- Lim Kin Ming, 52, menyatakan kekecewaan terhadap ahli politik sedia ada yang tidak mengembangkan sektor pelancongan di Chuah, walaupun kawasan ini mempunyai lokasi strategik berhampiran KLIA serta keindahan semula jadi seperti sungai dan pantai.
- Ngai, 50, menyuarakan cabaran ekonomi yang semakin membebankan rakyat, dan menekankan masyarakat Chuah memerlukan lebih banyak bantuan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup dan mencapai tahap kehidupan lebih selesa.
- Tan Wei Peng, 51, mengangkat isu pembinaan jambatan sebagai keperluan paling kritikal di Chuah untuk akaes lebih baik dan mereka sudah membuat permohonan dan masih menunggu tindakan kerajaan.
CHUAH – Peluang pekerjaan yang terhad, kos sara hidup yang semakin menghimpit serta isu infrastruktur yang masih gagal diselesaikan menjadi antara tuntutan utama pengundi Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026.
Tinjauan The Merdeka Times mendapati rata-rata pengundi tidak lagi mahu sekadar mendengar janji politik, sebaliknya mahukan wakil rakyat yang mampu membawa perubahan nyata kepada kehidupan mereka.
Bagi pekerja binaan, Lim Kin Ming, 52, potensi pelancongan Chuah yang masih belum diteroka secara menyeluruh dianggap sebagai peluang besar yang telah lama disia-siakan.
Menurutnya, kedudukan Chuah yang strategik berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sepatutnya mampu menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi setempat.
“Sepatutnya di sini banyak tempat cantik. Boleh tarik pelancong. Tapi malangnya, tokoh politik tak pernah buat apa. Peluang pekerjaan sangat-sangat kurang,” katanya.
Beliau berkata, cadangan calon baharu untuk membangunkan sektor pelancongan memberi harapan kepada penduduk yang mahu melihat kawasan itu berkembang.
“Yang calon baru ini, dia pun ada idea nak buat tarik pelancongan. Saya sangat setuju. Kalau dia boleh tunaikan, saya rasa penduduk sini sangat sokong,” katanya.
Sementara itu, seorang penyelia kilang yang hanya mahu dikenali sebagai Ngai, 50, berkata tekanan ekonomi semakin dirasai apabila harga barangan dan bahan api terus meningkat.
Katanya, rakyat kini lebih memerlukan wakil rakyat yang mampu meningkatkan taraf hidup serta memastikan lebih banyak bantuan sampai kepada masyarakat.
“Ekonomi Malaysia semakin mencabar. Benda mahal, petrol mahal. Semakin kita hidup, semakin mencabar.
“Untuk masyarakat Chuah ini, perlu lagi bagus, lagi selesa, ada lagi banyak rezeki. Masyarakat Chuah perlu lagi bantuan daripada kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, penjual makanan, Tan Wei Peng, 51, pula membangkitkan isu pembinaan jambatan yang disifatkannya sebagai keperluan mendesak bagi memudahkan pergerakan penduduk di kawasan yang luas.
Menurutnya, komuniti setempat tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk melaksanakan projek tersebut tanpa campur tangan kerajaan.
“Saya perlukan seseorang untuk membantu membina jambatan. Sebab kawasan kami sangat luas. Perlukan banyak wang. Kami tidak mempunyai sumber. Kami perlukan bantuan kerajaan untuk membina jambatan ini,” katanya.
Beliau berkata, permohonan telah dikemukakan kepada pihak berkuasa, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang kepastian mengenai pelaksanaannya.
“Kami sudah buat permohonan. Kami belum tahu lagi bila mereka akan bina. Saya berharap kerajaan negeri yang akan datang ini membantu,” katanya.
Tinjauan terhadap tiga pengundi Cina itu turut menggambarkan perubahan sentimen pengundi yang dilihat semakin memberi keutamaan kepada keupayaan calon menyelesaikan masalah rakyat berbanding faktor parti semata-mata.
Peluang pekerjaan, pembangunan sektor pelancongan, kos sara hidup dan penyediaan infrastruktur asas kini muncul sebagai antara isu paling mendesak yang dijangka menjadi penentu sokongan pengundi di DUN Chuah pada PRN Negeri Sembilan 2026. – The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment