Beliau berkata PAS hanya bertanding secara simbolik di Johor kerana Umno mempunyai kedudukan kukuh dan menguasai kerajaan negeri
Menurutnya, penyertaan PAS bertujuan menjadi sokongan tambahan sekiranya kedudukan Umno terjejas ketika berdepan PH, yang menguasai kerajaan persekutuan.
Hadi menyamakan peranan PAS di Johor sebagai pemain pertahanan dalam perlawanan bola sepak yang tidak berpeluang menjaringkan gol, tetapi ditugaskan menjaga gawang dan menghalang pihak lawan daripada menang.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Marang itu berkata PAS mengambil pendekatan lebih agresif di Negeri Sembilan kerana negeri berkenaan dikuasai PH bersama dominasi DAP yang ekstrem dan Melayu yang hanyut.
“PAS ikut bertanding menjadi anggota penyerang yang membahagikan kedudukan yang berstrategik bagi mengambil alih kuasa Melayu Islam bersama bukan Islam yang tidak ekstrem,” katanya dalam tulisan Minda Presiden.
Beliau merujuk kepada persefahaman Barisan Nasional (BN) dan PN tanpa Bersatu pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos depan yang menyaksikan tiada pertembungan antara satu sama lain di 36 kerusi.
BN akan bertanding 25 kerusi manakala parti komponen PN seperti PAS, Parti Wawasan Negara (Wawasan), Gerakan dan MIPP meletakkan calon di 11 DUN.
Pada PRN Johor 11 Jul lalu, Hadi mengarahkan ahli dan penyokong PAS supaya mengundi BN di kerusi tidak ditandingi PN.
BN menang besar 48 daripada 56 kerusi pada pilihan raya itu manakala lapan dimenangi PH dan PN termasuk PAS gagal menang sebarang DUN.
Hadi mempertahankan hubungan PAS dan Umno sebagai satu keperluan politik bagi menyatukan orang Melayu-Islam, bukan sekadar percaturan pilihan raya.
Katanya, perpecahan dalam kalangan orang Melayu boleh melemahkan kuasa politik mereka, sambil menegaskan kerjasama itu tidak bersifat perkauman kerana Islam mewajibkan pemimpin berlaku adil kepada semua kaum dan agama.
“Keadaan ini mewajibkan langkah perpaduan umat Melayu dan bukan Islam yang tidak ekstrem,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan PAS menolak Melayu yang tidak istiqamah seperti PKR dan Amanah kerana bersama DAP.
“Serta Bersatu yang menyisihkan diri daripada PN sehingga merencatkan usaha untuk menawan Negeri Sembilan daripada PH,” katanya.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment