KUALA LUMPUR – DAP didakwa mengambil pendirian yang tidak konsisten berhubung konsep pengundian berbeza antara pilihan raya negeri dan Parlimen apabila berdepan dengan situasi sama yang pernah diperjuangkannya.
Bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker mendakwa, DAP sebelum ini menggalakkan pengundi memilih calon berbeza bagi peringkat negeri dan Parlimen dengan alasan pendekatan tersebut membolehkan kerajaan negeri ditadbir secara berkesan.
Manakala pemilihan wakil rakyat di Parlimen pula berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap Kerajaan Persekutuan.
Ketika itu, DAP berhujah pecahan pengundian begini bukan sahaja boleh diterima tetapi juga baik untuk demokrasi kerana membolehkan pengundi memisahkan tadbir urus tempatan daripada perwakilan negara.
Namun, dakwanya, naratif tersebut kini berubah apabila Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, meminta pengundi mengekalkan sokongan kepadanya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi membuat pilihan berbeza bagi kerusi Parlimen.
Beliau menyifatkan perbandingan yang dibuat oleh Anthony antara kedudukannya dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang merupakan ahli Parlimen dan pada masa sama bertanding kerusi DUN, adalah tidak tepat kerana kedua-duanya berada dalam landskap politik yang berbeza.
Hujah Lian Ker, Mohamad berada dalam UMNO sebagai sebuah parti terbesar dalam blok politik Melayu, sekali gus mempunyai pengaruh yang diperkukuh melalui kekuatan angka dalam pembentukan kerajaan.
“Datuk Seri Mohamad Hasan adalah ahli UMNO, parti terbesar dalam blok politik Melayu yang dominan. Pengaruh politiknya melangkaui kedudukan peribadinya kerana dia beroperasi dalam blok yang secara tradisinya menguasai perwakilan terbesar Parlimen dan memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan. Sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan, pengaruhnya diperkukuh dengan kekuatan angka blok politik itu.
“Ini lebih jelas dilihat dalam 40 Ahli Parlimen DAP terpaksa “menyerah diri” kepada 27 Ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan sebagai realiti politik, sekali gus meninggalkan semua janji DAP tentang Perubahan atau UBAH… lantas DAP bertukar menjadi MCA 2.0,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Anthony pula hanya mengetuai DAP, sebuah parti yang mendapat sokongan kalangan masyarakat Cina, yang merupakan minoriti dalam demografi Malaysia.
Tanpa mengira kejayaan pilihan raya DAP di kawasan bandar, pengaruh politiknya akhirnya bergantung kepada rundingan gabungan dan bukannya penguasaan angka.
Oleh itu, realiti politik yang mengelilingi DAP pada asasnya berbeza daripada yang dihadapi UMNO, dengan kata lain, membandingkan kedudukan Anthony dengan Mohamad bagaikan membandingkan epal dengan oren.
“Isu sebenar bukan sama ada seseorang pemimpin boleh memegang jawatan di peringkat negeri dan Persekutuan secara serentak, tetapi sama ada keadaan politik yang mengelilingi kedua-dua tokoh itu boleh dibandingkan,” katanya
Ironinya, kata Lian Ker, jika DAP sebelum ini mempertahankan prinsip pengundian berbeza antara pilihan raya negeri dan Parlimen, parti berkenaan seharusnya terus berpegang kepada prinsip tersebut walaupun ia kini mungkin tidak memihak kepada kepentingan politiknya.
“Jika prinsip itu sah ketika itu, ia tidak boleh tiba-tiba menjadi tidak sah hari ini, semata-mata tidak memihak kepada kepentingan politiknya. Konsistensi politik menuntut parti-parti dinilai bukan berdasarkan sama ada hujah memberi manfaat kepada mereka pada pilihan raya tertentu, tetapi sama ada mereka bersedia untuk menegakkan prinsip yang mereka minta pengundi terima sebelum ini.
“Kalau DAP percaya undi berbeza apabila ia melemahkan MCA, maka parti itu tidak seharusnya menolak undi berbeza apabila pengundi menggunakan prinsip yang sama kepada DAP hari ini. Kegagalan berbuat demikian boleh menimbulkan persepsi bahawa sesuatu prinsip hanya dipertahankan apabila memberi keuntungan politik kepada parti berkenaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment