Menteri Ekonomi, Akmal Nasir, berkata klasifikasi yang lebih terperinci boleh menjadikan data statistik lebih berguna dalam membantu kerajaan merancang dasar dan menyalurkan bantuan kepada komuniti yang berbeza.
“Saya akan semak perkara ini. Statistik ini bersifat dinamik. Maksudnya, maklum balas daripada pengguna itu juga akan mencerminkan bagaimana klasifikasi itu boleh membantu kita sebagai pengguna,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perangkaan 2026.
Beliau menjawab pertanyaan Dr Halimah Ali (PN-Kapar), yang bertanya mengapa laporan Jabatan Perangkaan menggabungkan orang Melayu dan masyarakat pribumi lain di kawasannya di bawah satu kategori Bumiputera.
Halimah berkata angka yang berasingan diperlukan bagi memahami keperluan berbeza antara orang Melayu dan masyarakat dari Sabah serta Sarawak yang menetap di Kapar.
Sementara itu, Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mendakwa kategori Bumiputera yang terlalu umum berpotensi menyebabkan pekerja asing atau individu yang baru memperoleh kewarganegaraan dikira sebagai Bumiputera.
Katanya, ia sekali gus boleh menjejaskan manfaat yang sepatutnya dinikmati oleh orang Melayu, Orang Asli serta masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak.
Semakan FMT mendapati anggaran penduduk Malaysia bagi 2025 yang diterbitkan oleh
Jabatan Perangkaan menggunakan kategori utama ‘Bumiputera’, yang kemudiannya dipecahkan kepada dua subkategori iaitu ‘Melayu’ dan ‘Bumiputera Lain’.
Kategori lain ialah ‘Cina’, ‘India’ dan ‘Lain-lain’.
RUU Perangkaan 2026 menggantikan serta memansuhkan Akta Perangkaan 1965 yang telah berkuat kuasa lebih 60 tahun. RUU itu memberikan peranan yang lebih luas kepada Jabatan Perangkaan sebagai pusat utama kerajaan bagi mengumpul, menyelaras dan menerbitkan data rasmi, selain mewujudkan Majlis Perangkaan Negara.
Terdahulu ketika sesi perbahasan, Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) menggesa supaya data kos sara hidup diterbitkan mengikut daerah, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, kos sara hidup di kawasan pedalaman tidak boleh dinilai secara adil jika hanya berpandukan purata di peringkat negeri atau kebangsaan.
RUU Perangkaan 2026 akhirnya diluluskan melalui undian suara tanpa sebarang pindaan.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment