- “Lepas undi, kita nak pergi jumpa dia (wakil rakyat). Lepas tu hilang. Lima tahun sekali baru nampak. Kita pun dah fed up.” – Rani, 67.
- “Kita kena kembangkan sikit PD ni. Pusat pelancongan bertambah baik. Masalah kat PD sekarang macam dekat Batu Empat dah tak macam dulu. Dah kurang orang. Sekarang dah teruk. Tukarlah kerajaan.” – Haikal Hakimi, 19.
- “Yang penting kestabilan masyarakat. Tapi sekarang kestabilan dah tak ada. Dia buat polisi tapi dia langgar balik. Cakap isu 3R, tapi siapa langgar balik?” – Rahman, 60.
PORT DICKSON – Kekecewaan terhadap kos sara hidup yang terus menghimpit, kemerosotan industri pelancongan Port Dickson serta persepsi bahawa wakil rakyat hanya muncul ketika musim pilihan raya menjadi antara luahan utama pengundi di DUN Sri Tanjung (N33) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026.
Tinjauan The Merdeka Times di sekitar Port Dickson mendapati pengundi daripada pelbagai kaum dan latar belakang menyuarakan nada yang hampir sama – mereka mahukan perubahan, sama ada daripada segi kepimpinan, dasar mahupun cara wakil rakyat mendekati masyarakat.
Bagi pengundi muda yang pertama kali mengundi, Haikal Hakimi, 19, Port Dickson semakin kehilangan daya tarikannya sebagai destinasi pelancongan sehingga menjejaskan ekonomi setempat.
“Kita kena kembangkan sikit PD ni. Pusat pelancongan bertambah baik. Masalah kat PD sekarang macam dekat Batu Empat dah tak macam dulu. Dah kurang orang. Sekarang dah teruk. Tukarlah kerajaan,” katanya.
Rakannya, Shahrul Umar, 19, mengakui penyandang ada menjalankan tugas, namun berpandangan kerajaan baharu perlu diberi peluang bagi membantu peniaga dan menangani peningkatan kos sara hidup.
“Peniaga perlu bantuan dari kerajaan dan isu kos sara hidup ditangani. Saya rasa perlu tukar kerajaan,” katanya.
Keluhan sama turut dikongsi peniaga cendol, Mohd Husin Abdul Karim, 52, yang mendakwa keadaan ekonomi menyebabkan kuasa beli pelanggan semakin merosot.
Menurutnya, pelanggan yang sebelum ini mampu membeli beberapa bungkus makanan kini hanya membeli dalam kuantiti yang jauh lebih kecil.
“Pelanggan nak beli empat cendol, sekarang beli dua. Dulu minum satu, makan bungkus dua tiga, sekarang dah kurang. Tempat niaga dulu sewa setahun RM360, sekarang satu tapak RM3,000 setahun,” katanya.
Selain tekanan ekonomi, beliau turut berharap kemudahan untuk peniaga kecil dipertingkatkan kerana gerai sedia ada tidak mampu menahan hujan dan angin.
Dalam pada itu, Pak Rahman, 60, pula melihat isu kestabilan negara sebagai keutamaan, sambil menyuarakan kebimbangan terhadap polemik yang menurutnya terus menghangatkan hubungan kaum dan agama.
Beliau turut mempersoalkan tindakan pihak berkuasa dalam menangani isu tular berkaitan kalimah Allah pada tisu, yang menurutnya tidak sepatutnya hanya ditangani selepas menerima aduan.
“Yang penting kestabilan masyarakat. Tapi sekarang kestabilan dah tak ada. Dia buat polisi tapi dia langgar balik. Cakap isu 3R, tapi siapa langgar balik?” katanya.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap kerjasama antara BN dan PAS yang disifatkannya mampu menyumbang kepada kestabilan politik negara.
Pandangan hampir sama dikongsi Siti Munirah, 56, yang mahu kerajaan baharu lebih mengutamakan kepentingan agama, bangsa dan negara, selain tidak mempunyai masalah sekiranya kerjasama politik itu memberi manfaat kepada rakyat.
Sementara itu, Kak Rani, 67, peniaga berbangsa India, meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir wakil rakyat yang didakwanya hanya turun padang ketika mahu meraih undi.
“Lepas undi, kita nak pergi jumpa dia. Lepas tu hilang. Lima tahun sekali baru nampak. Kita pun dah fed up,” katanya.
Beliau berkata pemimpin yang dipilih perlu lebih kerap turun padang dan mendengar sendiri masalah rakyat tanpa mengira latar belakang kaum atau kumpulan masyarakat.
Dalam kalangan pengundi pula, Ah Peng, 61, berkata beliau tidak lagi menjadikan parti sebagai penentu utama undi, sebaliknya lebih melihat kepada rekod dan kualiti calon.
“Saya undi ikut kualiti calon. Kadang-kadang susah nak cakap. Kita tengok macam mana calon buat,” katanya.
Beliau yang turut melahirkan kebimbangan terhadap pengurusan landskap Port Dickson berkata kawasan peranginan itu perlu dipelihara dengan lebih baik bagi mengembalikan daya tarikannya kepada pelancong.
Malah, beliau mengakui tidak menolak kemungkinan memberikan undi kepada calon bebas sekiranya calon tersebut dilihat lebih layak berkhidmat untuk rakyat. – The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment