stabil.
Menurut sumber itu, beberapa nama yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon berpotensi untuk mengisi jawatan Exco Kanan masih menjadi bahan pertimbangan dan belum tentu tersenarai dalam komposisi akhir.
“Pelbagai formula masih dibincangkan. Tiada keputusan muktamad setakat ini dan senarai boleh berubah pada bila-bila masa sebelum dimuktamadkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata, antara pertimbangan sedang diperhalusi termasuk keseimbangan politik dalam kerajaan negeri, penerimaan dalam kalangan kepimpinan parti serta keperluan membentuk sebuah pasukan pentadbiran yang mampu bergerak secara berkesan.
Dalam perkembangan sama, sumber itu tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan pada saat akhir berhubung beberapa portfolio Exco memandangkan rundingan masih berjalan.
Setakat ini, tiada sebarang pengesahan rasmi daripada kerajaan negeri mahupun kepimpinan UMNO dan Pas berhubung dakwaan tersebut.
Sementara itu, Ismail sebelum ini memaklumkan senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat selepas mengadakan perbincangan dengan kepimpinan parti-parti yang membentuk kerajaan negeri.
Sumber itu berharap apa juga keputusan yang diambil nanti dapat memperkukuhkan pentadbiran negeri serta menamatkan pelbagai spekulasi yang timbul sejak pembentukan kerajaan baharu.
“Yang lebih penting sekarang ialah kerajaan dapat memberi tumpuan kepada pentadbiran dan kebajikan rakyat tanpa polemik politik yang berpanjangan,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment