BANGI – Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan menyifatkan kemenangan dan kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sebagai lumrah dalam sistem demokrasi sambil menegaskan perpaduan dalam Kerajaan Madani kekal utuh meskipun berdepan persaingan sengit.
Beliau berkata, setiap pertandingan pasti menyaksikan ada pihak yang menang dan kalah namun perkara paling penting ialah semua pihak mampu mengenepikan perbezaan serta kembali bekerjasama demi kepentingan rakyat selepas proses demokrasi berakhir.
“Kekalahan ini biasalah. Dalam apa-apa pertandingan pun ada pemenang, ada yang kalah. Biasanya kalau kita pergi gusti pun, ada yang kena luka, ada yang berdarah.
“Lepas itu ada yang muka masam, ada yang tak nak cakap, ada yang tak nak berkawan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Istiadat Konvokesyen ADTEC JTM Ke-29 di sini hari ini.
Menurut Ramanan, keistimewaan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah keupayaannya menyatukan semua pihak walaupun melalui persaingan yang sengit.
“Tetapi kehebatan Perdana Menteri kita ini, habis bergaduh macam itu, habis bersaing macam itu, habis bertarung macam itu, kita masih boleh duduk atas satu meja, berbincang apa yang bagus, apa yang betul dan apa yang diperlukan demi rakyat Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, Menteri Sumber Manusia itu berkata, setiap keputusan pilihan raya akan dinilai secara menyeluruh bagi mengenal pasti kelemahan dan ruang penambahbaikan untuk menghadapi cabaran akan datang.
Untuk rekod, Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi 11 kerusi daripada 36 kerusi yang ditandingi di PRN Negeri Sembilan dan lapan kerusi DUN di PRN Negeri Johor.
Ditanya mengenai Kongres Nasional PKR yang dijadual berlangsung pada 14 hingga 16 Ogos ini, beliau berkata, pelbagai perkara akan dibincangkan, namun keutamaan parti dan kerajaan tetap tertumpu kepada usaha memperkukuh pentadbiran serta membela kebajikan rakyat.
Terdahulu, Kongres Nasional PKR yang dijadualkan berlangsung pada Jun lalu ditangguhkan ke 14 hingga 16 Ogos bagi memberi laluan kepada persiapan menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment