SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) kini disebut-sebut berkemungkinan menyertai pentadbiran Negeri Sembilan dalam pembentukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang masih dipercayai peringkat rundingan.
Jika benar, ia mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai hala tuju kerajaan baharu di negeri itu.
Jika menjadi kenyataan, langkah itu dilihat bakal membuka lembaran baharu politik Negeri Sembilan menerusi pendekatan yang lebih inklusif, selari dengan semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan walaupun sehingga kini tiada sebarang pengesahan rasmi mengenainya.
PH yang memenangi 11 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dilihat masih mempunyai kekuatan politik yang signifikan, pelbagai andaian mengenai kemungkinan peranan gabungan itu dalam pentadbiran negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias pula menyatakan tidak berhasrat memegang sebarang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri sebaliknya mahu memberi laluan kepada muka baharu yang lebih segar dan bertenaga untuk memikul tanggungjawab berkenaan.
MalaysiaGazette difahamkan, antara formula yang sedang diperhalusi ialah kemungkinan melibatkan wakil PH dalam pentadbiran negeri sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan kestabilan politik serta membentuk sebuah kerajaan yang lebih inklusif.
Difahamkan melalui beberapa sumber parti kepada MalaysiaGazette, rundingan pembentukan pentadbiran baharu juga masih belum mencapai kata sepakat sepenuhnya dalam kalangan parti-parti yang membentuk kerajaan negeri.
Bagaimanapun, dakwaan itu tidak dapat disahkan dan setakat ini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan mana-mana pihak mengenainya.
Sumber-sumber itu turut mendakwa masih terdapat pelbagai pandangan berhubung komposisi barisan Exco termasuk pembahagian portfolio serta beberapa jawatan utama pentadbiran, menyebabkan proses memuktamadkan senarai akhir mengambil sedikit masa berbanding kebiasaan.
Sumber tertinggi parti yang enggan dikenali berkata, pembentukan Exco kali ini jauh lebih kompleks berbanding kebiasaan kerana ia bukan sekadar membabitkan pembahagian portfolio mengikut parti malah mengambil kira pelbagai pertimbangan politik, pentadbiran serta keperluan memastikan kerajaan negeri dapat berfungsi secara stabil.
“Masih ada beberapa pilihan yang sedang diperhalusi dan tiada apa yang dimuktamadkan setakat ini. Apa juga keputusan nanti perlu mengambil kira kestabilan pentadbiran, penerimaan semua pihak serta kepentingan rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sumber itu turut mendakwa beberapa nama kanan daripada UMNO dan Pas yang sebelum ini disebut-sebut sebagai antara calon berpotensi menganggotai barisan Exco masih menjadi bahan pertimbangan dan berkemungkinan tidak tersenarai dalam komposisi akhir yang sedang dirundingkan.
Menurutnya, perkara itu tidak semestinya berkait dengan soal kekananan atau kedudukan dalam parti sebaliknya sebahagian daripada usaha membentuk sebuah pasukan pentadbiran yang mempunyai keseimbangan politik, mampu bekerja sebagai satu pasukan dan mendapat keyakinan semua pihak.
Difahamkan, rundingan masih berjalan dan tidak mustahil berlaku perubahan sehingga saat akhir sebelum senarai Exco diumumkan secara rasmi.
Sumber itu berkata, apa juga formula yang akhirnya diputuskan diharap dapat menoktahkan pelbagai spekulasi yang timbul sejak pembentukan kerajaan negeri, sekali gus membolehkan pentadbiran baharu memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan, pelaburan dan kebajikan rakyat. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment