SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) mendakwa kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini dipengaruhi “pakatan sulit” antara parti itu dengan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad, yakin strategi sedemikian tidak lagi memberi impak serupa pada PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
“Berbeza dengan Johor, kerjasama antara BN dan PN di Negeri Sembilan kini dilakukan secara terbuka.
“Malah ia memudahkan PH menjelaskan kepada rakyat mengenai agenda sebenar penyatuan ummah antara dua blok berkenaan,” katanya pada sidang media di Pusat Media Harapan di Klana Resort, di sini, hari ini.
Menurut beliau, keadaan itu memberi ruang kepada pengundi menilai sendiri sama ada kerjasama tersebut benar-benar bertujuan membela rakyat atau sekadar memainkan sentimen politik berasaskan kaum dan agama.
“Kita sering ditanya mengapa naratif ini memberi kesan di Johor. Bezanya di Johor, kerjasama itu dilakukan secara rahsia dan sulit.
“Di Negeri Sembilan, ia berlaku secara terbuka. Naratif mereka semakin jelas dan rakyat boleh melihat sendiri implikasi serta keburukan yang boleh dibawa,” katanya.
Beliau berkata, PH tidak akan menjadikan isu itu sekadar bahan kempen, sebaliknya menggunakan peluang tersebut untuk menerangkan kepada pengundi mengenai rekod pencapaian kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Katanya, pilihan raya tidak seharusnya dipengaruhi politik yang memecah-belahkan masyarakat, sebaliknya perlu berpaksikan prestasi dan keupayaan mentadbir.
“Kita mahu rakyat melihat pencapaian kerajaan dan memilih berdasarkan prestasi, bukannya sentimen yang boleh memecahkan perpaduan,” katanya.
Khalid turut mengulangi pendirian PH bahawa parti itu tidak menolak perpaduan Melayu-Islam, namun perpaduan tersebut perlu dibina atas asas membangunkan negara dan bukannya dengan mewujudkan persepsi ancaman terhadap kaum lain.
“Kami yakin pengundi Negeri Sembilan lebih matang untuk menilai pendekatan politik yang dibawa oleh setiap gabungan menjelang hari pengundian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment