PILAH – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu terus berganding bahu bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak lagi diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerjasama yang terjalin antara penyokong kedua-dua gabungan ketika kempen berlangsung memberi petanda positif dan perlu diterjemahkan kepada sokongan di peti undi.
Menurutnya, matlamat utama ketika ini ialah memastikan berlaku perubahan kerajaan negeri demi menawarkan pentadbiran yang lebih baik kepada rakyat.
“Kita mahu BN dan PN terus berganding bahu supaya PH tidak lagi memerintah Negeri Sembilan.
“Apa yang penting sekarang ialah memastikan sokongan itu diterjemahkan pada hari pengundian,” katanya ketika berucap pada ceramah bersama calon BN DUN Pilah, S. Leza Md. Yasin, di sini, petang ini.
Dalam pada itu, Asyraf menjelaskan kerjasama BN dengan PH di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan berlaku atas pilihan politik parti, sebaliknya dibuat bagi mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong ketika negara berdepan situasi Parlimen tergantung.
Katanya, ketika itu tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan apabila PH memenangi 82 kerusi, PN 73 kerusi dan BN 30 kerusi.
“Selama lima hari negara tidak mempunyai kerajaan kerana tiada siapa memperoleh majoriti.
“Yang di-Pertuan Agong kemudian memanggil semua ketua parti dan menitahkan supaya sebuah Kerajaan Perpaduan dibentuk demi kestabilan politik serta ekonomi negara.
“PN menolak cadangan itu, manakala PH menerimanya tetapi tidak mempunyai jumlah kerusi mencukupi. BN kemudian membawa perkara itu ke Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sebelum membuat keputusan menerima titah Tuanku,” katanya lagi.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan panjang kerana UMNO tidak mahu dilihat mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, selain sentiasa meletakkan penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu sebagai keutamaan.
Pada masa sama, Asyraf menolak dakwaan dimainkan pihak tertentu kononnya kemenangan BN di Negeri Sembilan akan membawa kepada pertukaran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Katanya, dakwaan sedemikian adalah fitnah politik yang memperalatkan institusi diraja bagi mengelirukan rakyat.
“UMNO dan BN tidak pernah mencampuri urusan istana. Kita menjunjung Perlembagaan dan menghormati institusi Raja-Raja Melayu.
“Di Negeri Sembilan, sistem pemerintahannya juga unik kerana melibatkan Yang di-Pertuan Besar dan empat Undang. Jadi jangan sewenang-wenangnya memperdayakan rakyat dengan dakwaan tidak berasas,” tegas beliau.
Beliau turut menafikan naratif kemenangan BN akan membawa kepada pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sebaliknya, beliau menjelaskan sebarang pengampunan hanya boleh diberikan mengikut Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan melalui kuasa Yang di-Pertuan Agong dan bukannya ditentukan oleh mana-mana parti politik. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment