NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kuasa Melayu wajib dipelihara demi agama, kestabilan negara



BANGI, 8 SAFAR — Kuasa Melayu dalam pemerintahan Malaysia perlu terus dipelihara berasaskan tuntutan syariat Islam, realiti demografi dan faktor sejarah, kata Felo Kanan PEMIKIR, Ustaz Rushdan Ab Halim.

Beliau berkata, perbincangan mengenai kedudukan orang Melayu dalam pemerintahan negara bukan sekadar berkaitan politik, sebaliknya turut melibatkan identiti negara, kestabilan masyarakat serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Menurutnya, dari sudut syariat, umat Islam dituntut memelihara agama serta memastikan urusan masyarakat diurus berlandaskan acuan Islam melalui kuasa pemerintahan yang sah.

Katanya, Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan seseorang Melayu mestilah beragama Islam, sekali gus menjadikan perbahasan mengenai kedudukan Melayu dalam pemerintahan berkait secara langsung dengan kedudukan umat Islam sebagai kelompok terbesar di negara ini.

Beliau turut memetik beberapa ayat al-Quran yang menurutnya menunjukkan umat Islam perlu memiliki kekuatan bagi memelihara agama serta melaksanakan tanggungjawab memimpin masyarakat ke arah kebaikan, keadilan dan keseimbangan.

“Dalam konteks negara ini, umat Melayu yang merupakan majoriti masyarakat wajib berkuasa serta memelihara kekuasaan dalam pemerintahan demi memelihara tuntutan Islam itu sendiri,” katanya dalam satu penulisan yang diterbitkan di laman sesawang ISMA.

Dari sudut demografi pula, beliau berkata, orang Melayu dan Bumiputera merupakan kelompok majoriti penduduk Malaysia dan lazimnya memainkan peranan utama dalam menentukan dasar serta kepimpinan negara dalam sistem demokrasi.

Ustaz Rushdan menjelaskan, kedudukan tersebut tidak bermaksud menafikan hak kaum lain, sebaliknya menuntut tanggungjawab yang lebih besar untuk berlaku adil, menjaga keharmonian dan memastikan seluruh rakyat menikmati manfaat pembangunan negara.

Mengulas faktor sejarah, beliau berkata, kewujudan kerajaan-kerajaan Melayu serta institusi Raja-Raja Melayu telah mendahului pembentukan Malaysia moden, manakala proses kemerdekaan turut menyaksikan kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan hak-hak tertentu Bumiputera dipelihara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa Islam tidak mengajar sesuatu kaum berhak memimpin semata-mata kerana faktor keturunan.

Sebaliknya, katanya, kepimpinan mestilah berasaskan amanah, keadilan, integriti dan kemampuan mentadbir negara serta memelihara kedudukan Islam, institusi negara dan kesejahteraan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa kesatuan umat Melayu merupakan satu kewajipan, bukannya pilihan.

Katanya, sebarang perpecahan dan pengkhianatan politik yang menggugat kekuasaan Melayu dalam pemerintahan adalah bertentangan dengan Maqasid Syariah kerana boleh melemahkan kekuatan politik dan sosial umat Islam.

Beliau berkata, setiap tindakan politik perlu dinilai berdasarkan kesannya terhadap kesatuan umat, kestabilan negara, pemeliharaan agama dan kesejahteraan masyarakat.

“Kepimpinan bukan sekadar soal memperoleh kuasa, tetapi amanah untuk memelihara maslahat agama, rakyat dan negara,” katanya.



Sumber | TV Pertiwi











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo